Thursday, 5 July 2012

Ungkapan, logo halal dikuatkuasa

ESOK, 30 Jun ialah tarikh terakhir bagi semua premis makanan di Malaysia, seperti restoran dan medan selera menggunakan perkataan atau ungkapan halal seperti 'halal', 'Makanan orang Islam', 'Ditanggung Halal' atau apa juga objek atau lambang Islam atau sebarang jenis logo halal melainkan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Manakala bagi bukan Islam, adalah dilarang menggunakan ayat-ayat al-Quran di premis mereka.
Ini adalah selaras penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang melindungi pengguna daripada dikelirukan atau diperdayakan.
Perintah itu telah menamakan Jakim dan MAIN sebagai agensi pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf sebagai pihak berkuasa berwibawa. Oleh itu, adalah satu kesalahan bagi mana-mana pihak mengeluarkan dan menggunakan logo halal atau ungkapan halal selain logo halal Malaysia.
Sebenarnya penguatkuasaan telah bermula pada 1 Januari 2012 untuk premis makanan, tapi budi bicara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jakim, maka diberikan tempoh peralihan selama enam bulan kepada pihak terbabit untuk mematuhi peraturan baru ini.
Dalam tempoh enam bulan sebelum ini, Jakim telah menggunakan pelbagai saluran untuk menghebahkan perkara itu. Tiga bulan pertama melalui kaedah pendidikan dan tiga bulan berikutnya telah dikeluarkan amaran.
Ada pengusaha mengeluh mengapa enam bulan. Sedangkan dalam perintah tersebut dinyatakan tempoh peralihan adalah setahun kepada produk di pasaran.
Sebenarnya tempoh yang disebut dalam perintah tersebut hanya kepada produk berlabel sahaja yang sukar untuk menghabiskan label tersebut. Sedangkan logo halal di premis mudah ditanggalkan.
Tempoh yang diberikan ini adalah memadai untuk premis terbabit menanggalkan ungkapan halal yang ada.
Justeru, budaya 'tidak tahu' dan 'tidak dapat maklumat' tidak boleh dijadikan alasan jika tindakan diambil.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama dan RM500,000 kesalahan kedua. Namun bukan denda itu yang mahu diuar-uarkan. Tetapi yang penting kesedaran dan tanggungjawab semua menyahut seruan kerajaan.
Diwartakan
Apabila perintah ini diwartakan, ada suara yang mempertikaikan usaha kerajaan dengan mengatakan Jakim dan MAIN memonopoli pensijilan halal.
Sebenarnya urus tadbir pensijilan halal hendaklah dikendalikan orang yang ahli, pakar dan berkuasa untuk menguatkuasakannya.
Sehubungan itu, ia tidak boleh diurusniagakan atau diswastakan kerana ia bukan seperti pensijilan yang lain. Perkara ini telah lama dan banyak dibincangkan oleh pakar-pakar perundangan dan akhirnya perintah ini diwartakan.
Perlu diingat bahawa, setelah hampir 38 tahun barulah APD 2011 berkaitan halal ini berjaya digubal dan dikuatkuasakan. Sebelum ini ia dikuatkuasakan di bawah Perintah Perihal Dagangan Perbahasaan Halal 1975. Namun terdapat kelemahan seperti hanya produk makanan sahaja dilindungi, membolehkan perisytiharan halal sendiri menyebabkan pelbagai jenis logo di pasaran, membenarkan penggunaan representasi halal dalam bentuk ayat al-Quran dan sebagainya oleh bukan Islam, tiada badan pensijilan halal khusus disebut dalam undang-undang bagi mengeluarkan sijil dan logo halal.
Semua ini menyebabkan kekeliruan, khususnya di kalangan pengguna Islam. Maka dengan penguatkuasaanya nanti, boleh menyelesaikan kekeliruan pengguna selama 38 tahun yang lalu. Sesungguhnya perjalanan halal ini sangat jauh tetapi yang penting adalah kesan dan pencapaian di sebalik perjalanan tersebut.

No comments:

Post a Comment