Kenaf komoditi serbaguna
Dalam hubungan ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah dipertanggungjawab untuk menerokai potensi tumbuhan itu sebagai komoditi eksport baru Malaysia.
Pada 2008, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan kenaf akan menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar khususnya di kawasan tanah Beris yang sesuai dengan tanaman itu.
LKTN yang dipertanggungjawabkan bagi menjadikan kenaf sebagai tanaman utama petani selain tembakau, kini mengorak langkah bagi merealisasikan matlamat itu.
Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim ketika membawa wartawan ke Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf Beseri baru-baru ini, berkata, matlamat lembaga itu ialah mengkomersialkan kenaf sehingga ke peringkat global.
"LKTN juga sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi melaksanakan percubaan verifikasi benih kenaf baru iaitu KB6 di Bukit Tangga, Kedah dan bekerjasama dengan Fujian Agriculture and Forestry Universiti bagi pembiakan benih kenaf F992 bermula Ogos 2011," katanya.
Bermula 2006, pada awalnya pengeluaran biji benih kenaf hanya mampu dihasilkan sebanyak 7,190 kilogram dan terus meningkat setiap tahun. Pada tahun lepas, biji benih yang dikeluarkan itu mampu mencapai 151,250 kilogram.
Oleh kerana Kedah dan Perlis mempunyai musim kemarau yang panjang, maka kedua-dua negeri itu paling sesuai untuk ditanam kenaf bagi pengeluaran biji benih.
Ismail berkata, tanaman kenaf sangat sesuai kerana hasilnya yang sangat tinggi dan mampu mengeluarkan petani daripada garis kemiskinan.
Katanya, petani boleh mendapat keuntungan bersih kira-kira RM2,000 atau RM3,000 dalam sehektar.
''Sebab itu, yang paling penting adalah bagaimana untuk menghasilkan kenaf bermutu tinggi. Ini memerlukan kajian dan penyelidikan oleh LKTN," katanya.
Kenaf sebenarnya sangat mudah ditanam dan petani hanya perlu mempraktikkan sistem 3T iaitu tanam, tengok dan tuai.
''LKTN akan membantu petani untuk menanam kenaf di samping memasarkannya," katanya.
Beliau berkata buat masa ini benih kenaf banyak diimport dari negara maju dalam bidang tanaman itu seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syarikat.
Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman ketika ditemui di ladang benih kenaf di Kampung Pering, Kodiang, Kedah pula berharap lebih ramai petani menceburi penanaman kenaf.
"Contohnya, di ladang ini kita menggalakkan petani menanam kenaf sebagai tanaman sampingan bersama tanaman lain, yang juga melibatkan bekas siswazah," katanya.
Ahmad berkata, sasaran LKTN pada tahun ini adalah menanam kenaf pada skala lebih besar iaitu kira-kira 3,000 hektar tanah di seluruh negara terutama tanah terbiar.
Seorang bekas siswazah dari Universiti Putra Malaysia, Imran Fahmi Tajul Ariffin, 25, berkata tanaman kenaf yang diusahakannya di ladang itu ternyata memberi pulangan lumayan.
"Semuanya hasil usaha LKTN dan kami perlu komited dalam mengusahakannya dan saya rasa inilah tanaman masa depan yang sangat menguntungkan," katanya.
Beliau berharap lebih ramai siswazah yang belum mendapat pekerjaan agar tidak malu terbabit dalam bidang pertanian terutama penanaman kenaf.
Potensi kenaf
Sementara itu, Ahmad menambah, LKTN melihat potensi kenaf ini sangat besar pada masa hadapan terutama dalam bidang automobil kerana beberapa pembuat kereta ternama seperti Toyota dan Honda kini mula merangka badan kenderaan yang diperbuat daripada kenaf.
"Toyota sudah mula mengorak langkah memperkenalkan kereta hibrid yang diperbuat daripada gentian kenaf untuk badan kenderaan. Kita berharap syarikat automobil tempatan seperti Proton dan Perodua turut menjalankan kajian mengenainya," katanya.
Beliau berkata, LKTN bercadang mengadakan perbincangan dengan syarikat automobil tempatan berhubung perkara itu.
Ahmad berkata walaupun ia mengambil masa untuk melihat kejayaan industri kenaf namun beliau yakin akan potensi tanaman itu adalah sesuatu yang tidak ada tandingnya.
Kenaf ibarat lubuk emas yang belum diteroka sepenuhnya dan sudah sampai masanya semua pihak bersama-sama meneroka hasil alam ini, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment