Wednesday 8 August 2012

Tiga tiada sijil halal tawar bufet Ramadan


PUTRAJAYA 7 Ogos - Umat Islam dinasihatkan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekiranya terdapat pengusaha hotel dan restoran yang tidak mempunyai sijil halal tetapi menyalahgunakan istilah bufet Ramadan.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Katanya, 'Ops Bufet Ramadan' dalam 40 serbuan di sekitar Lembah Klang mendapati tiga premis tidak mempunyai sijil halal dan dua premis lagi diragui kesahihan sijil halal.
"Lima premis tersebut akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) dan jika disabitkan kesalahan premis berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000.
''Bagi kesalahan berikut dalam kes yang sama denda tidak melebihi RM500,000.
"Jadi kita amat mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai. Jika ragu-ragu tentang kesahihannya, boleh layari laman web www.halal.gov.my untuk mengetahui hotel dan premis yang mempunyai sijil halal yang disahkan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurut Hakimah, operasi tersebut akan dijalankan secara berterusan sepanjang Ramadan dan berharap pengusaha hotel tidak memandang remeh amaran yang dikeluarkan Jakim.
Baru-baru ini, Jakim memberi amaran kepada hotel dan premis makanan di negara ini yang tidak mempunyai sijil halal supaya tidak menggunakan istilah bufet Ramadan sewenang-wenangnya.
Larangan penggunaan istilah bufet Ramadan itu bertujuan untuk tidak mengelirukan umat Islam terhadap status halal di premis makanan.
Sementara itu, Hakimah turut menasihatkan orang ramai yang ingin menganjur majlis berbuka puasa, supaya memilih hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Mengulas mengenai sikap sesetengah hotel yang tidak memohon dan berusaha untuk mendapatkan sijil halal, beliau berkata, Jakim memberi peluang secukupnya kepada pengusaha industri perhotelan iaitu kira-kira dua bulan sebelum Ramadan untuk berbuat demikian.
"Memang sambutannya amat menggalakkan tetapi pada masa sama terdapat juga hotel langsung tidak memohon atau berhasrat mendapatkan sijil halal ini, mungkin mereka berasa tidak layak.
"Namun, ingin saya jelaskan di sini apa yang menjadi keutamaan Jakim ialah dapur utamanya yang menyediakan makanan kepada pengunjung Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment