Sunday, 5 August 2012


CAP Bantah Replika Arak Sempena Sambutan Aidilfitri


AIDCNews – 02/08/12 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam tindakan pengurusan sebuah pusat beli-belah Pusat Bandar George Town, Pulau Pinang yang mempromosikan minuman keras sempena sambutan Aidilfitri.
Presidennya S.M Mohamed Idris berkata pihaknya kesal dengan pihak pengurusan pusat-beli belah itu kerana mempamerkan susunan botol arak gergasi kira-kira 480 botol di bawah kain rentang tertera “Syawal Ceria”.
Perkara ini jelas menunjukkan sikap tidak peka pihak tertentu yang tidak menghormati bulan Ramadan dan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.
“Kita tidak tahu apakah niat sebenar mereka mengadakan promosi minuman keras pada bulan mulia ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Sementara itu laman suarapakatanrakyat memuji sikap keterbukaan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang baru, Datuk Salleh Man yang tidak mudah terpengaruh dengan desakan ramai pihak yang mahukan replika arak itu dirobohkan.
Salleh Man juga merupakan Pengerusi PAS Pulau Pinang diumumkan pelantikan sebagai YDP MAIPP pada 27 Julai.
Laman itu juga memuji sikap pemuda PAS negeri yang tidak lagi turun ke jalan raya, berdemonstrasi terhadap apa-apa perkara yang ditafsirkannya sebagai menghina kesucian Islam.
“Replika ini adalah kes kedua seumpamanya yang memperlihatkan keterbukaan PAS, sebelum ini sebuah pasar raya di Selangor juga telah mengadakan promosi arak sempena bulan Ramadhan, juga tidak mendapat bantahan dari PAS negeri tersebut.
“Pada pendapat penulis, PAS mulai sedar bahawa pandangan dan pendapat yang mengatakan replika itu menyentuh sensitiviti umat Islam, adalah pandangan lama dan perlu dibuang,” dakwa laman itu.
Sebelum ini, selepas PAS memerintah Kelantan dan Terengganu, parti itu telah memusnahkan patung-patung kijang dan penyu yang dianggapnya sebagai berlawanan dengan ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment