Monday 25 June 2012

Contohi Malaysia tangani rasuah

KUALA LUMPUR 25 Jun - Negara-negara berisiko tinggi khususnya negara Arab yang berdepan kebangkitan rakyat perlu menjadikan Malaysia sebagai model terbaik dalam menangani rasuah.
Pengasas Bersama Transparency International, Michael J. Hershman berkata, ini kerana kebangkitan rakyat di dunia Arab yang dikenali sebagai 'Arab Spring' itu merupakan satu penolakan tegas terhadap gejala rasuah.
Menurut beliau, pendekatan Malaysia melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2008 telah mencapai kemajuan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pembaharuan dalam kerajaan, masyarakat awam dan ruang lingkup perniagaan.
''Satu sistem antirasuah yang benar-benar berkesan mesti mempunyai 'pemegang taruh' daripada semua peringkat masyarakat yang bekerja bersama. Untuk itu, kerajaan Malaysia telah bekerja keras dengan melibatkan komuniti perniagaan dan masyarakat awam dalam usaha-usaha menangani rasuah.
''Ia termasuk menggalakkan syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) menandatangani satu Pakatan Integriti (IP). Tidak seperti 'janji kosong' negara-negara lain, ikrar itu memberi implikasi yang sebenar,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam tulisannya di dalam ruangan The Blog di portal berita Huffington Post (http://www.huffingtonpost.com) baru-baru ini.
Hershman berkata, IP membolehkan SPRM bersama-sama dengan Transparency International (TI), Jabatan Audit, Kementerian Kewangan dan agensi kawal selia lain memantau serta mencegah amalan ketirisan, pembaziran dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek.
Jelasnya, IP yang ketat seperti yang ditunjukkan dalam proses pembidaan pembinaan projek transit aliran massa (MRT) digunakan sebagai syarat untuk syarikat-syarikat yang ingin membida projek-projek yang ditawarkan kerajaan.
Ujar beliau, selain itu, satu lagi komponen utama strategi SPRM adalah pembaharuan dari segi proses perundangan dan ketelusan.
''Kalau kita lihat Malaysia sebelum ini, kes-kes melibatkan rasuah mengambil masa yang lama untuk dibawa ke mahkamah dan menjadikan banyak aduan berkaitannya agak tidak bermakna. Justeru dengan penubuhan mahkamah khas dan kes-kes rasuah dihakimi dalam tempoh setahun, mekanisme penguatkuasaan kehakiman sudah 'bertukar rupa'.
''Matlamat yang jelas dan komitmen memerangi rasuah telah ditunjukkan dalam Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Perkara ini seharusnya diteruskan dari semasa ke semasa dan dicontohi pemimpin-pemimpin lain,'' katanya.

No comments:

Post a Comment