Isu FGV: Waspada gula-gula pembangkang
Pembangkang cuba mengajar peneroka supaya tidak menghargai budi dan bersikap diberi susu dibalasnya tuba memandangkan sebahagian besar 112,635 peneroka seluruh negara dengan lebih 40,000 daripadanya dari Pahang, adalah simpanan tetap Barisan Nasional (BN).
Memang ada peneroka di beberapa tanah rancangan FELDA di Pahang terkilan dengan jumlah pemberian 800 unit saham itu dengan alasan mereka adalah tulang belakang yang membangunkan FELDA sejak dulu.
Banyak forum dalam laman blog propembangkang menyiarkan mengenai isu berkenaan dan membuat pelbagai andaian, pengertian dan tuduhan yang sukar untuk diketahui kesahihannya.
Umpama virus barah yang mudah merebak dan membiak, pembangkang turut mengambil kesempatan menimbulkan keraguan dalam kalangan warga peneroka.
Malangnya, ada warga FELDA yang terpengaruh dan menolak tawaran memiliki saham tetapi tidak menyedari ada rakan peneroka dan pemimpin parti pembangkang di kawasan mereka menerima tawaran berkenaan.
Apabila menyedari diri mereka tertipu, maka mereka cuba untuk memohon tetapi sudah terlambat, bak kata peribahasa sudah terhantuk baru terngadah dan akhirnya menyesal dan rugi.
Tetapi ramai juga penerima durian runtuh, terutama isteri peneroka yang bercadang mahu tambah saham FGV dan ini bukti keyakinan mereka kerana faham pemberian saham itu sebenarnya untuk masa depan anak cucu mereka.
Berkat usaha beberapa badan bukan kerajaan (NGO) prokerajaan, ramai warga FELDA akhirnya kini mula memahami saham dan berminat untuk melabur.
Selain itu, pelbagai taktik digunakan pembangkang untuk mendorong generasi kedua FELDA memihak kepada mereka seperti isu pemberian tanah seluas 2.02 hektar (lima ekar) secara percuma kepada golongan itu seandainya berjaya memenangi pilihan raya umum nanti.
Secara geografinya, keseluruhan keluasan Malaysia ialah 329,847 kilometer persegi atau 32,984,568 juta hektar (81,506,642.72 juta ekar) yang merangkumi 99.63 peratus tanah dan bakinya 0.37% lagi air manakala penduduknya pula kira-kira 28 juta orang.
Sebelum generasi kedua FELDA terpengaruh dengan omongan pembangkang yang mendakwa mahu memberikan mereka tanah secara percuma, cuba fikirkan hakikat berdasarkan pengiraan matematik mudah ini.
Contohnya, jika setiap 112,635 peneroka mempunyai lima orang anak, bermakna terdapat 563,175 generasi kedua (5 x 112,645) dan daripada jumlah itu setiap anak dijanjikan tanah seluas 2.02 hektar maka jumlah tanah yang perlu disediakan pembangkang kepada generasi kedua FELDA adalah 1,139,544 juta hektar tanah bersamaan 11,395.56 kilometer persegi.
Persoalannya, masih adakah tanah seluas itu untuk diberi kepada generasi kedua kerana bukan tanah di seluruh negara boleh diberi kerana perlu memikirkan pelbagai faktor seperti kawasan bergunung, bukit, rizab kawasan tadahan air dan sungai, hutan simpan kekal yang penting bagi keseimbangan dan kelestarian alam sekitar selain kawasan diwartakan sebagai perindustrian.
No comments:
Post a Comment