Monday, 13 August 2012

Transaksi penuh keraguan

Datuk Chua Tee Yong (empat dari kiri) bersama jawatankuasa bertindak melihat pelan sambil memegang sepanduk ketika melihat persekitaran kawasan cerun bukit yang diragui status pembelian tanah oleh kerajaan Selangor, di Ulu Yam Baru, baru-baru ini.
SETELAH lebih sebulan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong mendedahkan pembongkaran isu penyelewengan kerajaan negeri Selangor dan Talam Corporation, sehingga kini masih belum terdapat sebarang jawapan yang jelas dikemukakan.
Beliau turut hairan kenapa Kerajaan Negeri boleh bersetuju dengan Talam untuk menerima hartanah/aset yang mempunyai pelbagai masalah seperti tanah di bawah air, tanah cerun bukit kelas 3 dan kelas 4 dan pelbagai lagi. Apakah tiada sebarang siasatan dilakukan untuk memeriksa latar belakang tanah dan syarikat yang bermasalah ini.
Selain itu Tee Yong yang juga Ketua Biro Profesional Muda MCA, turut berasa pelik kenapa penasihat ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar membiarkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berseorangan dalam isu ini.
Ujar beliau, adalah tidak mustahil apa yang berlaku ini adalah satu usaha untuk menjatuhkan Khalid oleh pihak yang berkepentingan dalam kerajaan pakatan rakyat itu sendiri.
Kepada Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, Tee Yong menyatakan pendedahan yang dilakukan masih di peringkat awal dan lebih banyak ‘rahsia’ yang akan didedahkan beliau.
“Saya akan terus menumpu perhatian untuk dedahkan transaksi-transaksi dengan Talam yang meragukan selagi saya mendapat maklumat. Terpulanglah kepada rakyat negeri Selangor dan pihak-pihak yang prihatin dalam isu ini untuk mengambil tindakan-tindakan yang mereka fikirkan wajar bagi memaksa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memberikan penjelasan secara terperinci.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk mendapat segala maklumat dan membongkar isu penyelewengan kerajaan negeri Selangor dan Talam Corp?
CHUA TEE YONG: Apa yang lebih penting ialah kenapa persoalan-persoalan yang saya dedahkan ini tidak dijawab. Adakah ini yang dikatakan perubahan yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dalam pentadbiran Kerajaan Negeri? Jawapan-jawapan yang diberikan oleh pemimpin mereka hanya sekadar melepas batuk di atas tangga.
Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Universiti Selangor dan Permodalan Negeri Selangor digunakan dalam tindakan pengambilalihan Talam, malah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor turut terpalit sama. Soalnya, mengapa hampir keseluruhan anak syarikat negeri Selangor digunakan untuk menyelamatkan Talam Corp.?
CHUA TEE YONG: Ini juga satu persoalan yang menjadi tanda tanya kepada saya dan menjadikan seluruh episod mengutip balik hutang dari Talam ini satu transaksi yang meragukan. Oleh itu saya harap Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor dapat menjelaskan persoalan ini kepada rakyat dalam kertas putih yang mereka janji dua tahun lepas dan sehingga kini belum dikeluarkan. Ini seperti janji-janji pilihan raya yang lepas di mana janji hanya kekal sebagai janji-janji kosong.
Datuk telah mendedahkan KHSB telah diarah membeli tanah Talam seluas 160 hektar di Bukit Ulu Yam, dengan harga RM18 juta walaupun ia mempunyai kecerunan kelas tiga dan empat. ‘Cadangan' awal kerajaan PKR Selangor sudah ditolak pada 3 Mei 2010? Apa sebenarnya yang berlaku dalam hal ini?
CHUA TEE YONG: Selepas KHSB menolak cadangan awal daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, maka datang cadangan kedua daripada Kerajaan Negeri pula. Dalam cadangan kedua ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor seolah-olah memberi kata dua kepada KHSB jika mereka tidak terima tawaran ini, maka tiada lagi aset yang boleh ditawarkan untuk off-set hutang yang perlu dibayar kepada KHSB. Susulan itu, KHSB telah menjalankan penilaian harga ke atas tanah tersebut melalui Sulaiman & Co yang menunjukkan bahawa nilai pasaran tanah tersebut hanya RM12.7 juta. Ini memberikan gambaran bahawa seolah-olah KHSB telah dipaksa membeli tanah tersebut dengan harga yang lebih mahal dari harga pasaran yang sepatutnya. Kita harus puji sikap profesionalisme yang ada pada pengurusan KHSB kerana telah menjalankan penilaian harga sendiri ke atas hartanah/aset yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.
Pendedahan terbaru yang lebih mengejutkan apabila Talam Corp. didakwa menjual aset hartanah bukan miliknya yang dikatakan milik SAP Holdings yang terletak di Bukit Ulu Yam, Selangor. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?
CHUA TEE YONG: Jika kenyataan Ahli Exco Kanan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bahawa aset ini kepunyaan SAP Holdings adalah benar, maka ini adalah satu bukti tentang wujud kelemahan yang amat ketara dalam tadbir urus Kerajaan Negeri Selangor. Semua ini terjadi kerana berlaku kecuaian sama ada disengajakan atau tidak di pihak Kerajaan Negeri dalam transaksi dengan Talam ini. Saya nak tanya jika seseorang itu berhutang wang dengan kita, adakah kita membenarkan dia menggunakan rumah atau aset kita sendiri untuk melangsaikan hutang tersebut? Di manakah logiknya?

Sehingga kini kerajaan PKR Selangor gagal menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan antaranya penilaian yang lebih tinggi untuk tanah di Bestari Jaya; tanah Danau Putra di dalam kolam lombong; unit pejabat yang sukar dijual di Menara Pandan serta Ukay Perdana. Apa yang perlu dilakukan untuk memberi tekanan kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan lebih lanjut soal ini?
CHUA TEE YONG: Pendedahan saya belum habis lagi. Saya akan terus menumpu perhatian untuk dedahkan transaksi-transaksi dengan Talam yang meragukan selagi saya mendapat maklumat. Terpulanglah kepada rakyat negeri Selangor dan pihak-pihak yang prihatin dalam isu ini untuk mengambil tindakan-tindakan yang mereka fikirkan wajar bagi memaksa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memberikan penjelasan secara terperinci.
Exco kerajaan negeri, Teresa Kok mendakwa kerajaan sedia ada terikat dengan perjanjian yang telah ditandatangani antara Talam dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor terdahulu. Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut tentang perkara ini?
CHUA TEE YONG: Kalau betul dakwaan Teresa Kok kenapa perkara ini tidak disebut langsung ketika Menteri Besar Selangor bercakap mengenai isu ini di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri dalam tahun 2009, 2010 dan 2011? Sebaliknya mereka memberikan gambaran seolah-olah Kerajaan Barisan Nasional Negeri Selangor dahulu tiada pernah membuat sebarang usaha untuk mengutip balik hutang dari Talam. Kini apabila diasak dengan pelbagai persoalan mereka pun menjadikan Kerajaan Negeri BN dahulu sebagai kambing hitam. Itu adalah modus operandi yang standard bagi pemimpin Pakatan Rakyat, bila tak dapat jawab soalan, salahkan kerajaan terdahulu.
Apabila saya mendedahkan bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri BN dengan Talam untuk mengutip hutang sebelum ini telah tamat tempoh sah laku dan tidak mengikat Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, maka mereka menukar kenyataan mereka. EXCO kanan mereka Teresa Kok pula mengatakan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat yang mahu perjanjian tersebut tidak tamat. Jelas kenyataan mereka sering bercanggah dan hanya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat.
Datuk telah membuat beberapa siri pendedahan, namun sehingga kini Menteri Besar, masih belum memberi penjelasan sebenar. Kenapa susah sangat beliau nak jawab semua pendedahan ini kalau benar kerajaan PKR Selangor mempunyai akauntabiliti dan integriti?
CHUA TEE YONG: Bukan sahaja Menteri Besar Selangor enggan memberi penjelasan, malahan beliau juga mengugut untuk menyaman MCA kerana mendedahkan isu ini. Adakah ini sistem dua parti yang mereka hendakkan wujudkan di Malaysia yang mana tiada peluang untuk satu pihak untuk melakukan check and balance. Tindakan Menteri Besar Selangor ini mencerminkan sikap talam dua muka atau hipokrasi pemimpin Pakatan Rakyat. Slogan akauntabiliti, integriti dan bertanggungjawab hanya terpakai untuk pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional, sebaliknya mereka tidak terikat untuk mengamalkan prinsip-prinsip tersebut dalam pentadbiran mereka.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat hanya mendiamkan diri dalam isu ini malah hanya membiarkan Khalid terkapai-kapai keseorangan?
CHUA TEE YONG: Saya pun merasa hairan kerana sebagai penasihat ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar tentu sekali dirujuk oleh Kerajaan Negeri terlebih dahulu berkenaan dengan transaksi ini. Sebaliknya kita lihat segelintir kecil pemimpin DAP pula yang berlagak seperti lebih faham dengan transaksi ini.
Apakah Datuk melihat isu ini lebih kepada usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar oleh pihak pembangkang sendiri?
CHUA TEE YONG: Kemungkinan ini tidak dapat dinafikan jika dilihat daripada reaksi pemimpin-pemimpin PKR Negeri Selangor dalam dalam isu ini. Kita dapat lihat kebanyakan Ahli exco Pas, PKR dan DAP lebih memilih untuk mendiam diri dalam isu ini. Sebaliknya hanya segelintir pemimpin DAP yang cuba tampil ke depan dengan memberikan hujah-hujah yang lemah dan bercanggah antara satu sama lain.
Bagaimana Datuk melihat isu ini apakah ia memperlihatkan kelemahan tadbir urus parti pembangkang mentadbir atau tindakan rakus mereka menyalahguna kuasa?
CHUA TEE YONG: Tentu sekali, sehingga sekarang mereka tidak dapat beritahu sama ada terdapat penilaian harga telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2010 untuk tentukan sama ada hartanah/aset yang diterima dapat memanfaatkan rakyat. Ini samalah seperti kita membeli sesuatu barang yang berharga, kita tentu akan buat perbandingan harga terlebih dahulu supaya kita dapat membeli dengan harga yang berpatutan dan tidak merugikan. Kalau tidak, ini sama seperti satu pembelian secara rundingan terus.
Selain itu kenapa Kerajaan Negeri boleh bersetuju dengan Talam untuk menerima hartanah/aset yang mempunyai pelbagai masalah seperti tanah di bawah air, tanah cerun bukit kelas 3 dan kelas 4, tanah yang ada lebih 100 kavet, tanah yang telah dirizabkan sebagai hutan simpanan dan ekologi dan juga unit pejabat yang tidak dapat disewakan sehingga kini. Kalaulah Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik, maka mereka tentu akan dapat memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan yang saya tunjukkan.
Dahulu mereka menghentam kerajaan BN dalam pelbagai isu namun kini mereka bertindak lebih teruk lagi. Soalnya dimana janji mereka untuk membawa perubahan yang lebih baik berbanding BN?
CHUA TEE YONG: Pada saya, janji-janji mereka kepada rakyat hanya adalah janji kosong dan tujuan mereka semata-mata mahu ambil alih kuasa pemerintahan. Mereka tidak berminat untuk membela nasib rakyat. Kita tak dapat lihat apakah perubahan ketara yang telah berlaku pada nasib rakyat Selangor sejak empat tahun ini. Mereka lebih suka untuk menghabiskan masa dan keringat mereka untuk menyalahkan pemimpin dan Kerajaan BN yang terdahulu ke atas sebarang masalah yang berlaku dan tak ada masa bagi mereka untuk meneliti janji-janji mereka yang taburkan.
Apa harapan Datuk kepada rakyat Selangor dengan terdedahnya isu ini?
CHUA TEE YONG: Saya berharap dengan pendedahan ini, ia dapat membuka mata dan minda rakyat negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya bahawa sebenarnya pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor juga mempunyai banyak kelemahan dan mereka bukan malaikat. Isu Talam ini menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sebenarnya tidak kompeten, tiada ada ketelusan dan tiada akauntabiliti.

No comments:

Post a Comment