Monday 9 July 2012

Keputusan Kes Liwat II, Bukti Anwar Tak Layak Jadi Ketua Pembangkang


Antarapos– Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Zulkifli Noordin hari ini mengulangi pendiriannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi ketua pembangkang dan ahli parlimen.
Menurutnya, walaupun Anwar bebas dari segi undang-undang di dalam kes dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, tetapi dari segi moral jelas beliau tidak layak menjadi Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen.
“Dia (Anwar) sepatutnya letak jawatan kerana jelas dari penghakiman bahawa liwat berlaku, cuma Anwar bernasib baik dengan sistem keadilan jenayah Malaysia meletakkan beban bukti terlalu tinggi kepada pendakwaraya iaitu melampaui keraguan menasabah.
“Anwar patut berterima kasih kepada sistem yang kita amalkan yang membebaskan dia atas ‘kekhilafan teknikal’”, kata Zulkifli yang juga ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.
Menurut bekas ‘orang kanan’ ketua umum PKR itu dan peguam yang pernah mewakili Anwar dalam kes liwat I, penghakiman ini sama seperti penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar dalam kes liwat pertamanya di mana mahkamah menyimpulkan ‘mahkamah percaya liwat berlaku tetapi tidak selamat untuk sabit kesalahan kerana teknikaliti’.
“Apa pun saya mendesak Peguam Negara supaya membuat rayuan segera,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam alasan penghakiman penuh kes liwat melibatkan Anwar dan Mohd Saiful, menyatakan bahawa ada keterangan berlakunya penetrasi dubur bekas pembantu peribadi ketua pembangkang itu.
Ia berikutan keterangan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memberi pandangan berlakunya penetrasi tersebut berdasarkan rumusan pakar kimia, Dr Seah Lay Hong yang menjumpai sampel-sampel diambil daripada dubur Mohd Saiful Bukhari mengandungi sperma ‘Lelaki Y’.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bagaimanapun berkata, disebabkan tiada bukti sokongan, adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan ahli parlimen Permatang Pauh itu dengan tuduhan liwat memandangkan integriti sampel yang diambil telah tergugat sebelum dihantar untuk analisis kimia.

No comments:

Post a Comment