Tabah hadapi cabaran transformasi
Kemusykilan yang sering diterima mengenai pelan transformasi ekonomi adalah kerajaan terlalu banyak campur tangan dalam perniagaan; kerajaan mempunyai terlalu banyak syarikat dan syarikat itu pula diberi terlalu banyak keutamaan melebihi syarikat lain.
Hakikatnya, kami bersetuju berdepan dengan isu ini dan sudah menggariskan tujuan itu dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
Kami bersependapat, kerajaan perlu fokus terhadap peranannya sebagai pembuat dasar dan pengawal selia. Kerajaan tidak seharusnya terbabit dalam usahaniaga yang sepatutnya diterajui sektor swasta yang mampu menguruskannya dengan lebih baik.
Kurangkan peranan
Malah, antara strategi utama kami untuk membentuk sebuah negara membangun berpendapatan tinggi adalah mendorong kerajaan mengurangkan peranannya dalam banyak perkara dan menyerahkan peranan itu kepada sektor swasta.
Sektor swasta kelak akan menjadi peneraju utama dalam pertumbuhan ekonomi. Ia menyumbang lebih 92 peratus daripada jumlah pelaburan sehingga 2020, iaitu tarikh sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju.
Kami serius mahu mengurangkan pembabitan kerajaan, lebih-lebih lagi dalam perniagaan, namun begitu kami kecewa kerana rata-rata orang tidak maklum dengan usaha ini. Inilah yang membuatkan kami kadang-kadang gundah, namun tetap tabah berusaha.
Walaupun begitu, kami harus tekankan ketiadaan langsung pembabitan kerajaan dalam perniagaan adalah tidak wajar. Kita perlukan kerajaan dalam beberapa keadaan. Kami sudah mengenal pasti empat situasi iaitu:
1. Pelabur swasta memerlukan pihak lain untuk melabur bersama. Di sinilah Kerajaan perlu campur tangan untuk menyediakan sebahagian daripada modal untuk memulakan sesebuah projek. Contoh termasuk pembangunan koridor, tebus guna tanah dan pembinaan destinasi resort yang besar. Pengendalian projek seterusnya boleh dilakukan oleh sektor swasta.
2. Perniagaan wajar dimiliki kerajaan. Contoh termasuk pemerolehan alat pertahanan negara dan pembekalan padi bagi memastikan keselamatan makanan negara. Kerajaan wajar memiliki projek itu.
3. Apabila modal pertumbuhan besar diperlukan, teknologi baru yang canggih dan pemangkinnya diperlukan. Pada dasarnya, ini merujuk kepada projek dengan tempoh gestasi panjang dan memerlukan modal yang amat besar serta tidak mungkin bertapak tanpa pembabitan awal oleh kerajaan. Namun apabila tiba masanya, Kerajaan akan menarik diri.
4. Projek bagi infrastruktur negara termasuklah jalan raya, lebuh raya dan aliran transit massa. Tiada strategi atau istilah undur diri untuk situasi sebegini – Kerajaan akan terus memiliki projek itu, namun sektor swasta yang akan mengendalikannya menerusi perjanjian konsesi.
Perlu ditekankan kerajaan tiada strategi untuk keluar atau undur daripada perbadanan minyak negara iaitu PETRONAS. Ia ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petrole-um untuk memilik, memperoleh dan mengeksploit minyak dan gas untuk keperluan negara bagi memaksimumkan pendapatan dan menggalakkan pemuliharaan.
Malah, PETRONAS mungkin memperluaskan peranannya dengan meneroka di negara luar bagi memperoleh lebih banyak aset minyak.
Pendek kata, PETRONAS adalah model syarikat pemegangan tenaga yang berjaya dan ia membekalkan dana yang luas untuk kerajaan memulakan projeknya.
PETRONAS juga menjalankan peranannya mendorong keusahawanan lebih-lebih lagi syarikat Bumiputera untuk terbabit diri dalam sektor minyak dan gas, dan peranan ini sudah terlaksana dengan jayanya. Usahlah kita rombak sesuatu yang berjalan elok.
Pasti ada menegaskan kerajaan sepatutnya kekal dalam perniagaan. Kami agak bersetuju berdasarkan beberapa jenis projek digariskan tadi.
Namun ada beberapa sebab penting mengapa pembabitan kerajaan patut dikurangkan.
Swasta terajui ekonomi
Sebab utama adalah kami mahukan pertumbuhan ekonomi diterajui sektor swasta. Ini bererti, kerajaan perlu beransur-ansur berundur, berikan ruang kepada sektor swasta dan ambil peranan sebagai pengawal selia bagi memastikan semuanya lancar tanpa terlalu banyak campur tangan.
Langkah ini akan menambat manfaat lain. Ramai sedia maklum syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai nilai pasaran sehingga 30-40 peratus di Bursa Malaysia.
Peratusan tinggi ini membawa masalah kecairan atau mudah tunai dalam pasaran. Berdasarkan cadangan dalam MBE, kami mengenal pasti 33 GLC (nama mereka tidak dapat didedahkan atas dasar integriti maklumat) bagi tujuan pelupusan sepenuhnya (21); pelupusan separa (lima) dan penyenaraian penuh di bursa (7).
Bagi memperlihatkan kesungguhan, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan mesyuarat yang sering diadakan untuk memantau serta menyemak perkembangannya.
Setakat ini, 13 syarikat sudah dilupuskan, 11 daripadanya selesai pada 2011. Antara nama besar terbabit termasuklah FELDA Global Ventures, IHH Healthcare, Pos Malaysia dan EON Cap.
Cadangan dibuat untuk pelupusan syarikat dimiliki kerajaan negeri. Kami sedang meneliti syarikat milik beberapa kementerian dalam usaha mengurangkan peranan kerajaan dalam perniagaan.
Kami berharap menambah baik kecairan pasaran di Bursa Malaysia dengan penjualan saham secara beransur-ansur atau penjualan terus syarikat-syarikat besar yang tersenarai dan pada masa sama sedang mendorong penyenaraian syarikat dimiliki kerajaan.
Langkah ini dan seterusnya pada masa akan datang, penyenaraian atau pelupusan syarikat milik kerajaan negeri dan kementerian dapat mengurangkan bilangan syarikat kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan kontrak.
Ini bagi mengelak penyingkiran atau penyisihan sektor swasta. Sementara itu, kita tidak patut memberi keutamaan kepada syarikat milik kerajaan untuk penganugerahan kontrak.
Manfaat utama daripada keseluruhan proses ini ialah kerajaan akan memperoleh hasil daripada projek pembangunannya dan sektor swasta pula dapat menerajui semua projek perniagaan ini dengan lebih baik daripada Kerajaan sendiri. Dengan ini, kita boleh menjangka pendapatan yang lebih banyak daripada hasil cukai pada masa akan datang.
Peranan kami dalam kerajaan dan lebih-lebih lagi di Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) adalah sebagai pemudah cara bagi sektor swasta menjadi jentera pertumbuhan untuk masa hadapan. Kamilah yang merancang, kamilah yang mengenal pasti, kamilah juga yang berhubung dengan sektor swasta dan merangsang prestasi mereka.
Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting dalam matlamat kami menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan kita berdaya saing relatif kepada seluruh dunia kelak.
Kejayaan transformasi kita bersandar kepada sebuah Kerajaan yang memberi tumpuan kepada fungsi utamanya, dan percayalah, itulah yang sedang kami lakukan.
No comments:
Post a Comment