Thursday 19 July 2012

ISU-ISU AKHBAR CINA

PEMIMPIN PERLU BERAKHLAK MULIA

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 14 Julai 2012 menyiarkan artikel mengenai perlunya seseorang pemimpin itu mempunyai akhlak mulia.
Artikel bertajuk ‘Antara pemimpin dengan skandal’ tulisan Hong Choo Chew disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun halaman W3.
Perkataan ‘pemimpin’ merujuk kepada mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat dan mereka memimpin rakyat bagi mencapai hala tuju tertentu.
Mereka mempunyai pengaruh yang luas dalam masyarakat dan pengikut juga akan menjadi taksub terhadap pemimpin, mengikut gayanya dan menyerah diri mereka kepadanya.
Kata-kata pemimpin mempunyai kekuatan tertentu, tetapi kata-kata yang diluahkan itu perlu menyakinkan semua orang, barulah beliau akan mendapat kepercayaan.
Ahli falsafah Greece, Aristotle menegaskan, akhlak seseorang pemerintah perlu sebaik-baiknya dan lengkap serta kebolehan pemimpin itu umpama tukang yang bijak dan hebat.
Maksud ‘tukang’ itu ialah mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan khusus dalam kemahiran tertentu dan mereka juga sangat berdisiplin dalam menyiapkan kerja-kerja mereka.
Ramai orang percaya seseorang pemimpin itu perlu ada sikap khidmat bakti, perwatakan unggul, mempunyai keyakinan diri, jati diri, berdikari, mempunyai keputusan sendiri dan bersikap toleransi.
Pemimpin juga mempunyai semangat berkhidmat, kebijaksanaan yang luar biasa, mempunyai keberanian unggul, mampu membuat keputusan yang hebat, bertekad dan tidak mudah mengalah.
Mereka sanggup berjuang, mudah mendekati orang ramai, mempunyai banyak sifat insaf diri dan lain-lain sifat mulia.
Pemimpin seperti ini mempunyai pengaruh dan sifat yang dimilikinya menjadi penyebab beliau boleh menundukkan orang ramai dan ramai pengikut menjadi taksub kepadanya.
Sudah tentu orang ramai juga mahu dan mengharapkan pemimpin itu ialah seorang individu yang mampu membawa mereka ke jalan yang benar.
Pada masa sama, mereka mengharapkan pemimpin bersikap adil ketika menjalankan tugas, benar-benar jujur dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.
Mereka turut berharap pemimpin bersikap ikhlas, tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri dan tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak.
Seseorang pemimpin juga harus mempunyai kemampuan untuk mendengar kritikan dan pandangan orang lain yang berlainan daripada pendapatnya.
Secara umumnya, pemimpin ialah individu yang mempunyai keperibadian mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Bagaimanapun, sebagai manusia, pemimpin sudah tentu mempunyai nafsu dan keinginan peribadi.
Gerak geri mereka yang bersifat peribadi itu sering dikaitkan dengan jawatan yang dipegang dan organisasi yang diwakilinya.
Sebab itu apabila pemimpin terlibat dengan skandal, beliau menjadi perhatian umum. Pihak lawan akan mendedahkan isu itu dan mengambil kesempatan untuk mempersenda dan mempermain-mainkan pemimpin berkenaan sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan.
Apa yang berlaku itu memang amat menyedihkan kerana tingkah laku yang bersifat peribadi tidak seharusnya dikaitkan dengan organisasi, kaum atau negara.
Apabila hal peribadi dijadikan isu, ia hanya akan menimbulkan lebih banyak permusuhan, membangkitkan perasaan dendam dan menyebabkan jasa-jasa pemimpin itu kepada masyarakat tidak dihiraukan.
Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, kita perlu menerima hakikat bahawa di negara ini hal-hal bersifat peribadi sudah pasti akan dijadikan isu oleh pihak lawan.
Sebab itu, pemimpin-pemimpin perlu bersikap berhati-hati dan sayangkan diri sendiri. Jangan membuat sesuatu mengikut sesuka hati mereka dan untuk kepentingan peribadi.
Mereka tidak boleh buat perkara yang bukan-bukan yang boleh mendatangkan kekecohan dan pemimpin berkenaan juga perlu berhati-hati apabila bercakap.
Sila pandang dan perhatikan di sekeliling anda, adakah kita mempunyai pemimpin seperti itu?

STRATEGI PKR MENAWAN JOHOR


AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 11 Julai 2012 pula menyiarkan berita mengenai hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Johor yang selama ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Berita bertajuk ‘Pemuda PKR mahu bertahan di Pulau Pinang, Wanita PKR akan bawa bala tentera serang Johor’ disiarkan menerusi ruangan dalam negeri halaman sembilan.
Pemimpin PKR kini sedang berfikir secara serius mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditanding Presiden parti itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin masing-masing mempunyai pendapat berbeza mengenai perkara itu.
Shamsul Iskandar mencadangkan, Wan Azizah bertahan di Pulau Pinang di salah satu kawasan DUN dalam Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Katanya, Presiden parti itu perlu dicalonkan bertanding kerusi DUN di kawasan Parlimen itu yang kini diwakili oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah kubu kuat parti itu.
Zuraida pula berpendapat sebaliknya apabila mahukan Wan Azizah berhijrah ke Johor dan bertanding di salah satu kerusi DUN di negeri itu.
Menurut beliau, langkah berkenaan adalah penting bagi membolehkan Presiden PKR itu mengetuai angkatan kepemimpinan parti tersebut bagi menyerang kubu kuat BN berkenaan.
Apa pun keputusan Wan Azizah, kedua-dua pemimpin sayap itu sependapat beliau perlu bertanding pada PRU-13 akan datang walaupun peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarangnya bertanding kerusi Parlimen setelah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk ditandingi suaminya dalam pilihan raya kecil.

No comments:

Post a Comment