Isu Laut China selatan, Filipina perkuat pasukan tentera
FILIPINA sejak akhir-akhir ini mula memperkuat pasukan tenteranya yang sebelum ini dikatakan memiliki kelengkapan yang usang, ketika perselisihannya dengan China mengenai pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan memuncak.Terbaru, negara itu dilaporkan bakal memperolehi pesawat pejuang baru dalam tempoh dua tahun bagi menaik taraf peralatan tempur pasukan tentera udaranya.
Antara kelengkapan yang bakal diterimanya termasuklah pesawat pejuang latihan, helikopter tempur serta pesawat pengangkut bersaiz sederhana dan kecil.
Selain membeli kelengkapan baru, Filipina juga dilaporkan merancang untuk menandatangani kontrak 138 projek bagi memodenkan ketenteraan negaranya.
Di samping menaik taraf sistem pertahanan, Filipina juga kini semakin giat menjalin hubungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) dan meminta negara kuasa dunia itu membantunya.
Selepas menerima kapal pengawal pantai yang diberikan oleh AS awal tahun ini, Filipina kini dilaporkan meminta pula Washington untuk menempatkan pesawat perisik P3C Orion di Laut China Selatan bagi membantunya memantau perairan yang menjadi pertikaian beberapa negara di wilayah maritim itu.
Umum mengetahui wilayah maritim di Laut China Selatan kaya dengan sumber asli dan minyak, selain menjadi laluan perdagangan global yang penting.
Akibat daripada itu juga, negara-negara seperti China, Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia yang mempunyai tuntutan bertindih di kawasan maritim itu dengan kuat mempertahankan hak masing-masing.
Namun, tindakan agresif China sejak akhir-akhir ini sering mencetuskan ketegangan antara negara-negara lain terutamanya dengan Filipina dan Vietnam.
Filipina sebagai sebuah negara yang miskin dan mempunyai kelengkapan tentera yang disifatkan sebagai usang bergantung kepada AS dalam berdepan dengan tindakan agresif China.
Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan Filipina atas tindakan mereka itu kerana ia dilakukan hanya untuk mempertahankan kedaulatan negaranya.
Sebagai sebuah negara kecil berbanding China, Filipina tidak mempunyai jalan lain selain berbaik-baik dengan AS untuk mempertahankan kedaulatannya ke atas wilayah maritim di Laut China Selatan dengan harapan negara itu akan membantunya.
Negara-negara kecil lain di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Singapura turut bergantung kepada AS dalam mengimbangi tuntutan mereka atau menjamin keselamatan.
Namun apa yang dibimbangkan, peluang itu diambil oleh AS untuk memperkukuh lagi kedudukannya di rantau Asia Pasifik dengan menjalin kerjasama ketenteraan dan menempatkan lebih banyak kapal-kapal perangnya.
Vietnam dan AS telah menandatangani memorandum kerjasama ketenteraan pada tahun lalu, sekali gus membolehkan kapal-kapal tentera laut AS berlabuh di pelabuhan negaranya.
Singapura pula baru-baru ini bersetuju membenarkan empat lagi kapal tempur pesisir tentera laut AS berlabuh di negara itu.
AS mengunakan alasan itu untuk mempengaruhi negara-negara kecil supaya menjalin kerjasama ketenteraan dan membesarkan pangkalan-pangkalan tentera lautnya di negara terbabit.
Majoriti armada AS juga akan dipindahkan ke rantau Asia Pasifik menjelang 2020 sebagai sebahagian strategi baru negara itu.
Walaupun AS dengan kuat menafikan keputusan yang diambil itu tidak disasarkan ke atas China, namun ramai yang sangsi dengannya dan secara umumnya, seluruh rantau Asia Pasifik juga tidak percaya strategi baru AS tidak disasarkan kepada China kerana ia jelas kelihatan seperti itu.
Apa yang pasti, peningkatan sistem pertahanan oleh negara-negara di Asia Tenggara ini dan kehadiran lebih banyak kapal-kepal tentera AS di rantau Asia Pasifik sebenarnya tidak menjamin keselamatan di rantau itu, bahkan menjadikannya lebih tidak selamat.
Sebaliknya keadaan itu hanya akan mencetuskan perang dingin antara negara-negara terlibat terutamanya antara dua kuasa besar dunia, iaitu iaitu China dan AS.
Penganalisis sebelum ini juga pernah memberi amaran bahawa pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan boleh mencetuskan perang di rantau Asia Pasifik.
Justeru itu, pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan seharusnya diselesaikan melalui cara diplomatik oleh negara-negara terlibat bagi mengelak tercetusnya perang dan membuka peluang kepada negara lain untuk mengambil kesempatan.
No comments:
Post a Comment