Thursday, 23 August 2012


Bakal Yang Berhormat perlu miliki semangat Olimpik dalam diri

TIRAI Sukan Olimpik London telah melabuhkan tirai dengan Malaysia berjaya memperolehi satu pingat perak dan satu gangsa melalui acara badminton dan terjun iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong.
Kejayaan acara badminton memang telah diduga tetapi kejayaan acara terjun merupakan sesuatu yang membanggakan negara apatah lagi anak Bumi Kenyalang tersebut membuktikan negara kita juga sebaris dengan negara-negara lain dalam acara terjun di pentas dunia. Wajarlah kedua-dua mereka diberikan ganjaran dan pengiktirafan yang setimpal.
Dalam masa yang sama mereka yang bakal bergelar Yang Berhormat (YB) sibuk turun padang dan mengatur program berjumpa rakyat untuk menyakinkan pengundi bahawa mereka selayaknya diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat. Ada antara mereka telah awal-awal turun padang sejak 2008 lagi dan ketika ini sudah 'capek' kerana wang sudah habis dilaburkan.
Pilihan Raya Umum (PRU) masih juga belum diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Walaupun pelbagai ramalan tentang tarikh pilihan raya dibuat namun tiada satu tarikh tepat diketahui. Nampaknya kita menyambut hari raya dahulu sebelum pilihan raya. Ramadan merupakan kesempatan terbaik buat bakal YB berjumpa dengan rakyat seramai yang boleh.
Program-program penyampaian bantuan yang diatur, tadarus al-Quran dan majlis berbuka puasa adalah platform-platform untuk mereka mengenali rakyat dengan lebih dekat.
Apa jua program yang diatur perlulah ditiup semangat Olimpik agar stamina dan daya juang benar-benar kental untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka sesungguhnya layak dipilih. Semangat Olimpik ini merupakan ciri-ciri yang patut ada pada seorang winnable candidate iaitu mereka perlu benar-benar kental berjuang untuk mengharumkan negara atau parti yang mereka wakili.
Contohilah semangat juang dua atlet kita yang berjaya memperolehi pingat Olimpik kali ini. Raut wajah mereka cukup menggambarkan kesungguhan mereka berjuang untuk mencapai kemenangan dan mengharumkan nama negara.
Mampukah bakal YB kita berjuang sedemikian rupa membela rakyat? Ini sebenarnya ciri winnable candidate yang rakyat mahukan dan bukan sekadar menyatakan mereka berjuang tetapi raut wajah tidak menggambarkan kesungguhan tersebut.
Dua atlet itu bukan sahaja disokong oleh bangsa mereka tetapi jua disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Inilah terjemahan konsep 1Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri untuk melihat kesatuan rakyat teguh bersatu atas nama Malaysia.
Saya amat yakin sekiranya analogi kesungguhan semangat olimpik ini dihayati, hadam dan diterjemahkan maka kejayaan dalam PRU bukanlah sukar dan mustahil buat bakal YB.
Rakyat Malaysia mahu melihat pemimpin yang dipilih nanti benar-benar bersemangat Olimpik agar negara bertuah ini akan terus dijulang di persada antarabangsa dan merealisasikan visi Wawasan 2020.
Golongan muda khususnya mahukan wakil mereka kelak berintegriti, berilmu, berwawasan, cergas dan berdaya saing di peringkat nasional dan dunia.

No comments:

Post a Comment