Mensyukuri keselesaan hidup di Malaysia
KALAULAH
kita boleh duduk dan tenang-tenang sebentar. Kemudian ambil masa sedikit hirup
udara segar. Dan renung-renungkan betapa bernasib baik dan beruntungnya kita
tinggal di bumi Malaysia bertuah ini.
Bukan memaksa, tapi cubalah.
Barangkali, tentu dan akan ada ungkapan 'apa aku kisah' kerana apa sahaja prasarana, kemudahan asas sehinggalah penyaluran subsidi 'itu memang tanggungjawab kerajaan. Kerajaan banyak duit dan itu adalah duit rakyat'. Dan memang wajarlah ia dibelanjakan oleh kerajaan untuk rakyat. 'Itukan hak rakyat'.
Demikian juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan barangkali apa sahaja yang berkaitan dengan pengumuman peruntukan, antaranya Felda, Belanjawan Negara dan dan apa sahajalah...'itu duit rakyat'. Boleh diterimakah tanggapan sebegini?
Untuk pergi jauh menjengah isu ini, maka marilah kita luangkan sedikit masa sekejap menilai fakta-fakta seterusnya ini.
Ya! kita tidak seperti negara-negara tetangga di rantau ini.
Di
Indonesia, kerajaannya hanya memberi subsidi untuk golongan berpendapatan
rendah. Antaranya, beras (gred rendah), gas LPG (berat tong 3 kilogram) dan
petrol RON88. Lain-lain produk tidak disubsidikan atau dijual pada harga
pasaran.
Thailand pula hanya memberi subsidi untuk diesel bagi golongan nelayan manakala Singapura tidak memberi apa-apa subsidi kepada mana-mana barang atau produk keperluan harian.
Kadar tanggungan subsidi bagi setiap negara jiran tidak diketahui.
Malaysia - berasaskan fakta, mempunyai tanggungan subsidi tertinggi berbanding negara jiran. Negara ini menanggung subsidi bagi tujuh barang keperluan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, petrol, diesel, LPG dan termasuk bil elektrik, pendidikan dan kesihatan.
Dalam aspek
ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
telah diberikan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk melaksanakan Program
Penyeragaman Harga di pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tahun ini.
Peruntukan ini bertujuan membiayai perkhidmatan transporter yang telah dilantik untuk mengedar dan membekalkan barang keperluan bersubsidi iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, Beras Nasional, gas memasak (LPG 14 kg), petrol dan diesel bagi memastikan masyarakat di pedalaman menikmati faedah subsidi kerajaan.
Sebagai
contoh di Ba'kelalan, Sarawak, harga gas memasak sebelum pelaksanaan projek
adalah RM70/tong, gula RM5/kg, beras nasional RM45/kg, petrol dan diesel
RM5.50/liter. Harga selepas projek pula dilaksanakan mematuhi harga ditetapkan
kerajaan iaitu bagi gas memasak adalah RM26.60/tong, gula RM2.50/kg, beras
nasional RM18/kg, petrol RM1.90/liter dan diesel RM1.80/liter, setelah kerajaan
menanggung kos pengangkutan yang tinggi.
Pelaksanaan program ini membantu golongan sasaran yang berpendapatan rendah di kawasan pedalaman hidup dengan kos sara hidup yang rendah. Sepanjang pelaksanaan program penyeragaman harga ini (2009-2011), sejumlah 1.77 juta penduduk (Semenanjung, sabah dan Sarawak) telah memperolehi manfaat penjimatan boleh guna hasil daripada penyeragaman harga kawalan ini.
Kawasan yang
dipilih bagi pelaksanaan projek adalah berdasarkan kedudukan harga runcit
barang keperluan pengguna di tempat berkenaan melebihi 15% daripada harga
kawalan kerajaan.
Kesukaran penduduk tempatan mendapatkan barang keperluan adalah disebabkan oleh keadaan muka bumi dan kos pengangkutan yang tinggi, menyebabkan barang keperluan menjadi mahal.
Contohnya, di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan jalan berturap dan hanya menggunakan kenderaan pacuan 4 roda sahaja yang mampu melalui kawasan tersebut. Terdapat juga kawasan yang hanya boleh dihubungi melalui jalan air seperti sungai, tasik dan laut.
Barang keperluan yang dibekalkan di sesuatu kawasan tersebut adalah untuk kegunaan penduduk setempat dalam komuniti berkenaan sahaja. Contohnya seperti kegunaan petrol dan diesel bagi bot sangkut persendirian, set penjana elektrik, mesin padi dan jentera-jentera persendirian.
Langkah
kawalan harga barangan perlu oleh kerajaan merupakan faktor penyumbang kepada
pengekalan kadar inflasi yang sederhana di negara ini. Ia telah dapat
memastikan harga barangan perlu adalah lebih rendah berbanding dengan
negara-negara jiran di rantau ini.
Kawalan harga telah memberikan impak yang minimum ke atas harga barang-barang perlu dalam negara walaupun harga makanan dan komoditi di pasaran dunia semakin meningkat.
Bagaimana peranan rakyat untuk memanfaatkan konsep subsidi barangan ini supaya ia bukan suatu pembaziran kepada kerajaan dan benar-benar menyumbang kepada ekonomi dalam negara?
Kerana itu, rakyat perlu 'mengubah cara hidup' ke arah kesederhanaan dan berbelanja mengikut kemampuan dan secara berhemah.
No comments:
Post a Comment