Monday 13 August 2012

Alkisah negeri seribu satu macam

KAMPUNG di mukim Kubang Sepat ini bukanlah kampung terpencil. Dari Pasir Mas hanya berjarak kira-kira 15 kilometer, ke bandar raya Kota Bharu pula 30 kilometer.
Hampir setiap rumah di kampung ini ada kereta. Piring-piring Astro serta kompresor pendingin hawa di luar rumah adalah pemandangan biasa. Ia satu kayu ukur kualiti hidup penghuninya yang serba ada.
Cuma yang sering bermasalah dan kekurangan saban hari sejak bertahun-tahun lalu di kampung ini ialah bekalan air bersih. Bukan sekadar musim kemarau, pada musim tengkujuh pun bekalan air bersih kadang-kadang ada, kadang-kala tiada.
Juga pemandangan biasa di kampung ini hampir semua rumah ada pam air untuk menyedut air bawah tanah. Sebahagiannya dibina rumah khusus berbentuk menara. Tetapi jangan harapkan airnya sentiasa bersih dan selamat diminum.
Kemuncaknya ialah minggu lalu, selama seminggu daerah ini terputus bekalan air bersih. Akibat musim kemarau berpanjangan, air daripada pam juga bermasalah. Air berkeladak dan berbau yang tidak sesuai digunakan walaupun untuk membasuh.
Orang kampung hanya mampu merungut. Ahli Parlimennya, Datuk Ibrahim Ali yang kritis itu lantang bersuara. Ada NGO yang bercadang mahu menyaman kerajaan negeri. Ketiadaan air tidak hanya menimbulkan kecemasan tapi juga menyebabkan banyak penderitaan.
Tetapi semua penderitaan, rungutan dan desakan rakyat itu tidak ke mana kerana Kerajaan Pas Kelantan sudah ada jawapan standard - terima dan berdoa saja, ini musim kemarau.
Sudahlah begitu, langkah susulan menghantar bekalan air bersih ke kawasan terjejas hampir tidak kelihatan. Kalaupun ada, ia terbatas di kawasan bandar.
Orang kampung dibiarkan bersendirian bersusah payah mengurus keperluan air bersih sehinggakan ada urusan memandikan mayat terpaksa ditangguh. Menjelang Aidilfitri ini dengan anak perantauan pulang kampung keadaannya tentu akan menjadi hingar-bingar.
Bayangkan haru-birunya jika tahap perkhidmatan dan layanan seperti ini berlaku di Lembah Klang atau negeri lain. Sungguh, tahap kesabaran penduduk amat tinggi. Mungkin penduduk sudah terbiasa dengan cara hidup begini walaupun dari segi kemudahan lain mereka serba mewah. Lucu, pakai wangi-wangian jenama antarabangsa tapi mandi air tanah.
Lebih lucu, kerajaan negeri Kelantan yang bangga menggunakan slogan membangun bersama Islam tetap menggunakan alasan yang sama. Itulah jawapan yang diberikan sejak dulu, kini dan mungkin selamanya. Malah mereka lebih sibuk menjanjikan mimpi sebuah lebuh raya baru, walhal masalah bertimbun di depan mata yang sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu.
Penderitaan
Air, bukanlah masalah baru di Kelantan. Begitu juga musim kemarau bukanlah hal baru di negeri itu. Ketika ini kebanyakan negeri mengalami masalah kemarau.
Tetapi kenapa negeri lain tidak pula terus terbeban dengan masalah asas ini? Di negeri lain, ia sudah lama diselesaikan kecuali di kawasan-kawasan terpencil. Perkampungan Orang Asli kini pun sudah mempunyai kemudahan itu.
Sepanjang Julai lalu, mengikut data Stesen Meteorologi Kota Bharu, jumlah hujan terkumpul ialah 161.6 milimeter. Di Stesen Meteorologi Kuala Terengganu pula ialah 131 milimeter manakala di Kuantan 106.8 milimeter.
Menurut Jabatan Meteorologi, ia merupakan paras normal dengan paras terendah boleh mencecah sehingga 12.9 milimeter. Jadi masalahnya bukanlah kemarau tetapi cara sumber air itu diurus.
Malangnya bencana kemarau selalu dipandang sebagai kewajaran. Itu yang membuatkan langkah persiapan menjadi tumpul. Apakah lagi yang boleh kita katakan kepada penguasa yang terus gagal mengurus kemarau padahal ia telah menyebabkan penderitaan berpanjangan kepada rakyat? Mujurlah kita bukan negara empat musim, yang ada salji.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seharusnya segera mendapatkan nasihat daripada rakan sejawatannya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Abdul Khalid yang mahu mengambil alih industri bekalan air di Lembah Klang dengan alasan syarikat konsesi tidak cekap tentu mempunyai banyak jalan penyelesaian.
Abdul Khalid selalu bercakap air di Selangor melimpah ruah dan tiada alasan boleh berlaku krisis. Seperti di Selangor fenomena di Kelantan juga sama. Abdul Khalid boleh mengajar Air Kelantan Sdn. Bhd. cara mengurus air dengan betul. Beliau tentu mempunyai standard kualiti yang tinggi kerana perkhidmatan Syabas yang terbukti efisien itu mahu diganggunya. Jika benar Abdul Khalid mampu, buktikanlah dahulu dengan membantu sekutunya di Kelantan ini. Tunjukkanlah kesepakatan pakatan yang mereka wujudkan itu jika benar ia untuk kepentingan rakyat.
Dan sebagai balasan, Kelantan boleh mengajar Abdul Khalid cara memperalatkan air sebagai komoditi politik. Jika nanti berlaku masalah bekalan air di Lembah Klang, bolehlah disalahkan kemarau atau Kerajaan Pusat.
Alhasil, sebahagian penduduk Kelantan akan terus terbeban dengan masalah bekalan air terawat ini. Ia bukan berlaku pada musim kemarau, musim hujan tetapi sepanjang waktu. Tentu ada sebabnya mengapa Kerajaan Pas Kelantan sengaja menyimpan isu bekalan air bersih ini. Jika tidak mengapa ia masih juga gagal diselesaikan.
Mungkin sudah begitu skrip kisah negeri seribu satu macam ini. Di satu negeri, mereka gagal mengurus air untuk sekian lamanya. Di negeri yang satu lagi, sebaik memerintah mereka kemaruk mahu menguasai pengurusan air. Di kedua-dua negeri ini, mengurus apa yang ada pun gagal apatah lagi mahu membina yang baru.

No comments:

Post a Comment