Krisis kewangan Greece patut jadi teladan elak negara muflis
Langkah penyusunan semula subsidi, perbelanjaan berhemah dan rombakan model ekonomi inisiatif serius kerajaan hindar terjerumus beban hutang tinggi
KRISIS kewangan Greece susulan hutang dan perbelanjaan awam terlalu tinggi sehingga gagal ditampung pendapatan kerajaan, wajar dijadikan pengajaran betapa perlunya langkah perbelanjaan berhemah dan rombakan model ekonomi seperti yang sedang diusahakan Kerajaan Malaysia, dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, baru-baru dilaporkan berkata, jika Malaysia terus berkeadaan begini tanpa melakukan sesuatu termasuk menyusun semula struktur subsidinya, negara kita akan muflis pada 2019 dengan jumlah hutang meningkat kepada RM1.16 trilion.
Susulan itu, menyelami masalah kewangan Greece dengan hutang lebih 300 bilion euro (RM1.23 trilion), sedikit sebanyak menimbulkan kesedaran mengenai pentingnya inisiatif serius kerajaan Malaysia, antaranya menstruktur perbelanjaan awam seperti subsidi; pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB); penjanaan permintaan domestik; mengurangkan defisit bajet dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.
Jika sesebuah negara itu dilanda krisis, maka rakyat pasti menderita susulan kesukaran mendapatkan pekerjaan, aktiviti perniagaan, kebajikan dan pembangunan sosial terjejas, seperti dialami Greece ketika ini.
Ketika masyarakat pelabur global bersorak ceria baru-baru ini susulan kemunculan pelbagai petunjuk sahih mengenai pemulihan ekonomi dunia daripada krisis kewangan global, mereka dikejutkan pula dengan masalah baru yang juga berpotensi menggugat pasaran kewangan antarbangsa.
Tiada siapa menyangka kumpulan kerjasama ekonomi yang paling kukuh dan sistem kewangan tunggal diperakui paling stabil dengan pematuhan ketetapan ketat di bawah European Central Bank (ECB) itu, mulai goyah dengan masalah hutang Greece.
Susulan itu, Indeks Perusahaan Dow Jones, yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh 19 bulan iaitu 11,204.28 mata pada 23 April lalu, susut lebih 1,000 mata atau 10 peratus dalam tempoh lebih sebulan sehingga semalam.
Pada masa sama, bursa saham utama global juga turut menjalani aliran menurun termasuk Bursa Malaysia yang susut hampir 100 mata atau tujuh peratus.
Spekulasi mengenai perpecahan zon Eropah di sebalik usaha EU untuk mengekalkan kumpulan kerjasama itu, terus berlegar di pasaran. Menurut laporan, dalam pertemuan ketua negara Eropah yang diadakan untuk mencari jalan menangani masalah itu baru-baru ini, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengancam untuk memisahkan blok Eropah berkenaan jika Berlin enggan membantu Greece.
Sementara itu, sebahagian besar rakyat Jerman yang berdisiplin dalam pakatan kewangan, tidak berpuas hati kerana terpaksa menyelamatkan Greece.
Canselornya, Angela Merkel pada suatu ketika pernah menggesa pengenalan mekanisme baru yang mana Greece atau negara zon Eropah lain yang memiliki beban hutang tinggi, boleh dikeluarkan daripada kesatuan itu pada masa akan datang, jika mereka tidak dapat mengawal tabiat berbelanja secara keterlaluan.
Krisis hutang Greece dijejaki sejak 2002, iaitu ketika negara berkenaan menyusun semula keseluruhan ekonominya untuk menyertai kumpulan negara yang sistem mata wang tunggal Eropah iaitu Euro.
Bagaimanapun, untuk menyertai EU, Greece terpaksa akur dengan peraturan ditetapkan iaitu yang diadaptasikan daripada peraturan Bundesbank, bank pusat Jerman yang dianggap sebagai bank pusat paling kukuh dengan peraturan kewangan paling ketat di dunia.
Untuk menyertai kumpulan 26 negara dalam EU, sesebuah negara itu, antara lain, perlu memenuhi beberapa kriteria ketat termasuk defisit bajet tidak melebihi 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); hutang kerajaan perlu 60 peratus lebih rendah daripada KDNK dan inflasi tahunan kurang 1.5 peratus lebih tinggi daripada purata kadar inflasi paling rendah tiga negara anggota.
Namun, dengan menyertai kumpulan itu dan beralih daripada menggunakan mata wang, drachma, kepada euro yang lebih kukuh, secara tidak langsung memudahkan Greece membuat pinjaman dan itulah yang dilakukannya.
Greece berhutang bagi membiayai pelbagai inisiatif serta program sosial yang dianjurkannya dan paling ketara adalah ketika menganjurkan Olimpik 2004 di Athen. Perbelanjaan awam meningkat tinggi dan dilaporkan gaji kakitangan awamnya meningkat dua kali ganda sejak Greece mula menggunakan euro.
Dalam pada itu, kerajaan Greece menjanjikan pembayaran pencen kakitangan awam sehingga 92 peratus daripada gaji diterima ketika mereka bersara. Cadangan untuk mengurangkan pencen berkenaan, antara punca berlaku tunjuk perasaan di negara itu baru-baru ini.
Sejak dulu lagi, ahli ekonomi secara umumnya berpendapat, defisit bajet dan hutang kerajaan untuk membiayai projek mega, yang pada masa sama akan mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi adalah sesuatu perkara biasa selagi ia mampu ditampung oleh peningkatan kutipan hasil cukai.
Greece melaksanakan semua perkara itu kecuali peningkatan hasil kutipan cukai. Negara berkenaan memiliki peraturan cukai yang longgar, menyebabkan ia bermasalah untuk membayar semula hutangnya dan kerajaan negara itu dilihat berbelanja melebihi kemampuan sejak 2002.
Bagi Greece, bebanan hutang yang tinggi nampak terurus sehingga munculnya krisis kewangan global pada 2008. Ketika itu ekonomi Eropah lain termasuk Britain mampu menyokong kemelesetan dengan meningkatkan pinjaman, namun Greece yang sudah tinggi jumlah pinjaman tidak lagi mampu berbuat demikian.
Pada awal tahun ini, dilaporkan defisit bajet Greece adalah hampir 13 peratus berbanding KDNK dan hutangnya dijangka meningkat kepada 138 peratus daripada KDNK pada tahun depan berbanding 120 peratus pada tahun ini.
Lazimnya, jika sesebuah negara memiliki hutang tinggi, nilai mata wang negara berkenaan akan susut bagi mengimbangi masalah itu. Bagaimanapun, Greece tidak dapat berbuat demikian, kerana ia menggunakan mata wang tunggal EU iaitu Euro yang turut digunakan oleh 25 negara Eropah lain dalam kesatuan itu.
Pada masa sama, isu berkenaan turut menimbul rasa curiga dan kebimbangan masyarakat pelabur global terhadap beberapa negara Eropah yang memiliki defisit tinggi bakal berdepan masalah sama.
Negara berkenaan adalah seperti Ireland dengan defisit 14.3 peratus, diikuti Britain dengan 12.6 peratus, Sepanyol (11.2 peratus) dan Portugal (9.4 peratus).
Krisis Greece yang menimbulkan kekalutan khususnya kepada EU dan menjejaskan sentimen pelabur antarabangsa dikatakan akan memberi kesan negatif kepada aliran modal pelaburan dan perdagangan global.
Kebanyakan syarikat kewangan, pelaburan, perdagangan dan perkilangan EU mengambil pendirian berhati-hati untuk membuat pelaburan baru dan menangguhkan aktiviti pengembangan perniagaan buat sementara waktu.
No comments:
Post a Comment