Thursday 23 August 2012


Nasharuddin : Saya Bersedia Jumpa Karpal Di Mahkamah

Bekas Timbalan Presiden Pas, YB Ust Nasharudin Mat Isa berkata beliau sanggup berhadapan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah tentang isu hudud dan Islam
“Saya dididik di dalam PAS bahawa ajaran Islam itu adalah syumul merangkumi setiap aspek kehidupan. Di dalamnya ada aqidah, perundangan dan akhlak. Menolak sebahagian dari Islam bermakna menolak Islam.
“Saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal Singh adalah anti Islam dan bersedia untuk bertemu beliau di mahkamah,”katanya kepada AIDCNews.
Karpal dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata beliau akan memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin ekoran kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS itu.
“Kenyataan Nasharudin bahawa saya bukan hanya menentang hudud malah menentang Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan kejam,” katanya.
Nasharudin dalam satu kenyataan media pada Jumaat berkata “Karpal Singh bukan hanya menentang hudud, malah Islam”.
Dalam reaksinya, Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, berkata kenyataan Nasharudin bahawa beliau menentang Islam, tidak mendapat sokongan PAS.
Nasharudin, katanya, kini hanyalah ‘ikan bilis’ dalam PAS dan kenyataan beliau tidak mencerminkan pendirian parti itu.
“Memandangkan dakwaan serius telah dibuat terhadap saya, saya tidak mempunyai pilihan selain memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin,” katanya

No comments:

Post a Comment