Thursday, 23 August 2012


Aidilfitri wadah penyatuan

19 Ogos 2012

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan agama yang paling meriah dalam Islam. Ia dirayakan oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan sosial atau kaum. Dalam konteks negara ini Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang memperlihatkan budaya Melayu sebagai terasnya selain tuntutan agama.
Bagaimanapun cara menyambut Hari Raya Aidilfitri telah berubah mengikut zaman. Ini berlaku apabila orang Melayu yang dulunya banyak di kampung kini telah menghuni bandar bandar. Maka berlakukan budaya balik kampung untuk mengeratkan penyatuan antara kaum keluarga dan sanak saudara. Tokoh budaya PROFESOR DATUK DR. ZAINAL KLING yang juga Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba di UPSI berkata, budaya ini perlu dikekalkan supaya keunikan budaya kunjung mengunjung ini dapat dipertahankan. Ini sekali gus dapat mempertahankan perhubungan sosial dalam perayaan
“Inilah masa terbaik untuk mengeratkan silaturrahim selain membentuk sikap untuk mempertahankan budaya Melayu yang telah diamalkan sejak sekian lama," tegas Dr. Zainal ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID di Shah Alam, Rabu
lalu.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat sambutan hari raya sekarang berbanding dahulu?
ZAINAL: Sambutan hari raya adalah satu keperluan bagi orang Melayu kerana mereka tidak ada festival lain yang boleh disambut dengan meriah. Memang banyak festival atau sambutan keagamaan yang berlangsung setiap tahun tapi ia tidak semeriah hari raya. Antaranya Nuzul Quran, Maal Hijrah dan pelbagai lagi namun yang terbesar adalah sambutan dua hari raya ini iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Bagi saya sambutan hari raya masih lagi dilihat sebagai berharga dan diraikan sepenuhnya sama ada di bandar atau di kampung-kampung. Cumanya yang menjadi persoalan adalah sekarang orang Melayu sudah lebih ramai di bandar. Kalau dahulu hampir 90 peratus orang Melayu menetap di kampung. Tetapi semenjak merdeka dan migrasi beramai-ramai orang Melayu atau faktor pekerjaan dan pelajaran, saya rasa hampir separuh orang Melayu sudah menetap di bandar. Faktor ini telah mengakibatkan keadaan di kampung sekarang dilanda sindrom kekurangan orang muda. Yang tinggal hanyalah golongan tua dan kanak-kanak.
Adakah faktor pembangunan mungkin akan mengurangkan kemeriahan hari raya?
ZAINAL: Keadaan di bandar sudah banyak berubah berbanding dahulu. Kini semakin banyak bandar-bandar dan kawasan perumahan yang majoritinya adalah orang Melayu dan Islam walaupun secara keseluruhannya ia masih didominasi oleh orang Cina. Namun pembangunan di bandar masih tetap dilangsungkan seiring dengan kehendak Islam seperti mana terdapat banyak masjid dan penyebaran dakwah di kalangan masyarakat. Oleh itu kependudukan orang Melayu sudah semakin signifikan di bandar walaupun mereka tidak lagi menetap di kampung. Dari segi kemeriahan sudah tentu orang ramai masih nostalgik kepada sambutan hari raya di kampung. Sudah tentu apabila tiba musim raya mereka akan tetap berkunjung ke kampung.
Maknanya tidak akan hilang ‘seri’ hari raya ini walaupun orang Melayu semakin moden?
ZAINAL: Jika kita lihat keadaan sosioekonomi Melayu sekarang ternyata ia semakin baik apabila terdapat lebih ramai orang Melayu kelas menengah. Kita ambil contoh di bandar majoriti Melayu seperti Shah Alam, yang mana 70 peratus adalah orang Melayu dan majoritinya adalah kelas menengah dan juga mereka yang berpendapatan tinggi. Keadaan ini dikembangkan lagi jika dibuat perbandingan yang mana satu ketika dahulu sesebuah kampung terletak di pinggir bandar majoritinya ialah golongan biasa. Namun akibat kepesatan pembangunan sistem perbandaran, Melayu juga berubah apabila kampung di pinggir bandar seperti Shah Alam dan Bangi kini menjadi pusat penempatan orang Melayu. Ini berlaku apabila bandar raya seperti Kuala Lumpur berkembang pesat dan kampung-kampung ini berkembang menjadi penempatan majoriti Melayu.
Kalau kita lihat dari sudut pendidikan misalnya terdapat banyak sekolah dan universiti yang berteraskan Islam untuk masyarakat memilih apa yang terbaik untuk mereka. Oleh itu saya melihat selagi ajaran Islam masih kuat dan teguh di negara ini adalah mustahil untuk sambutan hari raya akan kehilangan seri.
Bagaimana Datuk melihat ancaman terhadap pengekalan budaya dan tradisi sambutan hari raya?
ZAINAL: Memang terdapat keadaan di mana adanya orang Melayu yang menyambut hari raya dalam keadaan yang lebih ‘bandar’ terutama mereka yang berasal dari bandar ataupun tiada lagi sanak-saudara di kampung. Kebiasaannya mereka tidak lagi berhimpun di rumah pada pagi raya ataupun tidak mengunjungi saudara-mara dan sahabat handai. Mungkin sekadar mengunjungi rumah saudara-mara yang rapat dan berdekatan. Malah terdapat juga mereka yang mengambil kesempatan cuti di hari raya dengan berkunjung ke luar negara untuk melancong bersama keluarga. Memang budaya ini sudah wujud namun ia masih belum ke tahap yang serius. Namun kita perlu berharap masyarakat akan tetap mempertahankan kemeriahan sambutan hari raya walaupun arus kemodenan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
Bagaimana Datuk melihat tradisi balik kampung?
ZAINAL: Memandangkan masih terdapat orang tua mahupun sanak saudara di kampung maka tradisi balik kampung ini masih berlaku. Ia sememangnya berlaku atas faktor utama melawat orang tua dan meraikan hari raya bersama. Namun perlu juga kita melihat kepada usaha untuk mengukuhkan silaturahim sesama saudara-mara, jiran dan sahabat handai. Saya melihat kepada golongan seperti saya yang mana sudah kehilangan orang tua, yang ada di kampung hanyalah anak-anak buah dan seorang nenek saudara yang masih hidup. Atas alasan ini saya akan tetap balik ke kampung untuk melawat mereka. Budaya ini perlu dikekalkan supaya keunikan budaya kunjung-mengunjung ini dapat dipertahankan. Ini sekali gus dapat mempertahankan perhubungan sosial dalam perayaan.
Apa tradisi Melayu ketika hari raya yang perlu dipertahankan pada pandangan Datuk?
ZAINAL: Dalam soal hari raya kita tidak dapat menolak pengaruh dan budaya Islam yang banyak dipengaruhi budaya Arab dan sebagainya. Dalam menunaikan solat sunat Aidilfitri misalnya ia adalah tuntutan agama dan memang perlu dipertahankan. Namun jika melihat dari sudut budaya, pakaian yang dikenakan, hidangan dan juadah tradisi, kuih-muih yang telah wujud sejak sekian lama dan pelbagai lagi adalah antara perkara yang orang Melayu sendiri perlu pertahankan. Namun itu semua juga sekarang telah dipengaruhi cara moden. Malah kuih tradisi seperti baulu, kuih bangkit dan pelbagai lagi pun sudah kurang dihidangkan kepada tetamu.
Bagaimana Datuk melihat signifikan hari raya dalam konteks sosial Melayu?
ZAINAL: Saya melihat memandangkan masih ramai orang yang mengamalkan tradisi balik kampung pada hari raya maka ia masih signifikan dalam budaya orang Melayu. Ia masih berlaku dengan teguh walaupun berlaku perubahan-perubahan yang mungkin sukar dinafikan kesannya namun hari raya masih memberi pengaruh yang besar pada orang Melayu. Pada kebiasaannya tujuan balik kampung ini mungkin sukar dilakukan lebih kerap mungkin kerana tuntutan kerja, jarak dan sebagainya. Jika tidak ada kematian dan kenduri-kendara tidak ramai yang mahu balik kampung. Oleh itu kesempatan pada hari raya ini di mana orang balik kampung mengunjungi ibu bapa, sanak saudara dan sebagainya adalah masa terbaik untuk mengeratkan silaturahim selain membentuk sikap untuk mempertahankan budaya Melayu yang telah diamalkan sejak sekian lama. Setakat ini Hari Raya Aidilfitri masih mengekalkan peranannya sebagai satu sistem perayaan namun terdapat sedikit sebanyak perubahan yang kita tidak dapat elakkan daripada berlaku.
Apakah dengan berkembangnya status dan kedudukan orang Melayu mampu menghilangkan semangat dan budaya kita dalam menyambut Aidilfitri?
ZAINAL: Semakin kita berkembang maju dari sudut status ekonomi semakin kita berkembang dari sudut perbandaran, maka sedikit sebanyak akan terserap budaya lain di dalam sambutan perayaan seperti Aidilfitri ini. Ini boleh kita lihat apabila ada di antara kita yang melancong sama ada di dalam negara atau ke luar negara apabila tibanya satu Syawal. Pada mereka mungkin hari raya hanya dilihat sebagai peluang untuk menghabiskan cuti panjang. Namun perkara ini hanya berlaku kepada sebilangan kecil masyarakat Melayu terutama di bandar.
Bukankah apabila tiba hari raya orang Melayu sepatutnya kembali kepada asal-usul mereka dan mempertahankan tradisi?
ZAINAL: Seharusnya apabila tiba hari raya orang Melayu perlu kembali kepada jati dirinya. Ini kerana hari raya antara keraian yang paling besar dalam takwim orang Islam setiap tahun. Oleh itu berdasarkan budaya kita adalah perlu bagi orang Melayu kembali kepada budaya tradisi seperti berpakaian lengkap dengan baju Melayu dan songket misalnya. Jika kita lihat di negara lain, rakyatnya akan turut melakukan perkara sama pada hari raya seperti mana orang Arab, India dan lain-lain yang akan berpakaian tradisi mereka selain disediakan juadah tempatan. Begitu juga apabila kita lihat sekarang semakin banyak dianjurkan rumah terbuka untuk meraikan semua orang tanpa batasan kaum. Mungkin ada yang melihat ia sebagai tradisi baru namun sebenarnya ia adalah tradisi lama yang sudah dikembangkan bersesuaian dengan keadaan semasa. Dahulu kebanyakan rumah dengan lapang dada menerima kunjungan dari jiran-jiran dan sahabat handai dan kini ia diperluaskan konsepnya untuk memudahkan orang ramai datang selain untuk menyemarakkan perpaduan antara semua kaum.
Bagaimana Datuk melihat perayaan seperti hari raya dapat mengeratkan perpaduan?
ZAINAL: Bagi saya sambutan hari raya ini dapat menjadi alat untuk perpaduan jika kita semua menggembleng tenaga bersatu hati meneguhkan perpaduan bukan sahaja di kalangan orang Melayu dan Islam tetapi turut merangkumi pelbagai bangsa dan agama yang terdapat di negara ini. Kalau menurut ajaran Islam sememangnya sudah terbina sistem yang menggalakkan umat Islam dan sambutan hari raya ini juga dilihat sebagai wadah untuk mengeratkan perpaduan dan persaudaraan. Contoh ini boleh dikembangkan di kalangan orang bukan Islam apabila mereka turut hadir ke rumah rakan-rakan mereka yang beragama Islam sekali gus meraikan dan mengeratkan perhubungan dan perpaduan sesama rakyat di negara ini. Jika semangat ini boleh diperkukuhkan bayangkan bagaimana bentuk perpaduan yang boleh dilakukan di kalangan orang Melayu di negara ini. Agak menyedihkan melihat perpaduan yang semakin kurang di kalangan umat Melayu yang beragama Islam.
Diharapkan pada bulan yang penuh keberkatan ini, kita semua boleh saling memaafkan dan memberi ruang untuk perpaduan supaya kita boleh menjadi lebih kuat dalam berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang datang dalam pelbagai sudut. Melalui usaha ini ia boleh menjadi alat untuk perpaduan ummah tanpa perlu melihat kepada sudut politik. Islam itu adalah agama yang lengkap kerana sepanjang masa ia menggalakkan perpaduan. Ini boleh dilihat pada setiap kali Jumaat, orang Islam akan bersama-sama berkumpul menunaikan solat Jumaat yang sekali gus menjadi alat untuk menggembleng perpaduan. Maka pada hari raya ia adalah umpama kemuncak untuk menggalakkan perpaduan sesama kita selain bermaaf-maafan.

No comments:

Post a Comment