Monday, 13 August 2012

Pekerja JNSB Demo Depan Unisel Tuntut Hutang RM15 juta


Antarapos – Lebih 100 pekerja Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) berhimpun di hadapan Universiti Selangor (Unisel) hari ini menuntut hutang yang didakwa sebanyak RM15 juta daripada kerajaan negeri Selangor.
Kesemua pekerja tersebut mendakwa JNSB gagal membayar gaji mereka apabila Unisel yang berada di bawah pimpinan kerajaan negeri itu tidak menjelaskan apa-apa bayaran sejak November tahun lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid sebelum ini mengakui bahawa Unisel berhutang dengan JNSB berjumlah hampir RM15 juta termasuk gagal menjelaskan bil penyelenggaraan asrama sejak 17 bulan lalu.
Khalid berkata, pendapatan Unisel ketika ini hanya cukup membayar gaji profesor dan guru, selain kos pentadbiran dan penjagaan asrama.
“Memang pelajar ada bayar yuran penginapan, tetapi ia tidak mampu menanggung kos. Ini kerana walaupun ketika pelajar bercuti, Unisel tetap perlu membayar kepada pihak yang menguruskan asrama ini.
“Kerajaan negeri mengarahkan pihak audit untuk menyiapkan laporan kewangan Unisel dan akan membentangkan laporan pihak akauntan yang sudah disemak,” kata Khalid.
Ketua Eksekutif Pengurusan JNSB Hayati Mustafa berkata, konflik pembayaran gaji sudah bermula sejak November tahun lalu malah mereka pernah dibayar gaji secara mingguan.
“Unisel dapat bonus dan imbuhan tetapi JNSB tiada gaji. Masalah tuntutan dan ‘over time” bermula sejak Mac.
“Kami pernah dibayar gaji secara mingguan sebanyak RM200, setiap minggu. Ini tidak adil. Masalah gaji sudah bermula sejak November tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, suasana menjadi sedikit gamat apabila Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom yang turut berada di situ bertindak mengunci pagar di kedua-dua laluan utama kampus tersebut.
Tindakan tersebut dilakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan Unisel yang tidak mahu keluar untuk menerima memorandum yang mahu diserahkan.
Ia juga menyebabkan lebih 10 buah kenderaan terkandas di dalam universiti itu selama kira-kira satu jam.
Bagaimanapun, kedua-dua pintu pagar itu dibuka kembali selepas dinasihati pasukan polis yang tiba bagi mengawal keadaan.
Turut hadir, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Shohaimi Shahadan yang melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Selangor.
“Kami rasa terpanggil dan rasa perihatin dengan nasib kakitangan JNSB yang jadi mangsa kezaliman. Selama ini dia (MB) menafikan Unisel diambang kerugian dan hari ini terbukti kakitangan sebagai saksi. Unisel perlu selesai gaji sebelum sambutan hari raya,” kata beliau.
Sementara itu, seorang pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohamad Julis, berkata beliau terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung kehidupan keluarganya.
Beliau yang sudah tiga tahun bekerja di bahagian pembersihan berasa amat kecewa dengan pengurusan Unisel yang langsung tidak peka dengan golongan sepertinya.

No comments:

Post a Comment