Pusat Urut Berhampiran Perumahan & Masjid
Kebanjiran pusat-pusat yang tidak bermoral itu jelas membuktikan kerajaan Selangor yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah ‘lepas tangan’ dengan fenomena ini.
Bagi mendalami kegusaran beberapa NGO berkenaan, wartawan Utusan Malaysia membuat tinjauan ke beberapa kawasan seperti di Seri Kembangan, Ampang dan Puchong.
Rata-rata mendapati kewujudan pusat urut mahupun pusat hiburan dilihat tidak sesuai kerana berhampiran dengan kawasan perumahan dan masjid.
Lebih mengecewakan lagi ialah apabila kawasan pusat hiburan, rumah urut dan pusat snuker ini berhampiran pusat tuisyen serta balai polis.
Tinjauan ke Jalan Kenari, Puchong Selangor mendapati hampir 30 pusat urut, pusat hiburan dan pusat snuker terdapat di beberapa premis bangunan empat tingkat di kawasan itu.
Sebagai contoh di Jalan Kenari 9, deretan pusat hiburan atau pub mengisi ruang bangunan di jalan tersebut dengan hanya ‘berjiran’.
Kira-kira 500 meter dari pusat hiburan itu, terdapat beberapa pusat urut dengan lambang kaki di hadapan premis masing-masing.
Menurut seorang pekerja di pusat urut berhampiran Jalan Kenari 18 yang dikenali sebagai Jasmin berumur 20-an, rata-rata pengunjung ke pusat urut hanya mahu menikmati urut seks.
Tambah Jasmin, pusat urut tempatnya bekerja bagaimanapun tidak menawarkan perkhidmatan urutan seks.
“Kalau abang mahu urutan seks pergi ke kedai sebelah atau di kedai hadapan sana. Kami di sini tiada urut yang syok-syok punya! Kami urut betul-betul,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Kelmarin, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mendakwa kebanjiran pusat-pusat urut dan hiburan di Selangor bukti kerajaan negeri itu tidak sensitif terhadap keselamatan dan keselesaan rakyat.
Selain Puchong, akhbar ini turut mengesan beberapa pusat urut di sekitar Seri Kembangan berhampiran South City Plaza.
Daripada pemerhatian, setiap deretan bangunan mempunyai satu pusat urut yang juga menggunakan lambang kaki.
Kemudian, kami beredar ke Pandan Indah yang juga dikatakan lubuk dan sangkaan kami memang tidak meleset apabila banyak pusat urut, hiburan dan snuker tumbuh di Jalan Pandan Indah 4 dan sekitarnya.
Lebih menyedihkan apabila kawasan blok premis tersebut berhampiran kawasan perumahan dan Masjid Al-Azim.
Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas ke atas lambakan pusat urut, hiburan dan snuker sama ada yang berlesen atau tidak.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu selaku individu yang bertanggungjawab, perlu menyelesaikan isu ini dengan segera – utusan
Kebanjiran Pusat Urut ‘KPI’ Kerajaan Selangor
Antarapos – KUALA LUMPUR: Kebanjiran pusat-pusat urut dan hiburan di Selangor bukti kerajaan negeri itu tidak sensitif terhadap keselamatan dan keselesaan rakyat, dakwa Persatuan-persatuan Pengguna.
Berikutan itu, mereka mahu kerajaan negeri terbabit menjelaskan rasional tindakan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) meluluskan operasi pusat urut dan hiburan terutama yang bertumpu di kawasan-kawasan komersial berhampiran kediaman penduduk.
Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kebanjiran pusat urut dan hiburan di Selangor memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tersebut menyokong industri berkenaan.
Jika andaian itu salah tegasnya, maka Selangor perlu membuktikannya dengan mengambil tindakan segera agar kebanjiran pelbagai jenis pusat hiburan yang bertumpu di negeri itu dihentikan.
“Kewujudan pusat-pusat itu sememangnya perlu dikawal kerana tidak ada kesan positif pun kepada masyarakat, tidak kira bangsa dan agama. Justeru selaku pentadbir kerajaan Selangor perlu mengatasinya kerana mustahil masalah itu dapat dikekang hanya dengan penguatkuasaan polis dan agensi-agensi berkaitan.
“Apa kata kalau usaha membanteras kebanjiran pusat urut dan hiburan ini dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada kerajaan Selangor. Baru kita nampak ada keseriusan menanganinya,” katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan, Kajian dan Penyelidikan Negeri, Ronnie Liu akur PBT di negeri itu tidak berupaya untuk mengambil tindakan tegas termasuk menyekat mana-mana pusat judi, urut atau pub daripada beroperasi secara haram.
Keadaan itu diakui sendiri oleh Ronnie yang menyatakan masalah tersebut berpunca daripada bidang kuasa serta perundangan dimiliki oleh PBT adalah terbatas.
“Untuk mengarahkan PBT mengambil tindakan terhadap premis seumpama itu, kita tidak ada kuasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment