DAP PERLU NYATA PENDIRIAN
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 19 Ogos 2012 menyiarkan artikel mengenai sikap sebahagian besar pimpinan kanan DAP yang tidak secara terbuka menyokong pendirian Pengerusinya, Karpal Singh yang menentang pelaksanaan hukum hudud.Artikel bertajuk Cabaran untuk DAP yang ditulis oleh Tan Hock Seng disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun halaman W3.
Beberapa hari lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengadakan sidang media khas mengecam Karpal berikutan bantahan beliau terhadap hasrat parti itu untuk mewujudkan negara Islam.
Nik Abdul Aziz sekali lagi menegaskan, bahawa undang-undang berkaitan hukum hudud lebih berkesan berbanding mana-mana undang-undang lain di dunia ini untuk membanteras jenayah.
Beliau berkata, mengikut undang-undang sedia ada, hukuman paling berat adalah gantung, sebaliknya hukum hudud yang akan dilaksanakan hanya memotong sedikit sahaja tangan pencuri.
Malaysia memang benar telah melaksanakan hukuman gantung, tetapi adakah kita pernah dengar si pencuri dihukum gantung?
Nik Abdul Aziz cuba mengaitkan perkara yang tidak munasabah, sehingga boleh menyebabkan orang lain tercengang-cengang tak terkata apa-apa!
Tambah pemimpin Pas itu, biarkan Karpal membuat bising, kerana daripada kekecohan itu nanti semua orang akan faham apakah sebenarnya hukum hudud yang ingin dilaksanakan Pas.
Itu hanya Karpal seorang yang menentang, apa yang perlu kita risaukan? Yang kami takut adalah jika semua orang dalam DAP yang membantahnya," kata Nik Abdul Aziz.
Mursyidul Am Pas itu telah berkecimpung dalam politik lebih puluhan tahun dan beliau telah melihat semua perkara dan pelbagai ragam yang ditunjukkan ahli politik.
Beliau tahu, pada masa sekarang pemimpin DAP lain tidak akan berani bersuara walaupun sedikit. Sebab itu Nik Abdul Aziz berkata, biarkanlah Karpal seorang yang membuat kecoh.
Baru-baru ini pihak pembangkang mengambil kesempatan mempergunakan isu pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang telah diluluskan Parlimen walaupun kesilapan yang dilakukan hanya sekecil itu sahaja.
Pindaan itu dikatakan tidak memberi keadilan kepada pihak yang jelas tidak bersalah, sebaliknya memberikan kebebasan kepada yang sepatutnya diambil tindakan.
Pembangkang memperbesar-besarkannya dan perbuatan mereka itu adalah seperti perbuatan iblis.
Perbezaan antara malaikat dan iblis ialah malaikat tidak pernah membuat kesilapan, tetapi iblis sentiasa berbuat jahat dan tidak suka jika ada manusia yang cuba berbuat baik.
Isu pindaan undang-undang ini langsung tiada kaitan atau tidak boleh disamakan dengan isu hukum hudud.
Mungkin kita terambil barangan secara tidak sengaja dan tangan kita dipotong. Si pemain kayu tiga mungkin akan ditanam hidup-hidup ataupun direjam dengan batu sehingga mati.
Si perogol sekurang-kurangnya perlu ada empat saksi yang sihat cergas mentalnya, baru boleh disabitkan kesalahan. Hukuman seperti itu boleh menggerunkan dan merisaukan semua orang.
Sepatutnya dalam isu hukum hudud, DAP perlu menunjukkan keikhlasan mereka. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tidak boleh berterusan menyorok dan menjadi bisu dalam isu itu.
Guan Eng perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau bersetuju dengan pendirian Karpal yang menentang hukum hudud.
Kerana tiada sokongan daripada pimpinan DAP, Karpal seolah-olah bertarung bersendirian. Pada saat-saat akhir nanti, adakah beliau bertarung bersendirian juga?
AHLI PARLIMEN TIDAK SERIUS?
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 17 Ogos 2012 menyiarkan bantahan pelbagai pihak terhadap pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.
Pindaan itu membolehkan penguat kuasa undang-undang menjadikan pihak tertentu bertanggungjawab kerana menyiarkan bahan yang menghasut, memfitnah atau libel secara online walaupun ia dilakukan pihak lain, asalkan bahan yang didakwa fitnah itu boleh dijejak kembali ke kata laluan, alat elektronik atau rangkaian Internet tanpa wayar (WiFi) milik mereka.
Artikel bertajuk Dewan Parlimen yang tercemar dalam sejarah disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 38.
Selepas perenggan 21 Akta Lesen Sawit diluluskan pada 2005, ia kemudiannya dimansuhkan.
Pemansuhan itu dibuat setelah perenggan asal yang dicadangkan oleh pegawai-pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak mengambil kira konsep rakyat didahulukan yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).
Jika perenggan itu dikuatkuasakan, pekebun kecil, peraih buah sawit dan pengusaha lori sawit yang menjual buah belum matang boleh didenda RM200,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali?
Sedangkan jenayah gores dan menang hanya dikenakan tiga atau empat minggu penjara dan denda sebanyak RM100,000 sahaja.
Pegawai-pegawai MPOB yang menggubal akta itu daripada bilik berhawa dingin tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya keputusan yang mereka buat itu amat melucukan.
Berkaitan pindaan Seksyen 114A, kesilapan yang berlaku adalah ia diluluskan Parlimen dalam tempoh singkat tanpa terlebih dahulu mendapat pandangan pihak profesional.
Pindaan bagi mengatasi jenayah di Internet adalah begitu sensitif yang jika tidak diuruskan dengan baik akan melanggar peraturan demokrasi dan hak asasi manusia.
Keburukan lain pindaan ini adalah bukti-bukti diperoleh daripada pihak yang menuduh, terus dikenakan kepada pihak yang dituduh. Ini telah melanggar semangat keadilan dalam perundangan.
Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kabinet mengkaji semula pindaan itu.
Isu yang timbul ini, membuatkan semua pihak memberi tumpuan kepada Ahli Parlimen yang meluluskan pindaan berkenaan.
Mereka perlu tahu tugas dan tanggungjawab mereka. Ahli Parlimen yang diberi gaji dan elaun untuk bermesyuarat tidak boleh asyik bermain politik sahaja.
Tugas utama mereka bukan sekadar membuat sidang akhbar di lobi Parlimen, terpekik-pekik dan cabar-mencabar dalam sidang, sedangkan undang-undang yang mereka luluskan lintang-pukang dan banyak kecacatannya.
Sepatutnya ahli-ahli Parlimen pembangkang dan parti pemerintah bekerjasama dan masing-masing membahagi-bahagikan beban tugas menyemak akta-akta yang dibentang itu, barulah ia dapat didalami dengan terperinci sebelum diluluskan.
Jika sesuatu akta diluluskan dan selepas itu ia dibantah serta dipinda semula, ini adalah satu pencemaran kepada Parlimen Malaysia.
Ini mencerminkan bahawa Malaysia adalah negara yang suka bermain-main dan tidak serius, bukannya sebuah negara kelas pertama.
No comments:
Post a Comment