Saturday 16 June 2012


Pas buruk sangka kerana kuasa

DALAM pemikiran dan perjalanan politik pemimpin-pemimpin Pas pada masa ini, matlamat utama mereka hanyalah satu iaitu memastikan kemenangan pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang membuat seruan supaya ahli-ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya menangguhkan pemergian mereka ke tanah suci bagi menunaikan ibadat haji.

Kita tidak pasti dari sumber manakah Pas mendapat maklumat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada musim haji tetapi apa yang nyata, tindakan itu menunjukkan Pas bagaikan takut kepada bayang-bayang sendiri.

Pas bimbang kalaulah benar pilihan raya diadakan pada musim haji, ia mungkin akan menjejaskan persiapan jentera pilihan raya mereka dan ini sekali gus akan menyebabkan pengorbanan parti itu terhadap semangat setiakawan dalam pakatan pembangkang akan terjejas.

Selama ini pun semua orang tahu pakatan pembangkang terutamanya PKR bergantung kepada jentera Pas dalam melaksanakan pelbagai kerja dan gerakan dalam pilihan raya, oleh itu kalaulah jentera pilihan raya Pas terjejas ia sudah tentulah akan menggugat peluang pakatan pembangkang meraih kemenangan.

Namun begitu apa yang menjadi persoalan adakah seruan Tuan Ibrahim itu wajar dilakukan? Seperti biasa kita menyaksikan ramai pemimpin Pas muncul mempertahankan kenyataan ketua penerangan mereka itu termasuklah juga Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan Nabi Muhammad SAW pun hanya melaksanakan ibadat itu pada tahun ke- 10 sedangkan ayat mengenai wajib haji turun pada tahun keenam.

Begitu juga Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menegaskan, umat Islam termasuk penyokong Pas wajib menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana ia perkara ditetapkan syarak dan hujah beliau melalui pilihan raya umum, umat Islam akan datang memilih pemimpin yang memperjuang serta melaksanakan segala dasar Islam demi masa depan ummah khususnya di negara ini.

Turut menarik perhatian penulis, kenyataan 'melucukan' daripada Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang mendakwa UMNO menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadat haji jika benar PRU-13 diadakan pada musim haji. Malahan Pemuda Pas yang dilihat sentiasa bersikap flip-flop dalam beberapa isu sebelum ini turut menegaskan, tidak akan memberi peluang kepada UMNO untuk menang percuma dalam pilihan raya.

Persoalannya, kenapakah secara tiba-tiba pemimpin-pemimpin Pas begitu 'meroyan' bercakap soal pilihan raya umum akan diadakan pada musim haji? Siapa yang memberi maklumat? Apakah berita mengenai perkara itu betul? Bukankah Pas selalu menggunakan maksud Surah Al Hujurat ayat 6 apabila berlaku sesuatu isu politik melibatkan pemimpin pembangkang. Kenapakah kali ini maksud ayat itu digunakan sebelum membuat kenyataan yang mencetuskan polemik tidak sewajarnya?

Dalam surah itu Allah SWT berfirman yang bermaksud; ''Hai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu orang yang fasik dengan sesuatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu.''
Atau apakah mungkin pemimpin-pemimpin Pas hanya menduga atau lebih tepat menyangka sahaja bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada musim haji dan kalau sekadar sangkaan bukankah ini bertentangan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 2 yang bermaksud: '' Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…''

Daif

Tetapi malang sekali, pemimpin-pemimpin Pas mungkin tidak memperhatikan semua itu kerana matlamat mereka ialah untuk menggambarkan kepada rakyat kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memilih satu tarikh yang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan pilihan raya.

Penulis tidak berhasrat mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa kenyataan beliau diputarbelitkan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana sudah masak dengan perangai pemimpin Pas yang sudah pasti akan membuat kenyataan seumpama itu apabila tertekan. Tetapi apa yang penulis hendak persoalkan biarpun kenyataan Tuan Ibrahim merujuk kepada calon, wakil calon dan ejen parti, adakah ia wajar dilakukan? Apakah Pas begitu daif sekali untuk mencari pengganti bagi ketiga-tiga kelompok berkenaan?

Malahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengesahkan kelayakan seseorang calon untuk bertanding tidak terjejas walaupun mereka berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Oleh itu, apa yang Pas risaukan sangat. Kalau soal wakil calon dan ejen parti, takkanlah Pas tidak boleh mencari pengganti sehingga orang yang terlibat perlu menangguhkan ibadat haji mereka?

Pemimpin Pas juga berhujah pilihan raya penting kerana ia dapat memilih pemimpin yang memperjuangkan serta melaksanakan segala dasar Islam demi masa depan ummah khususnya di negara ini, fakta ini sememangnya tidak boleh dinafikan tetapi ia bukan sekadar bergantung kepada penyokong-penyokong Pas sahaja.

Kalau setakat 28,000 orang menunaikan haji ia sama sekali tidak akan menjejaskan usaha untuk memastikan Islam tidak terancam melalui keputusan pilihan raya.

Sejak pilihan raya diadakan pada 1955 sehingga 2008, kedudukan umat Islam dan agama Islam di negara ini tidak pernah terjejas malahan semakin berkembang dari semasa ke semasa melalui pemerintahan BN yang UMNO menjadi tonggaknya.

Oleh itu hujah kononnya bagi memilih pemimpin yang memperjuang dan melaksanakan segala dasar Islam hanyalah alasan semata-mata, apatah lagi selama ini pun sejak 1990, apabila Pas terus diberi mandat memerintah Kelantan dan Kedah pada 2008, kita tidak nampak ''segala dasar Islam dilaksanakan' yang kelihatan hanyalah slogan dan retorik politik semata-mata.

Kita juga tidak harus lupa bahawa Pas bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang, dalam pilihan raya umum akan datang, Pas dikatakan hanya dibenarkan bertanding tidak lebih 66 kerusi Parlimen. Oleh itu bagaimana Pas hendak melaksanakan dasar Islam? Apakah sekutu rapatnya, DAP akan bersetuju? Apakah PKR akan memberi laluan kepada Pas untuk menjadi tonggak utama dalam pakatan?

Justeru jika ahli-ahli Pas yang terlibat dalam pilihan raya mengorbankan peluang mereka menunaikan ibadat haji, apakah ia benar-benar akan menguntungkan Pas dan merupakan satu jaminan bahawa parti itu akan mampu menjadi pemerintah utama di negara ini bagi melaksanakan dasar-dasar Islam?

Soalnya, apakah dasar Islam hanya layak dilaksanakan oleh Pas sahaja sedangkan sejarah negara telah membuktikan bagaimana Islam berkembang pesat dalam pelbagai bidang di negara ini sehingga menjadi contoh kepada negara Islam lain, hasil perjuangan dan kepimpinan UMNO.

Dalam isu ibadat haji ini juga, kita tidak perlu melayan kerenah Dewan Pemuda Pas yang semakin hari semakin dilihat bercelaru dalam mencari kuasa politik. Pemimpin mereka sanggup menyokong Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga sehingga bersedia mengadakan demonstrasi di Mekah dan Madinah, Pemuda Pas salahkan kartun akhbar KOSMO! apabila pemimpin mereka terlajak cakap.

Kalau begitulah tahap pemikiran mereka, mana mungkin kita boleh menerima hujah yang cukup dangkal apabila ketuanya menyatakan UMNO menghalang umat Islam menunaikan haji kerana melangsungkan pilihan raya dalam musim haji.

Kesimpulannya, jangkaan bahawa pilihan raya akan diadakan pada musim haji hanyalah sekadar khayalan politik Pas sahaja yang semakin tersepit dengan pelbagai kemelut yang melanda pakatan pembangkang.

No comments:

Post a Comment