Tradisi Merdeka
21 Ogos 2012SAMBUTAN Kemerdekaan sejak sedekad yang lalu di Kampung Paya Guring Arau, Perlis memang menjadi bualan kerana mereka mempunyai cara tersendiri untuk merayakan hari bersejarah itu setiap tahun.
Dan tahun ini, sejak Julai lagi, seluruh masyarakat kampung ini sudah pun memulakan aktiviti sambutan kemerdekaan ke-55 dengan pelbagai cara termasuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Pengerusi Jawatankasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini, Romle Hassan, berkata sambutan kemerdekaan dengan unsur dan semangat patriotik dalam kalangan penduduk sudah menjadi tradisi dan sentiasa dinanti-nantikan.
"Dua program utama kami tahun ini ialah 'Semarak Merdeka Ke-55' dan menjadi tuan rumah kepada program Jelajah Merdeka Raya anjuran Jabatan Penerangan," katanya.
Kedua-dua sambutan menyaksikan penduduk kampung bekerjasama dengan masyarakat luar yang berkunjung termasuk lebih 300 pelajar dari Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) baru-baru ini.
Johan
Kisahnya bermula pada 2003 bila Romle mendapati kurangnya semangat sambutan merdeka di kawasan Arau, apabila hanya sebuah kedai mengibarkan Jalur Gemilang daripada keseluruhan premis di kawasan itu.
"Saya gagahkan diri menjahit 10 Jalur Gemilang yang disambung-sambung menjadi satu bendera besar dan digantungkan antara pokok-pokok getah," katanya.
Pada mulanya beliau agak risau diketawakan orang, tetapi sebaliknya yang berlaku.
Pada 2004, lebih ramai orang muda di kampung melibatkan diri dalam sambutan ini, seluruh kampung dihias dengan bendera dan tanglung buluh yang dibuat secara bergotong-royong.
Sambutan lebih hebat dilaksanakan pada 2005 - gotong-royong membina monumen berbentuk Menara Kembar Petronas daripada botol air terbuang - dilakukan dan dirancakkan lagi dengan jemputan sambutan bersama masyarakat berbilang kaum.
Segala usaha itu ternyata berbaloi apabila kampung ini dinobatkan sebagai johan Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan peringkat Parlimen Arau dari tahun 2003-2005.
Sejak itu sambutan pada tahun-tahun seterusnya tercacat dalam kalendar peristiwa yang secara konsisten diraikan di kampung ini.
Kayuhan cinta desa
Antara acara utama Program Semarak Merdeka Ke-55 ialah kayuhan 150 peserta sejauh 17 kilometer merentasi sembilan kawasan JKKK di sekitar Arau, anjuran bersama JKKK Paya Guring, Pejabat Pelancongan Negeri Perlis dan Kelab Associated Cyclosportif Trekkers.
Di kawasan JKKK terpilih, kain rentang dan bendera diserahkan kepada wakil setempat sebagai simbolik sambutan kemerdekaan di kawasan masing-masing. "Ini adalah bukti kebersamaan warga Arau bersatu menyambut kemerdekaan negara," ujar Romle.
Hadir merasmikan kayuhan itu ialah Pengarah Pejabat Pelancongan Negeri Perlis Anuar Abidin baru-baru ini.
Beliau berkata kayuhan seperti ini adalah satu wadah yang dapat menyatukan dua kelompok masyarakat iaitu yang berasal dari Perlis dan luar Perlis di samping mempromosi produk pelancongan desa.
Anuar juga berharap program sebegini dapat dilaksanakan dalam skala lebih besar dengan pengisian yang lebih komprehensif pada masa hadapan.
Antara tempat yang dilawati oleh jelajah kayuhan itu ialah perusahaan kuih bahulu tradisional, kilang pemprosesan ayam dan Galeri Di-Raja di pekan Arau.
Romle berkata pendedahan terhadap industri desa adalah penting untuk membuka minda generasi muda tentang potensi yang boleh mereka bangunkan di luar bandar. Pelajar Matrikulasi, Saros Razif Abdul Basar, 18, dari Kepong, Selangor berkata program sebegini membuka matanya terhadap cara hidup sebenar masyarakat di sini yang pada pandangannya sangat unik.
Ini disokong rakannya, Nooraeni Bustamin, 18, dari Kota Kinabalu, Sabah.
"Ini kali pertama saya datang ke Perlis. Perasaan ingin tahu saya tentang masyarakat di sini selama ini terjawab melalui kayuhan ini," katanya yang gembira dapat melihat proses kuih bahulu kegemarannya dibuat.
Jelajah merdeka raya
"Seluruh warga kampung berbangga apabila Jabatan Penerangan menawarkan peluang menjadi tuan rumah Jelajah Merdeka Raya," kata Romle.
Beliua menyifatkan ia sebagai satu penghormatan dan tanda kepercayaan agensi kerajaan terhadap usaha yang dilaksana selama ini.
Selain program utama pemberian sumbangan kepada golongan yang memerlukan, Romle mengambil peluang ini untuk menjadikan ia lebih meriah.
Pelajar-pelajar KMP dibawa 'berkampung' di sini sepanjang hari untuk aktiviti ramah mesra dengan penduduk kampung.
Bergotong-royong sejak pagi, mereka menyiapkan pelbagai juadah untuk berbuka puasa seperti gulai kawah dan bubur lambuk di samping persiapan lain.
Ini diikuti Solat Maghrib, Isya dan Tarawih secara berjemaah di dataran lapang sebagai simbolik negara Malaysia yang aman.
"Para pelajar difahamkan yang ini merupakan tradisi budaya kita. Ada negara lain penduduknya solat berjemaah di tengah-tengah ancaman hujan peluru.
"Hasil usaha para pejuang kemerdekaan, kita dapat melakukan perkara sama (solat berjemaah) dalam keadaan yang aman dan selesa," ujar Romle.
Peluang
Mengenai rahsia kejayaan setiap program yang dilaksanakan, Romle mengambil kira faktor psikologi memainkan peranan penting menggalakkan penyertaan setiap pihak tanpa perlu dipaksa.
Pensyarah bidang pemasaran di Universiti Utara Malaysia ini percaya setiap warga Malaysia mahu menterjemah rasa cinta kepada negara tetapi mereka kekurangan peluang untuk berbuat demikian.
Mengambil contoh pendekatan melibatkan pelajar dalam program-programnya, beliau mengakui ia penting sebagai faktor pendorong.
"Kebanyakan orang kampung sudah tua dan tidak bertenaga lagi. Dengan adanya mereka (pelajar), golongan tua menjadi lebih bersemangat untuk terlibat sama," jelasnya.
Kepada pelajar pula, Romle berkata kepelbagaian latar belakang mereka yang datang dari seluruh pelosok negara menambahkan lagi semangat peserta.
"Mereka diberi peluang untuk melakukan sesuatu di sini, satu pengalaman yang mungkin tidak terdapat di tempat asal mereka," ujar penerima Anugerah Kualiti Khidmat Masyarakat Terbaik Perlis tahun 2004 ini.
— Bernama
No comments:
Post a Comment