Thursday, 16 August 2012


Nasharudin masuk UMNO, Nik Aziz masuk DAP?

GARA-GARA menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu para ulama Arab Saudi di Mekah, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah dilabel oleh penyokong partinya sebagai pengkhianat.
Serentak dengan itu juga tersembur gesaan Nasharudin yang meminta parti itu menyatakan pendirian tegas berhubung penghinaan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud yang menimbulkan kemarahan kepada parti.
Malahan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekian lama “tidak sebulu" dengan Nasharudin sejak tercetusnya cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan menganggap bukan sesuatu mengejutkan jika Ketua Lajnah Hubungan Antarabangsa Pas itu keluar parti dan menyertai UMNO.
Bagaimanapun blog The Flying Kick (theflyingkick.blogspot.com) menganggap kenyataan itu menunjukkan dendam Nik Aziz terhadap Nasharudin masih menyala walaupun Ahli Parlimen Bachok itu masih kekal bersama Pas dan tidak pernah membayangkan akan meninggalkan partinya.
“Kalau Nasharudin dikatakan masuk UMNO semata-mata kerana bergambar dan menemani Najib ke Mekah, apakah wajar juga Nik Aziz dikatakan sebagai masuk DAP kerana dia bukan sahaja banyak kali dilihat bersama-sama para pemimpin DAP tetapi acap kali membela DAP setiap kali kafir harbi itu hilang hujah disergah UMNO?
“Apatah lagi Nik Aziz sendiri sudah berpelukan dengan (Lim) Kit Siang dan (Lim) Guan Eng!" bidas blog tersebut.
Kamal Farsya (kamalfarsya.blogspot.com) menganggap serangan pimpinan Pas termasuk Nik Aziz terhadap Nasharudin adalah kerana terlalu mengidamkan Putrajaya sehingga membuatkan mata menjadi kelabu dan telinga mereka pekak.
Ini kerana, Pas amat menyedari bahawa cita-cita mereka untuk menggapai Putrajaya tidak akan tercapai tanpa sokongan pengundi Cina dari DAP.
“Atas sebab itu, soal pendirian tolak sebelah dan siapa saja yang cakap hentam ‘rakan kongsinya’ itu sekalipun logik mana sekalipun akan digasak habis-habisan untuk ambil hati dan belai DAP," katanya.
Persoalannya, apakah benar Nasharudin mempunyai niat untuk meninggalkan Pas dan apakah Pas sedia memecat keahlian beliau gara-gara menunjukkan “hubungan mesra" dengan pemimpin Barisan Nasional (BN)?
Blog Semut Hitam (semuthitam80.blogspot.com) berpendapat Pas tidak mungkin akan memecat keahlian Nasharudin sepertimana tindakan dilakukan terhadap Datuk Hassan Ali gara-gara memperjuangkan isu murtad.
Katanya, jika tindakan serupa dikenakan terhadap Nasharudin, sudah pasti ia akan memberikan ‘perbatuan politik’ yang begitu baik untuk UMNO dan BN.
“Kesimpulannya, kalau Pas ambil tindakan drastik dan membuang Ustaz Nasha (Nasharudin) macam mereka lakukan terhadap Hassan Ali, memang mereka sengaja gali lubang kubur sendiri.
“Rakyat akan melihat bahawa Pas hanya merupakan sebuah parti pencacai je. Mereka sanggup tunduk kepada orang lain (DAP) dari terus mempertahankan dasar perjuangan sendiri," katanya.
Azli Shukri (azlishukri.blogspot.com) juga melihat pemecatan keanggotaan Nasharudin bakal membawa malapetaka kepada Pas pada pilihan raya umum akan datang.
“Jika ini berlaku, maka insya-Allah hayat Pas dalam PRU yang akan datang semakin jelas gelap dan kelam. Pas tidak pernah belajar apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh ahli akar umbi selama ini," katanya.
Sementara itu blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) pula agak terkilan jika Nasharudin benar-benar menyertai UMNO memandangkan kedudukannya beliau sebagai bekas Timbalan Presiden Pas.
Katanya, adalah sangat tidak merugikan jika UMNO mendapat bekas Timbalan Presiden Pas sedangkan Pas hanya memperoleh Tamrin Ghafar, seorang individu yang tidak mempunyai pengaruh.
“Betullah dia anak Tun Ghafar (bekas Timbalan Presiden UMNO) tapi apa pengaruhnya pada UMNO? Tak ada... zero. Dia masuk Pas seorang sahaja. Ada 100 orang lain yang ikut dia?
“Tamrin ini pada ana, tidak membantu kita pun... Tapi kita julang dia macam wira yang masuk Pas. Kita perlu letak standard sikitlah. Kalau Muhyiddin masuk Pas, baru lah kita julang. Ini Tamrin." katanya.

No comments:

Post a Comment