Dengan penghantaran pulang pelajar dan warga Malaysia serta penutupan rasmi kedutaan Malaysia di Syria bererti perang menguasai Damsyik sudah bermula. Pelajar Malaysia di Syria dibawa pulang ke tanah air menerusi tiga kumpulan. Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Anak Jaem berkata, mereka dibawa pulang menggunakan pesawat komersial yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sepanjang lima hari, Washington dan Paris melancarkan operasi serangan yang dikenali Ledakan Damsyik (Damascus Volcano atau Syrian Earthquake) atau Gempa Syria. Ini operasi ketenteraan rahsia yang sama seperti yang pernah dilancarkan ke Amerika Tengah ketika era bekas Presiden Ronald Reagan pada era 80-an dahulu.

Dalam beberapa hari sekitar 40,000 ke 60,000 kontras (nama yang diberikan pemberontak Nicaragua yang menjatuhkan kerajaan Sadinistas awal 80-an dahulu) dari Libya menyusup masuk ke Syria melalui sempadan Jordan. Apa yang menyedihkan sekarang ialah corak wacana dalam liputan kewartawanan arus perdana global ke arah suatu persepakatan operasi ketenteraan terhadap rejim Syria.

Kuasa antarabangsa yang menyokong ke arah pertukaran rejim di Syria mengenakan tekanan supaya peperangan dijadikan sebagai penyelesaian kepada konflik Syria walaupun berhadapan dengan ancaman perang senjata kimia. Lebih mendukacitakan mangsa korban terbesar ialah rakyat Syria yang tersepit di tengah gajah-gajah yang bertembung dan rumput yang kena pijak.

Tindakan penentu bagi menjatuhkan rejim tidak akan berlaku dalam mangsa singkat ini kerana faktor pilihan raya Presiden Amerika. Malah liputan usaha bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yang berusaha mengadakan sidang damai di mana pihak pemberontak dan rejim boleh dibawa ke meja rundingan seolah-olah menuang air ke daun keladi.

Berita besar yang dilaporkan ialah kematian dan kekejaman kedua pihak dan jumlah rakyat yang terkorban. Sehingga rencana ini ditulis, jumlah kematian penduduk telah meningkat kepada 19,000. Bahkan laporan mengatakan bandar besar lain seperti Aleppo juga diserang oleh pihak penentang.

Dalam seminggu selepas letupan yang memusnahkan ibu pejabat Keselamatan Nasional di mana ahli-ahli Majlis Keselamatan Nasional tengah bersidang – yang membawa kematian menteri pertahanan iaitu abang ipar Presiden – pertempuran di Damsyik meningkat membawa kepada lebih 10,000 pelarian meninggalkan Syria.

Malah laporan media Barat menumpukan perang saudara di Syria sebagai perang mahzab antara minoriti Alawi dan majoriti Sunnah yang penyelesaiannya adalah peperangan dan pembunuhan. Difahamkan terdapat dakwaan pihak Awali ada membunuh penduduk Sunnah dan kekejaman rejim Presiden Basar al-Assad yang menindas pergerakan Islam sunnah di sana.

Namun pihak Barat mengambil kesempatan ini bagi memenuhi agenda Israel atau Yahudi Zionis untuk menguasai Syria yang akan membuka laluan kepada serangan ke atas Iran. Situasi pelik yang berlaku sekarang adalah jika dalam perang menentang keganasan, Amerika dan Barat menentang dan memusuhi Al-Qaeda tetapi sekarang seperti memberi laluan hijau bagi kumpulan Pro-Al Qaeda membantu mereka dalam menjatuhkan rejim Asad.

Perkara ini berlaku sejak perang menguasai Libya dalam matlamat menghalalkan cara di mana kumpulan Islam boleh digunakan bagi kepentingan Barat dan pembesaran isu pertelingkahan mazhab seperti yang di Iraq di mana kejatuhan pihak Sunnah dan kebangkitan pihak Syiah yang menyokong Amerika.

Ancaman yang dibimbangkan ialah kenyataan bahawa Syria memiliki senjata kimia tercanggih di Timur Tengah. Walaupun Syria mengeluarkan kenyataan tidak akan menggunakan senjata kimia dalam konflik dalaman, penglibatan negara yang menyokong pihak penentang yang membuka kepada kemungkinan lain pula. Isu senjata kimia diperbesar-besarkan media Barat dan seperti kes Iraq akan digunakan untuk campur tangan asing. Lazimnya penggunaan senjata kimia di kawasan pertempuran terbuka.
Untuk kali ketiganya, Rusia dan China telah membatalkan draf resolusi negara utama Barat dan Teluk bagi membolehkan campur tangan ketenteraan. Wakil- wakil Rusia dan China telah mengutuk laporan bersifat propaganda yang visual dan berita manipulasi media Barat.

Bayangkan umat Islam di negara ini berpuasa dengan penuh syahdu dan dan suasana aman tetapi saudara Islam kita di Syria berada dalam situasi ancaman dan ketakutan. Dalam kegawatan perebutan kuasa, kedua-dua pihak telah mengabaikan penghormatan Ramadan sebagai bulan perdamaian, tradisi Islam yang dimulai Rasulullah SAW.