Monday, 25 June 2012

Menentang politik matlamat menghalalkan cara pembangkang

KEPUTUSAN pilihan raya umum 2008 dikatakan mengubah landskap politik negara. Kejayaan agak besar yang dicapai oleh pakatan pembangkang telah memungkinkan arena politik berhadapan dengan satu situasi yang selama ini tidak pernah dialami.
Kehilangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen serta mengalami kekalahan mengejut di Kedah, Pulau Pinang, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor telah memungkinkan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas merasakan mereka cukup kuat.
Justeru kerajaan BN terpaksa bergelut dalam pertembungan politik yang menyaksikan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi memastikan mereka mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam menghadapi keghairahan pembangkang, rakyat sewajarnya diperingatkan politik menghalalkan cara bukan budaya politik negara ini. Malahan jika ini dibenarkan ia boleh membawa bencana kepada masa depan negara.
Oleh itu kehadiran buku bertajuk 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara' tulisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim tepat pada masanya.
Moderat atau kesederhanaan sememangnya menjadi pegangan BN sejak merdeka lagi dalam memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan mainan politik melampau oleh mana-mana pihak.
Buku setebal 308 muka surat itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, hari ini mampu memberikan 'pedoman' dan pemahaman kepada rakyat untuk memahami betapa pentingnya mereka menolak corak politik yang diamalkan oleh pembangkang.
Dr.Mashitah mengupas soal moderat ini dengan terperinci dan ia bukan sahaja dilihat dari sudut politik semata-mata tetapi juga ajaran Islam.
Selain memuatkan ucapan Perdana Menteri mengenai moderat, ia turut mengandungi kupasan menarik mengenai amalan politik pembangkang.
Antara bahagian yang pasti akan mendapat perhatian adalah Bahagian 3 yang mengandungi enam tulisan Dr.Mashitah mengenai mainan politik pembangkang termasuklah merobek mitos buku jingga dan konsep Negara Berkebajikan yang diuar-uarkan oleh Pas.
Sememangnya, dalam BN berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib semua kaum di negara ini, parti itu berhadapan dengan pakatan pembangkang yang begitu teruja untuk menawan Putrajaya.
Berikutan itu, pendekatan politik moderat atau sederhana yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan negara berada dalam kedudukan terancam. Apa yang mengecewakan, dalam keghairahan itu pembangkang bersedia melakukan apa sahaja termasuklah memainkan isu-isu yang boleh memecah-belahkan rakyat.
Mereka membuat janji yang bukan-bukan, soal sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak, ia soal kedua, apa yang penting meraih dahulu sokongan rakyat. Dalam soal ini, sudah tentulah rakyat perlu diperingatkan supaya jangan terpedaya dengan politik pembangkang kerana ia akhirnya akan merugikan mereka. Apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah contohnya, sudah menjadi bukti bagaimana pembangkang gagal menunaikan janji biar pun sudah diberi kuasa.
Turut menarik perhatian kita, bagi sesiapa yang membaca buku tulisan Dr.Mashitah ini, mereka akan memahami bagaimana segala yang dijanjikan oleh pembangkang dalam buku jingga hanyalah angan-angan kosong. Selain itu, mereka juga akan dapat memahami sikap sebenar politik Pas yang semakin bercelaru kerana keterujaan untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP.
Selepas meninggalkan perjuangan negara Islam, Pas kini tertumpu pula kepada negara berkebajikan. Inilah sikap politik tidak konsisten Pas yang akan dikupas oleh Dr.Mashitah.
Selain buku 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara', Perdana Menteri juga akan melancarkan buku bertajuk, 'Langit Terbuka' yang merupakan koleksi rencana tulis Dr.Mashitah dalam akhbar-akhbar. Buku ini mempunyai tujuh bab berkaitan dengan politik, sosial dan agama.
Buku ini sarat dengan kupasan-kupasan menarik dan informasi berguna untuk dijadikan rujukan oleh pembaca, bukan sahaja bagi mengenal sikap politik pembangkang khususnya Pas tetapi juga panduan untuk kita mencapai kemajuan dalam kehidupan yang diredai Allah SWT.
Apa pun, kehadiran dua buah buku ini amat berguna kepada mereka yang terlibat dalam politik tidak kiralah pemimpin mahupun penyokong untuk memahami realiti terkini politik negara. Ia dihasilkan bukan semata-mata untuk kepentingan politik BN mahupun UMNO tetapi bagi memberi kesedaran betapa pentingnya mempertahankan konsep kesederhanaan yang selama ini menjadi tunjang kekuatan negara.
Oleh itu melalui penghasilan buku oleh Dr.Mashitah ini, ia boleh digunakan oleh BN khususnya UMNO di semua peringkat menjadikan ia sebagai bahan rujukan dalam memberikan penerangan kepada rakyat.
Ini bagi membolehkan mereka memahami bahawa corak politik pakatan pembangkang yang berpaksikan kepada matlamat menghalalkan cara boleh memusnahkan impian untuk mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.

No comments:

Post a Comment