Thursday 16 August 2012


Kenyataan penuh Anuar Shaari

Anuar Shaari

BERIKUT ialah kenyataan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berhubung komplot memfitnah Perdana Menteri.
1. Saya difahamkan bahawa M. Puravalen telah menghantar surat saman kepada akhbar The New Straits Times (NST) kerana membuat liputan pendedahan Raja Petra mengenai komplot untuk memfitnah Perdana Menteri. Raja Petra mendakwa pada 2 Julai 2008, R. Sivarasa telah menjemput beliau untuk bertemu buat pertama kali dengan Balasubramaniam di rumah M. Puravalen.
2. Namun timbul tanda tanya di sini, mengapa M. Puravalen mahu menyaman NST tetapi tidak berani menyaman Raja Petra. Raja Petra yang mendakwa Puravalen bersama Sivarasa terlibat dalam komplot memfitnah Perdana Menteri, bukannya NST. NST hanya melaporkan berita yang berunsur kepentingan negara atau 'fair reporting'. Apakah Sivarasa dan Puravalen ada imuniti dari sebarang laporan media.
3. Kita juga hairan mengapa Puravalen tidak membuat sebarang penafian secara terbuka di dalam akhbar terhadap dakwaan Raja Petra. Soalnya di sini, mengapa Puravalen hanya mahu saman tetapi tidak menafikan dakwaan tersebut.
4. Justeru itu, kita meminta pihak polis menyiasat dakwaan Raja Petra ini dengan kadar segera kerana ia membabitkan kepentingan umum dan negara. Jika dakwaan ini berasas, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang terlibat demi rakyat serta kedaulatan undang-undang.
Oleh: Anuar Shaari


Nallakaruppan cabar Anwar

nalllakaruppan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan hari ini secara terbuka mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai isu moral Ketua Pembangkang itu.
Menurut Nallakaruppan, debat itu perlu kerana beliau tidak sabar untuk mendedahkan perkara tersebut kepada umum, apatah lagi kes saman yang difailkan oleh Anwar terhadapnya dalam isu berkenaan sehingga kini masih belum bermula.
Katanya, dalam debat tersebut, beliau bersedia mendedahkan identiti sebenar Anwar dan perlakuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepanjang 30 tahun persahabatan rapat mereka sebelum meninggalkan PKR.
"Anwar mahu memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat. Bagaimanapun Anwar perlu memanggil saya untuk berdebat terlebih dahulu dalam isu-isu moral melibatkan beliau.
"Saya minta beliau menetapkan tempat debat itu dan bersedia pergi biarpun pada pukul 2 pagi. Beliau tidak perlu panggil Perdana Menteri berdebat, saya sudah gelar Anwar sejak dulu, bukan hari ini," katanya pada sidang akhbar di sini.
Pada 19 Mac lalu, Nallakaruppan dalam satu sidang akhbar secara terbuka mendakwa Anwar terlibat dalam aktiviti tidak bermoral berdasarkan pengalamannya yang pernah berkawan baik selama 30 tahun dengan Penasihat PKR itu.
Bagaimanapun, Anwar melalui peguamnya menyaman Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung penyiaran berita itu dan mahkamah menetapkan perbicaraan pada 1 November depan.
Dalam perkembangan lain, Nallakaruppan yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan, tindakan Anwar yang kini giat melobi supaya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak melompat parti bertujuan mengkucar-kacirkan kedua-dua negeri berkenaan.
"Dia sebelum ini melakukan perkara serupa di Semenanjung tetapi tidak berjaya. Kini cuba melakukannya di Sabah dan Sarawak tetapi kita percaya di sana juga tidak akan berjaya, siapa yang lupa mengenai 16 September," katanya.


Majlis Peguam didesak siasat Puravalen dan Sivarasa

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Majlis Peguam diminta menyiasat sama ada dua ahlinya iaitu peguam Razak Baginda, M. Puravalen (gambar) dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa telah melanggar etika dan disiplin profesion guaman di negara ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, tindakan sewajarnya hendaklah diambil sekiranya kedua-dua peguam itu didapati melakukan kesalahan tersebut.
Menurut beliau, Majlis Peguam perlu meneliti pendedahan pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin tentang peranan Puravalen dan Sivarasa di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
''Saya minta Majlis Peguam jangan terlalu sibuk dengan isu-isu politik. Mereka sepatutnya memastikan peguam- peguam di negara ini menjalankan tugas dengan penuh integriti dan tidak melanggar etika guaman.
''Pendedahan Raja Petra itu sangat serius kerana ia berkaitan dengan integriti peguam yang boleh dianggap sebagai tidak beretika, tidak berdisiplin dan tidak profesional," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Raja Petra menerusi portal malaysia-today.netberhubung akuan bersumpah Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya yang didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.
Zahrain turut mempersoalkan penglibatan Puravalen dalam komplot memfitnah Najib sedangkan beliau dilantik oleh Razak sebagai peguamnya dalam kes pembunuhan Altantuya.
''Sekiranya pendedahan Raja Petra itu benar, tindakan Puravalen boleh menjejaskan integriti pengamal undang-undang di negara ini," ujarnya.
Kata beliau, Sivarasa juga dicabar memfailkan saman terhadap Raja Petra sekiranya benar-benar yakin tidak terlibat dalam komplot akuan bersumpah tersebut.


No comments:

Post a Comment