Sunday, 5 August 2012

Hukum pemimpin pecah-belahkan perpaduan

BARISAN Nasional (BN) merupakan sebuah parti yang sudah matang dan tidak pernah gentar walaupun ia kehilangan Kedah , Pulau Pinang mahupun Selangor kepada pihak pembangkang.
Tahun 2008 memang tahun yang penuh kedukaan kepada BN, namun setelah Perdana Menteri Malaysia ke lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan pentadbiran negara ini kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kedukaan itu semakin terubat malahan BN semakin kukuh di hati rakyat terutama anak muda yang bakal mengundi pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Sesungguhnya sokongan orang muda bakal menjadi penentu kemenangan BN dan bakal menyaksikan jatuhnya parti politik berasaskan individu, ekstremis agama dan kaum. Orang muda harus menolak parti sebegini yang bukan sahaja merosakkan keamanan negara malahan meruntuhkan institusi sosial dan ekonomi.
'Faktor Najib' dan nombor 11 yang menjadi nombor kegemaran beliau, bakal menyaksikan perubahan yang amat besar pasca PRU-13 nanti. Lupakan dahulu isu lompat-melompat dan isu AP oleh pihak pembangkang yang merupakan sudut kecil dalam pentadbiran negara yang mega di mata dunia antarabangsa. Malaysia lebih holistik daripada itu.
Masa depan Malaysia bukan di tangan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun di tangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi di tangan pemimpin BN yang berjuang untuk semua bangsa, agama dan setiap individu sebagai Abang Long dalam parti komponen tertua di negara ini.
Mana-mana parti dan NGO yang melihat UMNO sebagai sudah lemah perlu melihat ke depan bukannya masih terbuai dengan senario 2008 yang merupakan masa lalu. Yang takkan berulang dan perlu dikenang lagi.
Jangan sesiapa secara biadap mengatakan UMNO sebagai tulang belakang orang melayu dan Islam di negara ini bukan lagi dianggap abang besar dan telah kehilangan banyak sokongan dari rakyat. Pokoknya BN selama ini berjuang bukan untuk generasi masa kini semata-mata tetapi generasi 100 tahun akan datang.
Parti UMNO menjadi Kerajaan bukan setakat merekrut pemimpin untuk menjadi pak turut dan 'Yes Man' kini zaman sudah berubah setiap suara adalah undi dan setiap undi adalah berharga.
Namun apabila generasi tua lebih berminat memporak-peranda politik sempit mereka kerana tamakkan kuasa dan marahkan nyamuk kelambu dibakar, maka orang muda harus menilai, inikah pemimpin yang mereka ingin angkat sebagai ketua mereka ke arah syurga mahupun masa depan yang gilang-gemilang.
Momentum kebangkitan orang muda yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai pewaris negara ini tidak boleh dipandang sepi. Cuma ada masanya golongan ini diperalatkan semahunya dengan janji dan ganjaran yang menyebabkan mereka melihat setiap apa yang kerajaan lakukan adalah propaganda politik.
Apa yang pelik apabila pinjaman pelajaran diberi ada antara mereka berkata itu memang kewajiban kerajaan, namun tidak pula pula golongan muda yang taksub kepada pembangkang ini mengucapkan rasa syukur kepada pemberian tersebut.
Malangnya sudah diberi pinjaman ada pula pembangkang yang sedap bercakap seakan berada di pentas debat untuk memberi pendidikan tinggi percuma kepada anak muda. Jika kita sibuk menyokong pemimpin yang sedap bercakap alamat negara ini akan jadi seperti Greece dan Sepanyol. Pandai main bola tetapi belum tentu pandai mengawal ekonomi.
Orang muda di negara ini sudah matang menilai sama ada dasar 1Malaysia bertujuan memecah-belah perpaduan atau menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat negara ini. Mereka perlu juga menilai bantuan duit kerajaan adalah gula-gula politik. Jika kerajaan hendak memberi gula-gula politik sudah pasti semua orang mendapat duit tersebut tetapi ia hanya diberi pada yang susah sahaja.
Justeru orang muda perlu memilih BN sebagai parti yang mampu menyambung legasi perjuangan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negara dari kekacauan. Jika kita termakan janji pembangkang memang semua boleh diberi namun apabila diberi peluang memerintah di negeri Selangor sudah kelam-kabut dengan isu demi isu.
Masa depan negara di tangan pemimpin BN hari ini, terjamin dengan organisasi pentadbiran yang mantap, maka tugas orang muda adalah mengundi BN demi kesinambungan status quo sebagai rakyat yang bakal mewarisi kemajuan yang ada.

No comments:

Post a Comment