Satukan keluarga Malaysia melalui hormat-menghormati
Setiap rakyat Malaysia dijaga kebajikannya. Yang miskin dibantu, yang kaya pula sentiasa diberi peluang untuk menambah kekayaan. Dasar afirmatif Malaysia tidak pernah merugikan sesiapa. Yang membezakan Malaysia dan negara lain adalah penduduk majoriti Malaysia adalah golongan yang perlu dibantu. Kebanyakan mereka adalah golongan susah berbanding penduduk minoriti Malaysia.
Mungkin ada yang akan menyamakan dasar sedia ada seolah-olah dasar Apartheid, namun kalau kita lihat dan teliti secara mendalam, dasar itu telah meminggirkan golongan majoriti yang serba miskin di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Golongan minoriti menindas golongan majoriti melalui dasar Aparteid. Di Malaysia, golongan majoriti tidak pernah menindas golongan minoriti, malahan golongan minoritilah yang menguasai kekayaan ekonomi berbanding golongan majoriti.
Meskipun kuasa politik berada di tangan golongan majoriti, golongan minoriti diberi peluang seluas-luasnya untuk memperkasakan kaum masing-masing. Sebagai contoh, mana ada negara di dunia ini yang mengamalkan sistem pendidikan vernakular kecuali di Malaysia? Sebab itulah kita lihat, saban hari generasi muda Malaysia semakin terpisah mengikut kaum.
Di negara-negara lain, mereka mengetahui implikasi besar terhadap negara dengan mengamalkan dasar sistem pendidikan vernakular, iaitu generasi muda yang berbilang kaum apabila dewasa nanti tidak akan mengenali satu sama lain. Jika tidak dicegah dari awal boleh membawa bencana kepada negara.
Perpaduan rakyat bagi sesebuah negara banyak bergantung pada sistem pendidikan. Anak-anak muda yang berbilang kaum wajar dididik di bawah satu bumbung agar memahami antara satu sama lain. Mana mungkin mereka ini memahami satu sama lain, jika tidak pernah bercakap sesama sendiri.
Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila terdapat generasi muda yang tidak boleh bertutur dan menulis bahasa Melayu. Bayangkan, jika masalah bahasa pun tidak boleh diatasi, bagaimana mungkin untuk mengenali satu sama lain secara mendalam?
Dua perkara ini iaitu sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu perlu diperkasakan oleh kerajaan. Tindakan perlu dilakukan dengan tegas tanpa ragu-ragu. Kerajaan perlu melihat kesan positif dalam jangka masa panjang. Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan yang membolehkan semua kaum bergaul sesama sendiri. Perkasakan sistem pendidikan sekolah kebangsaan terlebih dahulu berbanding sistem pendidikan vernakular kerana ia merupakan keutamaan tertinggi.
Begitu juga, bahasa Melayu wajar dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia. Kepada ahli-ahli politik dan ahli-ahli perniagaan usahlah malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu. Negara tidak akan rugi jika sekiranya bahasa Melayu dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan. Malahan, orang asing akan menyanjung tinggi Malaysia kerana mementingkan bahasa sendiri berbanding bahasa asing. Banyak negara yang lebih maju di Malaysia seperti Perancis, Jepun dan Jerman tidak ragu-ragu memartabatkan bahasa mereka.
Kenapa kita sendiri luntur kewibawaan dalam memperkasakan bahasa Melayu? Di manakah jati diri kita? Malang sekali kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang cukup hebat di dunia, tetapi kita sendiri lebih berasa bangga bercakap dalam bahasa asing di tanah air sendiri. Tidakkah kita sedar, bahasa juga memainkan peranan yang cukup penting dalam perpaduan rakyat dan juga dalam memajukan ekonomi negara?
Selain dasar sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan memartabatkan bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga perlu belajar menerima satu sama lain. Sebelum ini, kita lebih bertoleransi satu sama lain tetapi untuk memastikan keutuhan perpaduan rakyat Malaysia, penerimaan adalah tunjang kepada perpaduan kaum. Sebagaimana sebuah keluarga, masing-masing menerima satu sama lain.
Mustahil keluarga tersebut bersatu dan hidup harmoni sekiranya tidak dapat menerima satu sama lain. Baik adik beradik mahupun ibu bapa, keluarga yang bahagia akan tergambarlah suasana keceriaan, bertimbang rasa dan saling hormat menghormati satu sama lain serta mengetahui hak masing-masing.
Mereka tidak akan mengambil hak orang lain kerana dipupuk untuk menerima hak masing-masing tanpa menyentuh hak yang lain. Masing-masing menjaga perasaan lain agar hati dan perasaan tidak terguris sama sekali. Penerimaan sebeginilah yang patut diamalkan oleh rakyat Malaysia agar sentiasa bersatu.
Sebagai satu keluarga besar, rakyat Malaysia hanya boleh disatukan secara menyeluruh kalau masing-masing menerima satu sama lain. Jangan terlalu tamak untuk mengambil hak orang lain, kononnya itu hak kita. Kita juga yang akan berasa kurang selesa, jika sekiranya orang lain pula mengambil hak kita.
Justeru, belajarlah menerima satu sama lain dan asasnya telah ditunjukkan oleh nenek moyang kita sejak merdeka lagi. Mereka sebenarnya telah banyak membantu memikirkan masa depan kita. Itulah sumbangan terbesar mereka kepada kita untuk memastikan zuriat mereka bersatu padu setiap masa dalam sebuah keluarga yang besar.
No comments:
Post a Comment