Melayu
tiada tempat dalam DAP
Oleh ZULKIFLI JALIL--pengarang@utusan.com.my
SEJARAH
penyertaan orang Melayu atau pemimpin Melayu dalam DAP penuh ranjau berduri.
Kalau boleh dikaji senarai kepemimpinan Pusat parti itu, orang Melayu dan
Bumiputera yang membentuk hampir 67 peratus rakyat hanya mempunyai dua wakil
sahaja. Bumiputera Sabah dan Sarawak pula langsung tidak diwakili.
Meskipun
dikatakan DAP Melayu sudah bertapak bagi suatu tempoh yang agak lama sejak 1969
di mana dalam catatan sejarah, Melayu DAP pernah memenangi satu kerusi Parlimen
dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri, namun kedudukan Melayu dalam parti
pimpinan Lim Kit Siang itu penuh dilema. Tidak terarah.
Barangkali
yang masih diingati pemimpin Melayu dalam DAP ialah Allahyarham Ahmad Nor yang
memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1990.
Itu pun populariti beliau diwarnai penglibatan aktifnya dalam sebuah kesatuan
sekerja.
Dan kalau
nak dikira pemilihan calon-calon Melayu untuk menggalas cabaran DAP pun hanya
sekelumit - yang memang pun boleh dikira dengan jari dalam dekad demi dekad.
Antaranya, penyandang kerusi DUN seperti Ibrahim Singgeh (1969), Tapah Road,
Perak; Hassan Ahmad (1969) Si Rusa, Perak; Fadzlan Yahya (1982), Pasir
Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1986), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya
(1990), Lahat, Perak dan Mohd Asri (1990), Dermawan, Perak.
Dan selepas
Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat keputusan keluar
dari parti itu baru-baru ini, hampir tidak ada pemimpin Melayu dari DAP yang
cukup dikenali. Kalau adapun, seorang yang bernama Zulkifli Mohd. Noor tetapi
dia hanya menyandang Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang meskipun merupakan
seorang pemimpin Melayu veteran dalam DAP sejak hampir 25 tahun.
Yang
menyerlah dalam pandangan rakyat terutama orang Melayu adalah DAP sebagai parti
‘anak-beranak sendirian berhad’ walaupun mereka berkokok dan menjerit kononnya
keahlian mereka adalah berbilang kaum.
Pada masa
sama, dua perkataan iaitu kronisme dan nepotisme (juga dinasti) jugalah yang
menjadi modal besar DAP selain ‘dianuti’ sama sekutu parti itu, Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang mana si ayah menjadi ketua umum (PKR), si ibu menjadi
presiden dan si anak pula naib presiden.
Secara
realiti, DAP sebagai parti politik tidak pernah berubah sejak lima dekad lalu
(iaitu 50 tahun). Sejak pembentukan rasminya pada 1966, DAP ialah Kit Siang dan
Kit Siang ialah DAP. DAP ialah parti Satu-Orang, yang disokong oleh Dinasti
Lim.
Struktur
kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada
1966. Supremo parti itu masih Kit Siang dan anaknya, Guan Eng (yang berubah
hanya jawatan). Diuar-uarkan DAP parti berbilang kaum, tetapi nampaknya Melayu
di dalamnya tidak ada arah. Kaum India juga serupa melainkan mungkin hanya
Karpal Singh seorang.
Semasa
hampir kesemua parti politik mengalami perubahan dalam barisan kepemimpinan
sejak beberapa dekad lalu, tapi apa sudah jadi dengan pihak yang sering
bertempik mengenai perubahan, seperti DAP?
Sepanjang
riwayat politiknya, Kit Siang sering mendesak para pemimpin BN meletak jawatan
kerana ‘kamu sudah terlalu lama’, ‘beri peluang kepada yang lain’, ‘anda sudah
tua’, tapi dia sendiri pula macam mana?
Di mana
perubahan yang anda laung-laungkan itu Kit Siang? Nepotisme berada di kedudukan
tertinggi dalam DAP, sehinggakan para penyokong parti sosialis itu mempersenda
DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad - “DAP Sdn. Bhd."
Ini pernah
berlaku dalam DAP ketika Kit Siang berkuasa dengan penyingkiran cara halus
pemimpin seperti Tan Sri Lee lam Thye, Wee Chee Keong dan ramai lagi untuk
menyediakan laluan kepada anaknya Lim Guan Eng dan menantu beliau, Betty Chew.
Anwar juga
melakukan perkara yang sama semasa pemilihan PKR yang menyaksikan Zaid Ibrahim
dan Gobalakrishnan bertindak keluar parti. Sebelum itu beberapa wakil rakyat
juga bertindak demikian seperti Zulkifli Noordin dan Datuk Seri Zaharin Mohamed
Hashim yang juga bekas Setiausaha Agung PKR.
Semua ini
dilakukan oleh Anwar untuk memudahkan laluan kroninya Azmin Ali dan anaknya
Nurul Izzah. Ini juga untuk memastikan edudukan isteri beliau, Wan Azizah
sebagai Presiden PKR tidak tergugat. Ini adalah fakta dan peristiwa yang telah
berlaku.
Dan kalau
dilihat semasa dini hari diumumkan kemenangan pembangkang di Pulau Pinang pada
Mac 2008, sebaik sahaja tiba di tempat perisytiharan kemenangan di George Town,
tanpa segan silu diumumkan beliau adalah penyandang jawatan Ketua Menteri.
Padahal jika
hendak dikira, individu yang paling layak yang juga anak tempatan bukan Guan
Eng yang ‘lari’ dari Melaka ke Pulau Pinang. Sebaliknya individu berkenaan
adalah Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen
Tanjong.
Dan ketika
Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik mencabar Pengerusi Barisan Nasional
(BN) Pulau Pinang yang baru,Teng Chang Yeow supaya berentap dengan Kon Yeow di
DUN Padang Kota pada PRU-13, banyak pihak mula mempersoalkan sama ada ia mahu
‘membunuh’ karier politik veteran DAP tersebut.
Ini
memandangkan imej dan potensi Chang Yeow semakin terserlah kebelakangan ini
dalam kalangan kaum Cina Pulau Pinang dengan kelantangannya memperjuangkan
nasib masyarakat itu. Apatah lagi, Padang Kota bukanlah asing buatnya kerana
pernah bertapak di situ sebagai wakil rakyat selama tiga penggal iaitu dari
tahun 1995 hingga 2008 sebelum tewas kepada Kon Yeow pada PRU-12.
Namun
seperti mana nasib Melayu dalam DAP, demikianlah juga persepsi kepemimpinan parti
itu terhadap orang Melayu.
Apabila Wei
Aik mencabar Chang Yeow, dia mengaitkan cabarannya itu dengan UMNO, sebuah
parti yang disertai majoriti umat Melayu.
Kata Wei
Aik, Chang Yeow mesti menyahut cabarannya itu untuk membuktikan bahawa dia
bukanlah boneka UMNO.
Ketika
kempen PRU-12 yang semakin agresif tempoh hari, Guan Eng acap kali memainkan
isu-isu perkauman yang banyak menimbulkan kemarahan masyarakat Cina.
Isu yang
‘popular’ dimainkan DAP ialah UMNO. Antaranya, konon jawatan Ketua Menteri
Pulau Pinang akan dirampas oleh UMNO - yang merupakan tonggak harapan orang
Melayu.
Hakikatnya
Melayu memang tidak ada tempat dalam DAP.
No comments:
Post a Comment