Padang pasir dan bukit batu bertukar jadi bangunan moden puluhan tingkat. Tiada lagi hotel lama dan murah di sekeliling masjid. Teras seperti berada di kota pelancongan baru. Tanda dunia sudah menuju ke akhir zaman.

Perang saudara di Syria sudah sangat parah, sedang Iraq terus diledak peluru dan bom. Kedua-dua pihak menggunakan pelbagai senjata moden dikeluarkan orang bukan Islam. Ini bukan lagi persaingan kuasa antara rakyat dan pemerintah sebangsa seagama, tetapi perang terbuka yang ganas – dalam Ramadan al-Mubarak!

Regim autoritarian Presiden Bashar al-Assad mungkin tewas selepas markas rahsia tempat sidang menteri pun boleh diletupkan dengan bom dari dalam. Siapakah sebenarnya akan menang nanti?

Kemunculan golongan disifatkan pejuang demokrasi di dunia Arab-Islam sejak pemberontakan di Tunisia tahun lalu, menimbulkan tanda tanya. Apakah akhirnya negara umat Islam akan betul-betul merdeka dan demokratis atau sejarah akan berulang – kembali dijajah kuasa Barat apabila raja dan presiden autokratik digantikan dengan ‘presiden rakyat’ yang terpaksa tunduk kepada kuasa luar?

Di Libya umpamanya, bakal presiden baru melalui keputusan pilihan raya pertama sejak 1964 – Mahmoud Jibril 60, ialah ahli ekonomi lulusan Amerika Syarikat. Sekembalinya dari Amerika pada 2007, Jibril jadi penasihat kepada Qaddafi dan anaknya Saif. Tetapi beliau cepat meninggalkan Qaddafi dan menyertai golongan pemberontak sebaik saja pemberontakan bermula.
Apakah permusuhan dan perang antara golongan Sunni dan Syiah membabitkan Iraq, Iran, Turki dan Arab Saudi akan berterusan hingga hancur lebur kuasa umat Islam? Apakah ini nafsu syaitan atau kebodohan atau balasan Tuhan?

Di negara kita pun umat Islam tidak boleh bersatu untuk menegakkan kuasa dan kesejahteraan umat. Apakah perpecahan ini ada hikmahnya? Agar siapa-siapa pun yang mendapat kuasa tidak lupa janji Allah yang bermaksud: “Akan memberikan kerajaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan akan mencabut kerajaan itu daripada siapa yang Dia kehendaki. Akan muliakan siapa yang Dia kehendaki dan menghinakan siapa yang Dia kehendaki. Di tangan Dialah terpegang segala kebaikan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa terhadap apa saja.” (Ali Imran: 26-27). Ayat ini sering kita wirid selepas solat.

Di negara kecil, di Abu Dhabi, pada suatu petang, berkumpul saudara mara dan pendukung ‘Crown Prince’ yang memegang kuasa politik-ekonomi-tentera, untuk mendengar ceramah Ramadan di Istana Al Bateen. Penceramahnya Profesor Abhijit Banerjee, Profesor Ekonomi dari Massachusetts Institute of Technolgy (MIT). Kehadiran ‘Crown Prince’ menunjukkan minat dan penghormatan kepada seorang profesor dari Amerika!

Tajuk ceramahnya mengenai “Apakah cara terbaik memberikan bantuan yang berkesan kepada golongan miskin agar mencapai faedah yang maksimum.” Sesuai dengan Ramadan, ceramah begini lebih berfaedah daripada berpolitik, apa lagi berperang sesama sendiri.

Prof Banerjee mengemukakan beberapa pendapat, konsep dan soalan salah mengenai pemberian bantuan. Umpamanya: “Berikan saya bantuan. Saya akan hapuskan kemiskinan. Atau adakah bantuan boleh menamatkan kemiskinan? Atau sama ada bantuan diberikan untuk memancing kesetiaan? Dan adakah program kerajaan dilaksanakan selepas bantuan diberikan?”

Kata Prof Banerjee, berbilion dolar, beratus pertubuhan dan badan dermawan dan juga ribuan institusi sukarela menumpukan usaha membantu golongan miskin di seluruh dunia. Tetapi kerja mereka kebanyakannya didasarkan atas andaian yang tidak diuji dan pendapat salah. Tujuan mereka memberikan bantuan semata-mata, tidak untuk merubah kehidupan.

Menurut Prof Banerjee: “Kami telah menjalankan eksperimen lebih 15 tahun di Chile, India, Kenya dan Indonesia. Hasilnya menunjukkan ada aspek baru dalam perilaku golongan miskin, keperluan mereka dan bagaimana bantuan kewangan memberi kesan kepada kehidupan mereka.”

“Nampaknya televisyen lebih penting daripada makanan. Menambahkan pendapatan keluarga miskin tidak semestinya menambahkan makanan berzat.”