Thursday 16 August 2012


ISU-ISU AKHBAR CINA

PAS DAN PAKATAN RAKYAT
AKHBAR China Press bertarikh 11 Ogos 2012 menyiarkan artikel mengenai hasrat Pas untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud sekiranya pihak pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Artikel tulisan Lim En Theng bertajuk Bolehkah Pas dipercayai? disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C17.
Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering menegaskan, mesti dilaksanakan undang-undang Islam di Kelantan.
Bagaimanapun, pelaksanaannya masih lagi tertangguh berikutan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan.
Di satu pihak lagi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, parti itu sudah lama meninggalkan niatnya untuk melaksanakan undang-undang Islam dan mereka kini mengutamakan matlamat untuk mewujudkan negara berkebajikan.
Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pengerusi DAP, Karpal Singh jangan harap apabila Pas sudah melepaskan pelaksanaan negara Islam, dengan itu dianggap Pas telah mencapai kata sepakat dengan pakatan pembangkang apabila konsep negara berkebajikan telah mengambil alih agenda itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula berkata, walaupun dalam Buku Jingga yang dikeluarkan pihak pembangkang tidak dimuatkan hasrat untuk melaksanakan undang-undang Islam, Pas tidak pernah berniat untuk melepaskan pelaksanaan undang-undang Islam.
Melihat dalam lapisan kepimpinan Pas ada banyak mengutarakan hujah-hujah, sebenarnya yang mana satu yang betul? Tahap yang boleh dipercayai di mana? Kerjasama antara tiga parti dalam pakatan pembangkang itu sebenarnya berada di tahap apa?
Perpecahan seperti ini memperlihatkan Pas bukan sahaja memberi masalah dalam pakatan pembangkang, malah kelihatan dalaman Pas sendiri bertelagah dan bercanggah.
Pemimpin-pemimpin tinggi Pas faham bahawa PRU-13 ini adalah satu peluang besar bagi pakatan pembangkang melangkah ke Putrajaya, di mana Pas tidak akan melepaskan peluang besar seperti ini, dan pemimpin-pemimpin Pas faham benar suasana dan keadaan politik dunia hari ini sudah tidak seperti dulu lagi.
Dulunya memihak dan condong kepada Barisan Nasional (BN), orang Cina kini telah berubah pandangan, dahulunya mereka memandang serong terhadap Pas, kini sudah berubah kepada menyokong Pas.
Di bawah fenomena dan perubahan politik hari ini, mungkin pada PRU akan datang, Pas akan bertukar wajah baru. Pada masa itu nanti, apa yang disebut oleh pemimpin-pemimpin Pas, apa sahaja yang boleh disabitkan dengan undang-undang Islam, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengubah konsep politik rakan-rakan kongsi mereka.
Itu bermakna, kesetiaan dengan rakan kongsi tidak akan kekal selama-lamanya. Kesetiaan Pas terhadap undang-undang Islam itu tidak boleh dipertikaikan.
Konsep politik Pas dalam fenomena politik di negara ini sebagai satu fenomena yang agak ganjil dan fanatik. Dasar politik DAP, MCA, PKR dan UMNO tidak jauh bezanya dan ada banyak persamaannya.
Sebaliknya, konsep politik Pas agak berlainan dari parti-parti yang ada. Pas memilih cara Islam untuk mentadbir negara ini, contohnya seperti baru-baru ini Kedah meluluskan satu perundangan Islam dari jawatankuasa undang-undang Kedah.
Undang-undang itu dengan jelas menyatakan jawatankuasa ataupun ustaz-ustaz, sama ada undang-undang itu telah diwartakan ataupun tidak, ia tidak boleh dipertikaikan dan dicabar, termasuk undang-undang sivil dan Mahkamah Syariah, ini adalah bermulanya undang-undang yang dibenarkan mereka.
Maksud undang-undang yang dibenarkan itu hanya raja-raja Melayu yang berkuasa mutlak untuk menentukannya, ia telah melanggar kuasa perundangan negara, sistem yang ada di negara kita sekarang ini adalah berkonsepkan keluhuran undang-undang, hanya undang-undang yang menentukan semuanya.
Walaupun Abdul Hadi menegaskan, Pas telah melepaskan niat untuk melaksanakan undang-undang Islam; tetapi jika dilihat secara menyeluruh pelaksanaan dan prestasi Pas di negeri-negeri, mereka tidak dapat menundukkan orang bukan Muslim dengan kata-kata seperti itu.
Apabila setiap pemimpin mengutarakan undang-undang Islam secara agresif, mereka akan mencabar saraf sensitif DAP dan saudara-saudara bukan Muslim.
Dengan itu MCA mengambil kesempatan untuk menghentam DAP, tetapi setiap kali MCA dan DAP saling jatuh menjatuhkan, adakah kita telah terlepas dari kecurigaan itu?
Pendirian undang-undang Islam Pas masih tidak berubah, walaupun ia tidak tertulis ke dalam Buku Jingga pakatan.
Kewujudan Buku Jingga itu hanya kerana ketiga-tiga parti dalam pakatan saling mahu mendapatkan sokongan dan bantuan di antara satu sama lain untuk mencapai kesepakatan.
Tetapi selepas PRU nanti, pertalian dan perhubungan ketiga-tiga parti dalam pakatan sama ada mereka masih mengikut model saling memerlukan di antara mereka, tiada seorang pun yang boleh membuat andaian dengan tepat dan tiada jaminan peta politik Pas selepas ada perubahan nanti, ia akan bergesel dengan undang-undang Islam yang mereka tidak pernah lepaskan selama ini.
DAP MAHU ‘SELAMATKAN’
PENGERANG
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 11 Ogos 2012 pula menyiarkan laporan mengenai ceramah DAP yang mendapat sambutan paling ramai di Johor dan rancangan untuk ‘menyelamatkan’ Pengerang.
Di Restoran Kuo Tai di Taman Molek, Johor Bahru pada 10 Ogos lalu itu, ceramah politik berjudul Ubah kerajaan, melangkah ke Putrajaya sebanyak 480 meja dipenuhi dengan kehadiran peserta seramai 5,000 orang. Ini telah memecah rekod sejarah jumlah peserta paling ramai dalam ceramah politik DAP di negeri berkenaan.
Dalam ceramah itu, mereka melaungkan mahu mempertahankan dan menyelamatkan kedudukan kampung halaman penduduk Pengerang yang akan musnah. DAP Johor menyeru supaya orang ramai memberi sokongan, dalam kempen mereka untuk menyelamatkan penduduk Pengerang.
Ceramah tersebut diadakan oleh Pemuda DAP Johor dengan kerjasama cawangan DAP Taman Daya. Ketua Pemuda DAP Johor, Tan Hong Ping berkata, di Pengerang akan dibina sebuah kilang ‘racun’, dimana ia bukan sahaja akan musnahkan kampung halaman penduduk di situ, malah bakal memusnahkan dan meratakan tanah tujuh kawasan tanah perkuburan orang Cina.
Justeru, beliau mahu orang ramai berkempen dan menyokong ‘selamatkan’ Pengerang dengan membeli poskad yang dikeluarkan oleh Pemuda DAP Johor dan kempen kuning Johor Selatan, bagi mengumpul dana untuk penduduk Pengerang.
Di majlis itu mereka turut memaparkan gambar-gambar projek yang sedang dibangunkan oleh industri Petrokimia di Pengerang dan tidak kurang peserta yang berpakaian kuning menghadiri majlis tersebut dengan tujuan mahu memberi galakkan supaya rakyat meninggalkan sebuah kerajaan yang teruk dan menyeleweng.
Dalam majlis makan itu juga beberapa ahli PKR memberi ucapan, termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming; Speaker Dewan Undangan Selangor (DUN) Teng Chang Khim; Pengerusi DAP Johor merangkap ADUN Skudai, Boo Cheng Hau; Timbalan Pengerusi DAP Pusat, Tan Kok Wei; Setiausaha Pemuda DAP Pusat, Chang Kok Siang; Ketua Pemuda DAP Johor, Chang Yin Kim; Ketua Penerangan DAP Johor, Liaw Chai Ping, serta Timbalan Ketua Penerangannya, Tan Cheng Chun.
Kok Wai dalam majlis itu berkata, DAP akan berterusan memperjuangkan kedudukan penduduk di Pengerang, dan memberi isyarat jika akan datang ini pakatan pembangkang yang memerintah, mereka tidak akan mengabaikan penduduk Pengerang yang sengsara itu dan walaupun diganti dengan wang ringgit. DAP tetap tegas dengan pendirian mempertahankan kampung halaman penduduk, mengekalkan udara yang segar, membersihkan pencemaran air sungai dan memberikan suasana yang selamat.
Cheng Hau dalam majlis sama pula berkata, buat masa ini DAP hanya mendapat satu kerusi Parlimen di Johor. Justeru, beliau berharap pada PRU akan datang DAP akan menang 1/3 kerusi Parlimen di Johor, dan akan bertambah lapan hingga sembilan Ahli Parlimen DAP.
Katanya, di bawah pemerintahan Barisan Nasional, jika mahu menubuhkan sebuah universiti swasta Cina, ia umpama pokok jejulang berbunga - perjalanan Southern College terlalu lama untuk mendapat status universiti, ini satu contoh yang benar.
Beliau berkata, pakatan pembangkang hanya 10 bulan sahaja memerintah Perak tetapi telah melaksanakan geran tanah kekal di Kampung Baru Cina yang mana ia merupakan satu polisi mesra rakyat manakala Pulau Pinang pula pada hari ini mempunyai wang tunai RM1 bilion. Maka, tidak syak lagi pakatan pembangkang adalah sebuah kerajaan yang bagus.
Tambah Cheng Hau, jika pada PRU akan datang pakatan pembangkang menang, sistem peruntukan wang secara adil akan diwujudkan untuk semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan orang ramai tidak perlu memberi sumbangan kepada SJKC setiap tahun, contohnya SJKC Tao Boon.

No comments:

Post a Comment