Tinggal laut, ternak lembu
Namun bagi seorang pelaut dari Pahang, P. Jagannatham, tindakannya meninggalkan pekerjaan tetap untuk melakukan sesuatu yang baharu dalam hidupnya dianggap sebagai satu perjudian kerana pulangan yang bakal diperoleh masih samar.
Dengan berbekalkan modal permulaan RM1 juta, dia mengambil keputusan berpindah dari Pahang ke Melaka untuk mencari peluang membuka ladang ternakan lembu.
Membawa bersama isteri dan tiga orang anaknya, bekas pelaut yang berusia 45 tahun itu mengusahakan sebidang tanah yang dijadikan ladang ternakan lembu di Alor Gajah pada tahun 2009.
"Pada permulaan, saya membeli 50 ekor lembu baka Friesian yang diimport dari negara jiran, Thailand dalam usaha membiak lebih banyak lembu tenusu sekali gus membekalkan susu segar kepada peruncit secara kecil-kecilan di sekitar Melaka.
"Pada masa yang sama, saya juga menghadiri beberapa kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga swasta untuk mempermudahkan proses pengurusan ladang dan juga binatang ternakan," katanya ketika ditemui di Alor Gajah Melaka baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman serta idea untuk mengusahakan ladang lembu tenusu, Jagannatham memberitahu, ia bermula apabila mengetahui kepentingan susu kepada manusia.
Menyedari susu lembu merupakan minuman berkhasiat selain merupakan sumber vitamin bagi tumbesaran manusia, dia bercita-cita untuk memberikan sumber terbaik sekali gus berkhidmat pada masyarakat.
Namun ujarnya, bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang berkualiti kerana faktor pemakanan mempengaruhi susu yang akan dihasilkan oleh lembu.
"Halangan utama yang dihadapi oleh penternak lembu adalah sumber makanan seperti rumput segar dan juga makanan tambahan lain.
"Jika dilihat penternak di sekitar Melaka mengalami masalah yang sama iaitu sukar mendapatkan rumput kerana kekurangan tanah di negeri ini sekali gus memaksa penternak membuat simpanan rumput yang banyak bagi mengelak kekurangan stok," ujarnya.
Selain itu katanya, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu untuk memberikan makanan terbaik kepada haiwan ternakan.
Menyedari halangan yang dihadapai oleh penternak lembu tenusu, Koperasi Serbaguna Tenusu Negeri Melaka (KST) dengan kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLM) baru-baru ini mengadakan Program Pembangunan Tenusu peringkat negeri Melaka.
Program yang dianjurkan selama dua hari itu melibatkan khidmat nasihat dan kaunseling, maklumat terkini penternakan haiwan tenusu, maklumat teknikal pengendalian susu, kemahiran praktikal serta pengetahuan perniagaan berkaitan perladangan.
Lawatan pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta pakar pemakanan DLM ke ladang lembu tenusu milik Jagannatham dilihat mampu memberi sokongan kepadanya untuk terus berusaha menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada pengguna.
Menurut Pengerusi KST, Briz Kumar Sukardhanram, program seumpama itu turut membantu penternak memperbaiki serta meningkatkan pengeluaran dan sekali gus menjadi usahawan berjaya mengikut cara tersendiri.
"Program ini mampu memberi inspirasi kepada para penternak khususnya di sekitar Melaka untuk pengurusan yang menguntungkan serta operasi perniagaan tenusu yang lebih mampan.
"Selain itu, penternak juga berpeluang untuk memasarkan susu dengan cara lebih sistematik di samping kualiti dan kuantiti susu tidak terjejas," ujarnya.
Susu yang dihantar oleh penternak ke pusat pengumpulan susu akan proses dan diuji sebelum dihantar kepada pembekal.
Di pusat pengumpulan tersebut, susu yang dihantar akan menjalani empat ujian yang terdiri daripada rasa, bau, tahap penstabilan protein, ketumpatan dan kandungan lemak.
No comments:
Post a Comment