Thursday, 5 July 2012

Malaysia bukan seperti politik Mesir

Presiden Mesir yang baharu, Mohammed Mursi melihat orang ramai yang berhimpun untuk mendengar ucapannya di Dataran Tahrir, Kaherah pada 29 Jun lalu. - REUTERS
KEMENANGAN Ikhwan Muslimin pada pilihan raya bebas yang pertama di Mesir tahun lalu dan baru-baru ini salah seorang pemimpinnya, Mohammed Mursi menang pula pilihan raya Presiden dan dilantik mengambil tempat Hosni Mubarak menyebabkan ramai yang teruja.
Teruja kerana buat pertama kali di Mesir, pemimpin dari aliran agama berjaya menduduki kerusi Presiden. Teruja kerana Ikhwan Muslimin yang terkenal sejak Perang Dunia Pertama dan terkenal kerana peranannya dalam revolusi Mesir pada 1952 akhirnya diiktiraf melalui pilihan raya.
Umat Islam di seluruh dunia tumpang gembira dengan kejayaan Ikhwan Muslimin. Di tangan Ikhwan Muslimin, Mesir diramal akan membuka laluan baru kepada perkembangan Islam di Asia Barat terutama yang membabitkan Israel, Palestin dan Iran.
Bahang kemenangan Ikhwan Muslimin dan pelantikan Mursi sebagai Presiden Mesir turut dirasai di Malaysia.
Tidak kurang juga yang menyamakan kebangkitan Ikhwan Muslimin dan kemenangan Mursi dengan perjuangan kumpulan tertentu untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.
Sudah ada yang mula melaungkan bahawa Malaysia perlu mencontohi apa yang berlaku di Mesir - menggantikan pemimpin dan kerajaan sedia ada.
Tetapi benarkah senario politik di Malaysia sama seperti apa yang berlaku di Mesir? Kenapa ada pihak yang begitu dangkal sampai gagal membezakan sejarah politik antara Mesir dengan Malaysia?
Dalam sejarah Mesir, Mursi merupakan orang awam pertama yang dilantik sebagai presiden. Malah pilihan raya yang menyaksikan kemenangan Mursi itu juga merupakan yang pertama kali diadakan secara bebas dan terbuka dalam tempoh 60 tahun.
Sedangkan dalam tempoh 60 tahun lalu, Mesir dikuasai oleh kerajaan tentera dan langsung tidak mempedulikan suara rakyat. Memang Mesir terkenal dengan ketamadunannya. Termasuk tamadun Islam selain memiliki tokoh-tokoh agama dan politik tersohor.
Ramai yang menyanjung akan ketokohan pemimpin-pemimpin pejuang seperti Hassan Al-Bana yang bertanggungjawab menghidupkan Ikhwan Muslimin.
Tetapi perlu diingat, Al-Bana juga yang mendokong revolusi 1952 dengan menyaksikan kejatuhan pemerintahan beraja dan digantikan pemerintahan autoritarian tentera. Al-Bana melalui Ikhwan Muslimin merupakan penggerak menjatuhkan pemerintahan Raja Farouk yang membawa kepada penubuhan kerajaan autoritarian pimpinan Gamal Abdel Nasser.
Tetapi selepas Nasser mendapat kuasa, Al-Bana dan Ikhwan Muslimin dilihat sebagai pengancam dan pengacau lalu diharamkan. Hasil revolusi yang turut didokong oleh Al-Bana itulah melahirkan pemimpin-pemimpin autoritarian yang menguasai Mesir selama 60 tahun.
Selepas Nasser meninggal pada 1970, tempatnya diambil oleh Anwar Sadat yang kemudiannya dibunuh dan digantikan oleh Hosni Mubarak.
Sejarah politik Mesir semuanya penuh dengan pertumpahan darah dan huru-hara. Peralihan pimpinannya tidak pernah aman. Sentiasa saja ada korban dan sentiasa kucar-kacir dan huru-hara.
Begitu juga dengan peralihan kuasa daripada Mubarak kepada Mursi sekarang ini. Ia berlaku selepas terjadinya huru-hara. Dalam revolusi rakyat di Dataran Tahrir yang bermula Januari tahun lalu, sekurang-kurangnya 900 nyawa melayang sebelum Mubarak bersetuju melepaskan kuasa bagi diadakan pilihan raya yang menyaksikan kemenangan Mursi.
Jadi, di mana persamaan pemerintahan autoritarian selama 60 tahun di Mesir dengan demokrasi berperlembagaan Malaysia yang tidak pernah gagal memilih kerajaan baharu setiap lima tahun?
Di Malaysia bukan sahaja pemimpin negara yang dipilih melalui proses pilihan raya, malah pemimpin parti politik juga di pilih oleh ahli. Hanya satu parti saja di negara ini yang pemimpinnya tertingginya tidak melalui proses pemilihan.
Jika di Mesir, ini merupakan kali pertama pilihan raya bebas diadakan, di Malaysia ia telah diadakan sejak dari tahun 1955 - ketika negara belum mencapai kemerdekaan.
Biarpun negara berhadapan dengan rusuhan kaum pada 1969, tetapi ia tidak pernah dijadikan alasan untuk membatalkan pilihan raya umum.
Di Malaysia parti-parti politik bebas tumbuh pada bila-bila dengan apa juga nama. Tidak ada satu pun yang diharamkan oleh kerajaan kecuali Parti Komunis Malaysia (PKM). Itupun disebabkan PKM memilih perjuangan bersenjata dan ideologinya menolak akan kewujudan Tuhan.
Berbanding dengan Mesir, Ikhwan Muslimin yang merupakan parti Islam terbesar di dunia Arab yang ditubuhkan pada 1928, ia sering berhadapan dengan tindakan-tindakan oleh kerajaan. Selepas perang Arab-Israel, ia diharamkan oleh kerajaan Mesir dengan anggotanya telah dipenjarakan.
Biarpun ia membantu Nasser dalam revolusi 1952, namun selepas itu Ikhwan Muslimin tetap diharamkan sehinggalah kebangkitan semulanya pada 2011.
Adakah parti-parti politik di Malaysia seperti Pas, DAP dan PKR menerima nasib yang sama dengan Ikhwan Muslimin? Sejak didaftarkan pada 1955, Pas tidak pernah dihalang atau disekat daripada bertanding dalam pilihan raya apatah lagi diharamkan.
Begitu juga dengan DAP, PKR dan parti-parti lain. Mereka bebas untuk merekrut ahli-ahli baru pada bila-bila masa selain tidak pernah dihalang berceramah termasuk menghentam dan membelasah kerajaan.
Keadaan itu tidak berlaku di Mesir. Malah ia belum tentu akan berlaku walaupun kini wakil Ikhwan Muslimin dilantik sebagai Presiden kerana pengaruh tentera masih menguasai politik negara itu.
Di Malaysia, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak pernah gagal dan tidak pernah dihalang bertanding dalam setiap pilihan raya. Ada di kalangan pemimpin pembangkang di negara bertanding dalam pilihan raya sejak 1967 sampai sekarang.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang misalnya, sejak dari 1969 lagi sudah menjadi Ahli Parlimen. Hingga sekarang Kit Siang masih lagi Ahli Parlimen dan boleh dikatakan menang dalam setiap pilihan raya yang ditandinginya.
Kebebasan dan nikmat sebagai pembangkang di negara ini itu tidak pernah dirasai oleh pemimpin pembangkang di Mesir.
Cuma bezanya sehingga kini Pas, DAP dan PKR belum mampu untuk membentuk Kerajaan Pusat. Itu disebabkan mereka gagal mendapatkan mandat yang cukup dari rakyat berbanding BN. Bukan sebab mereka ditindas, dinafikan hak atau kerana Malaysia mengamalkan autoritarian.
Yang pasti, sejak pilihan raya bebas yang pertama pada 1955 hingga kini sudah 12 kali pilihan raya umum diadakan. Sedangkan di Mesir dalam tempoh 60 tahun baru sekali ia diadakan.
Walaupun pembangkang belum diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi beberapa negeri kini dikuasai mereka. Kemenangan mereka diiktiraf dan diperakui oleh sistem politik yang diamalkan di Malaysia.
Cuba lihat nasib Ikhwan Muslimin. Walaupun mereka menang pilihan raya parlimen tahun lalu, tetapi kerjaan sementara yang disokong oleh tentera selepas Mubarak meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya mempengaruhi hakim supaya membubar Parlimen dan seterusnya menafikan kemenangan tersebut.
Jika Malaysia diperintah secara autoritarian seperti di Mesir, mungkinkah Pas boleh membentuk kerajaan selama lebih 20 tahun di Kelantan dan kemudian bersama kawan-kawan dalam pembangkang membentuk pula kerajaan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?
Di Malaysia peluang untuk mana-mana parti politik membentuk kerajaan sentiasa ada. Tetapi, semuanya terletak di tangan rakyat. Di sebalik pelbagai dakwaan bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, ada penipuan, wujud pengundi hantu dan senarai daftar pemilih tidak bersih, tetapi Pas, DAP dan PKR boleh pula membentuk kerajaan di Selangor yang merupakan negeri terkaya di Malaysia selain menguasai Kedah dan Pulau Pinang serta mengekalkan kuasa di Kelantan.
Realitinya situasi politik di Malaysia tidak boleh disamakan dengan Mesir. Pembangkang di Malaysia menikmati pelbagai bentuk kebebasan dan keistimewaan sejak dari zaman awal negara mencapai kemerdekaan. Malaysia bukannya Mesir. Kebangkitan di Mesir kerana rakyatnya tertindas.

No comments:

Post a Comment