Ketidakadilan kebebasan akhbar di Malaysia
AKHBAR-akhbar bahasa Cina menikmati kebebasan yang cukup luas di negara ini, berbanding dengan akhbar bahasa Malaysia dan Inggeris. Akhbar-akhbar Cina bebas sebebasnya, bebas mengkritik kerajaan, menidakkan kebenaran, mengelirukan fakta, tidak perlu menimbang perasaan kaum lain, tidak perlu beretika dan tidak perlu menghormati perkara-perkara dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama dengan kaum-kaum lain.Akhbar-akhbar ini bersuara berani atas kepercayaan mereka hidup dalam dunia mereka sendiri tanpa dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia, kecuali orang Cina dan segelintir bukan Cina seperti pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri yang tidak cekap dan tidak begitu memahami manipulasi akhbar.
Ini berbanding dengan akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang bersifat nasional, dibaca oleh semua kaum di negara ini.
Akhbar Cina tidak dibaca oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau Menteri Dalam Negeri atau lain-lain menteri Melayu, tidak seperti Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng yang setiap hari dapat membaca secara langsung Utusan Malaysia.
Najib, Hishammuddin Tun Hussein dan Rais Yatim hanya mendapat terjemahan akhbar Cina dalam perkara-perkara yang" terpilih" sahaja, dan itu pun bergantung kepada kerajinan, sensitiviti, ketajaman politik dan dedikasi pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan. Apa pun tidaklah sama dengan membacanya pada setiap hari.
Kebanyakan akhbar Cina melepaskan tanggungjawab mereka terhadap tulisan-tulisan dari luar atau bukan anggota jabatan pengarang mereka yang bersifat kritikan secara melulu, sewenang-wenang dan penuh dengan sentimen. Itu boleh mereka katakan bukan pandangan atau dasar mereka.
Sebenarnya ketidakadilan berlaku dalam kebebasan akhbar di negara ini sejak sekian lama. Yang menghadapi tekanan daripada kerajaan dan masyarakat Malaysia ialah akhbar-akhbar bahasa Malaysia dan Inggeris. Golongan berpendidikan Inggeris daripada masyarakat Cina sendiri juga tidak ramai yang dapat membaca akhbar Cina. Maka, mereka tidak dapat membandingkan dengan akhbar bahasa Malaysia; mana yang lebih buruk, lebih perkauman dan yang lebih 'jahat' antara akhbar bahasa Malaysia dan lain-lain akhbar Cina. Maka itu ramai antara mereka mempunyai persepsi yang salah terhadap akhbar Melayu.
Di bawah ini adalah suatu contoh kebebasan di kalangan akhbar Cina yang tidak mungkin akan dapat ditemui dalam akhbar Bahasa Melayu atau Inggeris (baca rencana dalam blog zamkata.blogspot.com). Walaupun terdapat beberapa fakta yang benar dalam tulisan ini, tetapi banyak fakta yang dikelirukan, penafian terhadap realiti dan dakwaan yang berasaskan sentimen. Ia menggambarkan kemerosotan ekonomi dan masa depan Malaysia yang buruk.
No comments:
Post a Comment