Thursday, 23 August 2012


'Mandat percubaan' bahaya

Nazura Ngah | nazura@bharian.com.my
2012/08/23

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan tindakan memberi mandat percubaan kepada pembangkang untuk memerintah lima tahun adalah berbahaya.

Katanya, banyak perkara akan musnah dalam tempoh itu dan pembangkang akan memastikan Barisan Nasional (BN) tidak akan kembali memerintah.

Beliau berkata, perubahan yang dijanjikan pembangkang, terutama idea negara kebajikan dengan pendidikan percuma, pemansuhan tol dan subsidi petrol yang tinggi akan gagal seperti yang berlaku di negara sosialis dan komunis.

“Malaysia tiada ideologi, tetapi realitinya kerajaan memerlukan wang untuk membangunkan negara dan memberi subsidi untuk menyara kos sara hidup rakyat.


Kekurangan wang

“Tetapi apabila kerajaan menghapuskan cukai, tol dan yuran, kekurangan wang akan berlaku, sedangkan kerajaan perlu berbelanja untuk mengurus dan mengekalkan utiliti, lebuh raya, sekolah, kos operasi, pembangunan, pencen dan sebagainya,” katanya dalam blognya, www.chedet.cc.

Dr Mahathir berkata, tindakan meminjam wang tidak salah jika wang itu dilabur dan memberikan pulangan, tetapi jika meminjam wang semata-mata untuk membelanjakannya akan menjadikan negara gagal membayar balik pinjaman.

“Itu yang berlaku kepada Greece yang kini bankrap,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika krisis kewangan 1997-1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) mencuba penyelesaian dicadang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tanpa pinjaman IMF.

“Bank dan syarikat menghadapi ancaman bankrap akibat pinjaman tidak berbayar, kenaikan kos import serta kos sara hidup.

“Rekod menteri kewangan pada masa itu buruk walaupun sering mendakwa kejayaan hasil usaha orang lain sebagai hasil usahanya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, adalah mudah untuk membuat janji ketika kempen pilihan raya, tetapi untuk menunaikannya adalah satu perkara lain.


Dengar pandangan rakyat

“Sekarang pembangkang di Malaysia meniru langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menjanjikan perubahan ketika berkempen.

“Sepanjang tempoh empat tahun penggal pertamanya, Obama gagal menunaikan janji termasuk menutup kem tahanan Guantanamo, menghentikan perbicaraan tahanan Mahkamah Tentera dan memanggil pulang tentera AS di Iraq dan Afghanistan,” katanya.

Beliau berkata, BN sentiasa mendengar pandangan rakyat dan sudah melakukan perubahan terhadap beberapa perundangan serta dasar.

No comments:

Post a Comment