Thursday 19 July 2012

Teguran Sulaiman dan politik Pas

PADA 27 Mei lalu, Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Kenyataan beliau itu menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan sesetengah pemimpin dan penyokong Pas, malahan ada pemimpin parti itu mahu tahu apa pula jawapan Dr. Sulaiman jika ditanya mengenai orang Islam yang menolak pelaksanaan hukum Islam.
Dan kelmarin, Dr. Sulaiman mungkin sekali lagi membangkitkan perasaan tidak selesa pemimpin dan penyokong parti tersebut apabila menegaskan adalah haram bagi umat Islam menyokong kumpulan yang berniat atau bertindak mahu menjatuhkan kerajaan Islam yang memerintah walaupun dalam kepimpinan didapati berlaku kesalahan melibatkan hukum syarak.
Selain itu, beliau juga berhujah tindakan untuk menjatuhkan kerajaan Islam adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam itu mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.
Mungkin seperti biasa, tidak kira siapa pun ulama yang memberi pandangan selagi ia tidak memihak kepada politik pembangkang, selagi itulah ia tidak akan diterima dengan hati terbuka.
Sebaliknya, selepas ini mungkin kita akan mendengar pelbagai hujah oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang menegaskan kenapa mereka mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggak utamanya.
Hujah yang selalu kita dengar daripada Pas adalah UMNO tolak Islam tetapi mereka sengaja tidak mahu mengakui bagaimana kedudukan Islam di negara ini terus dimartabatkan dari semasa ke semasa sehingga menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.
Dalam soal ini, pemimpin-pemimpin Pas khususnya perlu memahami keluh kesah pengikut mereka di peringkat akar umbi mengenai perjalanan parti itu.
Ketika pulang ke Kedah minggu lalu penulis diberitahu bagaimana golongan berkenaan semakin resah dengan corak politik Pas.
''Susah kita nak terang kepada orang ramai mengenai ke mana Pas nak pi, pemimpin atasan selalu berubah-ubah pendirian.
''Kalau macam ni lah, mungkin dalam pilihan raya kita akan kalah teruk,'' kata seorang penyokong tegar Pas kepada seorang pengetua sebuah sekolah di Baling.
Sememangnya sama ada hendak diakui atau tidak, Pas berada dalam kedudukan cukup tersepit untuk menjelaskan kepada rakyat khususnya orang Melayu mengenai pendirian politik mereka.
Ketika diminta mengulas perkara ini, seorang pemimpin muda Pas di sebuah kawasan di Kedah mengakui, parti itu dilihat terlalu mengikut rentak politik sekutunya dalam pakatan iaitu DAP dan PKR.
Katanya, ia termasuklah bagaimana Pas dilihat terpengaruh dengan budaya demonstrasi jalanan yang dipelopori oleh PKR sebelum ini.
''Sebab itulah susah kita nak jawab apabila Pas bukan sahaja menyertai demonstrasi malahan turut menganjurkan demonstrasi seperti mana Sabtu lalu,'' katanya ketika dihubungi.
Ditanya apakah demonstrasi Oren itu mendapat sokongan padu pengikut Pas, pemimpin muda itu kembali bertanya, ''cuba tengok berapa ramai yang mai (datang), himpunan Hijau jauh lebih ramai.''
Oleh itu, pemimpin muda tersebut bersetuju dengan pandangan Dr. Sulaiman bahawa demonstrasi hanya boleh menyebabkan sesuatu perkara yang buruk menjadi lebih buruk dan ia bukan ubat penyembuh kepada setiap masalah.
''Memang ada pertentangan pendapat di peringkat bawah mengenai pendirian Pas dalam soal demonstrasi tetapi apa kita boleh buat kerana yang menentukan segala-galanya adalah pemimpin di peringkat atas,'' kata pemimpin muda itu lagi.
Turut menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong Pas di peringkat akar umbi ialah tindak tanduk parti itu yang dilihat terlalu mengikut rentak politik sekutunya.
''Ada perkara yang kita fikir Pas tidak boleh menyokong semata-mata kerana ia pendirian DAP dan PKR, tetapi Pas sokong juga, akibatnya orang melihat Pas tidak ada pendirian, hanya mengikut sahaja,'' katanya.
Sememangnya inilah antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh Pas dalam usaha mereka memburu kekuasaan bersama-sama DAP dan PKR.
Sebab itulah, kita tidak boleh memandang remeh apatah lagi melihat dari pandangan politik sempit terhadap peringatan Dr. Sulaiman bahawa, ''tindakan untuk menjatuhkan kerajaan Islam adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.''
Ia kerana setakat ini, semua orang tahu bagaimana kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang dan sejauh mana mereka akan berjaya dengan perjuangan Islam yang dilaung-laungkan selagi bersama-sama dalam pakatan tersebut.
Pas sering mendakwa bahawa mereka memperjuangkan Islam tetapi tindak tanduk politik mereka menampakkan sebaliknya.
Ciri-ciri ajaran Islam terutamanya berpolitik secara berhemah sering kali dipinggirkan oleh sesetengah pemimpin Pas dan lebih malang demi kuasa tanpa mengira kesan kepada umat Islam secara keseluruhan di negara ini, Pas bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mampu mencapai matlamat untuk menjadi pengganti kepada UMNO.
Justeru adalah lebih baik jika orang Melayu tanpa mengira fahaman politik berfikir dengan matang pandangan Dr. Sulaiman yang sudah tentulah tidak mempunyai apa-apa motif politik.
Sebaliknya, Dr. Sulaiman memberi pandangan kerana berpendapat adalah tidak wajar demi merebut kuasa politik sebuah kerajaan Islam mahu ditumbangkan.
Kita memahami kerajaan BN pun memang ada kelemahannya, tetapi sejak merdeka sehingga ke hari ini, perkembangan Islam di negara ini tidak pernah terbantut.
Jika ada kelemahan pun ia tidak sampai menjejaskan kedudukan Islam di Malaysia, justeru adalah lebih baik jika Pas bertindak memberi pandangan secara ikhlas dan jujur bagi memperbaiki keadaan, bukannya hanya mengejar impian politik semata-mata.
Pas tidak boleh menganggap hanya mereka yang paling layak bercakap soal Islam dan melaksanakan pentadbiran Islam kerana tafsiran seumpama ini hanya akan mewujudkan perpecahan berterusan sesama umat Islam.
Begitu juga dengan sikap sesetengah pemimpinnya yang begitu mudah memperlekehkan apa juga usaha kerajaan BN dalam meningkat syiar Islam di negara ini.
Sepatutnya jika ada kelemahan berilah teguran secara berhemah dan bukannya merendah-rendahkan pihak lain, malah apa yang lebih buruk jika ia disertai dengan maki hamun serta cercaan.
Sikap seumpama ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malah akan menyebabkan usaha menyatukan umat Islam di negara ini menjadi bertambah rumit dan sukar.
Keadaan ini jika berterusan akan memberikan kesan buruk kepada umat Islam dan sekali gus meletakkan perkembangan Islam di negara ini dalam keadaan tidak menentu, apakah ini yang kita mahukan? Fikirkanlah!

No comments:

Post a Comment