Jangan salah guna kebebasan
MINGGU lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan langkah berani untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan satu rang undang-undang baru yang dikenali dengan nama Akta Keharmonian Nasional.Langkah itu termasuk dalam pelan transformasi politik yang sebelum ini menyaksikan pemansuhan undang-undang lapuk seperti Akta Buang Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Walaupun Akta Keharmonian Nasional masih di peringkat penggubalan, gambaran awal seperti diumumkan oleh Najib adalah ia tidak akan menyekat kebebasan bersuara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan memastikan daya kreativiti serta sifat inovatif dapat disuburkan.
Bagaimanapun, kebebasan itu bukan bermakna pihak tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan perkara-perkara yang bersifat cauvinisme, ekstremis dan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan nasional.
Dalam erti kata lain, akta baru itu menekankan keseimbangan antara kedua-duanya. Dalam masa sama, ia mempunyai peruntukan yang memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Akta baru itu juga tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pihak mahkamah yang melaksanakan pentadbiran keadilan. Ia berbeza sama sekali dengan Akta Hasutan yang mula diperkenalkan semasa darurat yang dianggap pihak pembangkang sebagai alat pemerintah untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan.
Ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai akta baru itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ia tidak akan menghalang mana-mana pihak membuat kritikan terhadap kerajaan dan pemimpinnya.
"Kerajaan berpendapat kritikan kepada pemerintahan dan pemimpinnya adalah 'legitimate' (sah) dan selaras dengan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan.
"Kita juga berasa kritikan yang dibuat kepada kerajaan boleh menjadikan perimbangan supaya kerajaan sedar mungkin ada kelemahan mengenai perkara yang dikritik rakyat itu," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, berikutan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai latar belakang agama, budaya dan adat resam yang berbeza yang mesti dipelihara keharmoniannya, maka akta baru itu tidak akan memberikan kebebasan bersuara yang mutlak.
Sehubungan itu, sekatan-sekatan yang masih dikekalkan adalah tidak boleh menimbulkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja, penghinaan terhadap kaum lain dan tidak boleh mempersoalkan hak dan keistimewaan sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun ada sekatan-sekatan berkenaan, kita yakin semua rakyat akan bersetuju bahawa Malaysia tidaklah seteruk seperti Singapura dan Mynmar yang langsung tidak membenarkan rakyatnya untuk bersuara.
Dalam pada itu, ketika semua pihak menyambut baik pengumuman Najib, lain pula ceritanya dengan pihak pembangkang yang seperti 'cacing kepanasan' melihat peningkatan sokongan kepada kerajaan berikutan transformasi terbaru itu.
Sehubungan itu, mereka mula mencipta pelbagai dakyah bagi menidakkan usaha itu. Antara yang lantang menentangnya ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang menyifatkan pembaharuan itu membuktikan Najib seorang 'demokrat palsu'.
Label demokrat palsu itu ditimbulkan kerana pembangkang sengaja berprasangka buruk dengan menuduh Akta Hasutan itu akan digantikan dengan akta baru yang menurut mereka akan mempunyai kuasa-kuasa drakonian yang sama.
Cukup aneh! Belumpun akta baru itu siap digubal, pihak pembangkang sudah cepat membuat andaian negatif dan menyerang kerajaan. Sikap mereka jelas sekali tidak dikongsi oleh para ilmuwan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersikap lebih positif.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir misalnya menyifatkan tindakan kerajaan itu bertepatan dengan kematangan pemikiran rakyat masa kini.
Beliau berkata, akta sedia ada memang sudah sampai masanya dimansuhkan kerana tidak sesuai dengan perkembangan politik dan tidak mampu menangani isu perpaduan serta hubungan antara kaum yang kian mencabar.
"Ini transformasi kerajaan yang amat kena pada masanya dengan tuntutan rakyat pada masa kini dan akan datang," katanya.
Beliau berkata, langkah kerajaan itu juga belum terlambat, malah ia tindakan yang responsif dan sesuai dengan slogan 1Malaysia.
Bagi penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain, langkah itu sepatutnya dialu- alukan oleh seluruh rakyat kerana pemerintah negara bersikap semakin terbuka.
"Walaupun tanpa akta baru berkenaan, kerajaan sentiasa memberi ruang kepada rakyat untuk dikritik bagi memperbaiki kelemahan. Saya melihat kerajaan yang ada hari ini sentiasa dikritik rakyat dan tidak pernah menyekat rakyat daripada terus mengkritiknya," katanya.
Mengulas perkara sama, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, perubahan yang dilakukan itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap situasi semasa negara.
"Kami percaya segala usaha membawa transformasi ini adalah bukti kerajaan mendahulukan rakyat. Pada masa sama, masyarakat perlu lebih matang dalam menyuarakan pendapat agar keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat terus dijaga," katanya.
Perbezaan pandangan antara pihak pembangkang dengan penganalisis politik dan pemimpin NGO tersebut sebenarnya sudah dijangka. Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan menerusi akta baru itu sudah pasti akan disalahgunakan pihak pembangkang dan penyokong mereka untuk mengkritik kerajaan dengan pelbagai dakyah palsu.
Jika sebelum ini, mereka 'bersembunyi- sembunyi' mengkritik kerana takut dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, selepas ini mereka sudah pasti akan bersuara lebih lantang.
Dalam menghadapi sikap lebih lantang pembangkang itu, semua rakyat seharusnya sedar bahawa kritikan yang tidak berlandaskan kepada fakta hanya akan merosakkan negara.
Janganlah kita menyelar kerajaan kerana perbezaan fahaman politik sehingga yang hitam pun dikatakan putih. Segala teguran yang dibuat seharusnya bersifat membina bagi mewujudkan negara Malaysia yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment