Jati diri Cina Malaysia perlu komponen Melayu
Bukan Cina tulen
Cina Malaysia adalah hanya separuh Cina dan bukan Cina tulen seperti yang di China, merupakan hakikat yang perlu diterima dengan penuh keinsafan. Dalam hal ini, hubungan Cina Malaysia dengan China perlu hanya bersifat budaya nostalgia dan sentimental. Oleh itu, mereka perlu menyedari, lebih-lebih lagi menginsafi nasionalisme etnik Cina mereka tidak boleh sekali-kali bersifat totok Cina, melainkan dibaurkan dengan perimbangan yang munasabah kadarnya, dengan nasionalisme Malaysia, yang harus mendukung simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah persetujuan bersama menjelang kemerdekaan.
Kelulusan pembinaan sekolah persendirian Cina yang ke-61 di Kuantan bukan saja disambut dengan baik, malah dianggap sebagai langkah betul yang diambil oleh kerajaan. Ini antaranya kerana kerajaan didapati memahami aspirasi mereka yang memberi keutamaan kepada pendidikan aliran Cina. Untuk mewajarkan penubuhan sekolah ini, mereka selalu menganggapnya sebagai keuntungan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara, lebih-lebih lagi dalam perdagangan Malaysia-China.
Kebaikan pendidikan aliran Cina dalam beberapa aspek tidak dapat dinafikan. Antaranya adalah ia bersifat sistem yang dibantu oleh komuniti sendiri sejak kemerdekaan dan penjajahan British lagi, selain cara pengurusannya yang cekap, baik dari segi kualiti pendidikan mahupun penglibatan komuniti.
Timbul isu perkauman
Namun demikian, pendidikan aliran Cina, baik di Sekolah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Persendirian, sering dipersepsikan sebagai antinasional atau menimbulkan isu perkauman pada sudut yang kurang ekstrem. Hal demikian disebabkan oleh perjuangan dan tuntutan yang dapat dilihat sebagai melampau dan tidak berpijak di bumi nyata dalam sebuah negara majmuk. Antaranya adalah keperluan guru yang memiliki kelulusan bahasa Mandarin pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat penempatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Salah satu persepsi negatif tentang pendidikan aliran Cina ialah ketidaksediaannya untuk memupuk perpaduan, khususnya yang ingin dicapai melalui penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, sebagai penanda jati diri nasional.
Usaha sebegini didapati amat kurang jika diteliti daripada beberapa hal. Pertama, cadangan pendidikan ketatanegaraan dalam bentuk mata pelajaran baru, Malaysia Negaraku, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula pada 2011, dalam bahasa Melayu. Ia yang ingin menggunakan 30 minit daripada jumlah 1,380 minit seminggu itu, ditolak atas pelbagai alasan, yang memperlihat keengganan sektor bukan Melayu menggunakan simbol Melayu itu.
Kedua, keengganan menggunakan sukatan pelajaran KSSR yang sama, untuk mata pelajaran bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris, dengan Sekolah Kebangsaan, agar penguasaan bahasa Melayu di sekolah vernakular berada pada tahap yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment