Sunday 29 July 2012

DAP Menang Besar Jika PR Berjaya Tawan Putrajaya


Dr Azmi Hassan
 
Berdasarkan senerio sekarang, tidak mustahil DAP akan menang besar jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13.
Dr Azmi Hassan berkata apa yang berlaku sekarang ini adalah bayangan terhadap apa yang berlaku pada masa hadapan, di mana DAP meletakkan proksi tokoh Melayu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol ketua untuk mencapai agenda mereka yang lebih besar.
“DAP tahu, Anwar itu adalah seorang yang beragama Islam yang juga berbangsa Melayu. Itu yang lebih penting.
“Jadi, kalau kita lihat percaturan politik DAP, mereka berkorban pada masa ini kerana habuan yang akan datang lebih besar lagi.
“Mereka mahu mengaburi pengundi-pengundi Melayu bahawa mereka boleh bekerjasama dengan orang Melayu. Mereka boleh bekerjasama dengan PAS. Mereka boleh bekerjasama dengan PKR. Mereka boleh melantik Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
“Sebab itu sekarang ini mereka mengalah, kerana habuan politik di akhirnya, begitu besar sekali,”katanya.
Ikutilah wawancara lengkap AIDC bersama Dr Azmi Hassan.
Sudah ramai yang menyebut bahawa Datuk Seri Anwar adalah boneka atau proksi kepada pihak asing, terutamanya melalui tajaan-tajaan tertentu dan sebagainya. Pada satu peringkat, Mursyidul Am Pas pernah menyuruh Anwar menarik balik kenyataannya dalam Wall Sreet Journal (WSJ) berhubung keselamatan Israel. Berlakunya perkara ini, seperti Pas menyedari hubungan Anwar dengan Yahudi, Israel dan Amerika Syarikat (AS) serta dana-dana asing tetapi sengaja tutup sebelah mata. Apa pendapat Dr. dalam soal ini ?
Ya, saya pasti bukan sahaja Pas menyedari hakikat itu. Ramai juga yang telah menyedari bahawa Amerika rapat dengan Datuk Seri Anwar. Pelobi-pelobi asing terutama sekali daripada institusi yang menyokong puak Yahudi adalah begitu rapat sekali dengan beliau. Kalau kita lihat rakan-rakan beliau di luar negara, kita dapat baca semua perkaitan ini.
Jadi, kenapa Pas masih mahu bersengkokol dengan Anwar walaupun hakikatnya tahu keakraban beliau dengan Yahudi, ataupun keakraban beliau dengan kumpulan Zionis yang begitu terang sekali.
Sebabnya untuk memperjuangkan agenda politik PAS untuk kepentingan PAS. Itu sahaja.
Kalau kita lihat dalam Pakatan Rakyat, masing-masing mempergunakan antara satu sama lain.
PAS menggunakan PKR. Begitu juga PKR menggunakan PAS. PAS mempergunakan DAP, dan begitu juga sebaliknya.
Kita dapat lihat, walaupun mereka kata bahawa mereka adalah satu pakatan, tetapi agendanya tetap masing-masing.
Kepentingan agenda politik parti mereka, mereka letak paling atas sekali.
Tidak kira sama ada DAP sebagai chauvinis memperjuangkan kaum Cina. Tidak kira PKR di bawah Anwar, begitu rapat, intim dengan pihak pelobi Yahudi. Tidak menjadi isu pada PAS nampaknya.
Kerana pada mereka, daripada berseorangan di pihak pembangkang, lebih baik mereka bersama-sama dengan DAP dan PKR. Walaupun DAP dan PKR itu, misi mereka, objektif mereka bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Kerana mereka tahu, berseorangan, PAS tidak akan ke mana. Bertiga, mereka akan berada di landasan yang agak kuat.
Jadi jelas bahawa apa yang diperjuangkan oleh mereka itu, bukan untuk kebaikan negara, bukan untuk kebaikan nasional, bukan untuk kebaikan rakyat tetapi sebenarnya untuk kebaikan parti politik mereka dan siapa memimpin parti tersebut.
Itu yang menyedihkan kerana begitu jelas sekali. Bukan sekadar tersiratnya hubungan Anwar dengan Yahudi, tetapi sudah tersurat. Tapi PAS masih bersama-sama berjuang dengan Anwar kerana kepentingan agenda politik, itu saja.
Kekadang terfikir adakah gesaan Datuk Nik Aziz supaya Anwar menarik balik kata-kata dalam WSJ itu ikhlas atau takut kehilangan undi umat Melayu-Islam ? Sebabnya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.
Ya, sebab itu satu isu yang jelas. Jadi PAS perlu melakukan sesuatu. Jadi, paling minimum yang mereka boleh lakukan adalah memberi satu saranan kepada Anwar supaya menyaman WSJ ataupun menarik balik kata-kata beliau yang diwawancara itu.
Walaupun PAS tahu, Anwar tidak akan melakukan perbuatan itu dan tidak akan melakukan apa yang diminta. Kerana Anwar tahu bahawa PAS juga boleh didiamkan. Walaupun beliau tidak melakukan apa yang diminta, PAS tetap akan berdiam kerana PAS lebih memerlukan Anwar dalam konteks politik semasa.
Dalam hal ini, tidak cukup dengan sokongan PAS sahaja, Anwar juga memerlukan sokongan daripada pihak Yahudi, sebab itu beliau hanya mendiamkan diri sahaja dalam kes WSJ tersebut.
Namun pada pihak ketiga perkara itu amat jelas. Pihak ketiga, yakni rakyat biasa yang bukan dari parti pembangkang ataupun kerajaan, mereka boleh melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku.
Pada pihak ketiga agak menghairankan tindak-tanduk PAS itu, walaupun sudah tahu tingkah laku Anwar dengan pelobi Yahudi tetapi masih tetap bersama-sama. Walaupun ada bangkangan yang mereka suarakan, namun bangkangan itu hanyalah sekadar ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’, hanya untuk mengaburi penyokong-penyokong PAS itu sendiri.
Kalau begitu, dalam kes WSJ, Datuk Nik Aziz sebenarnya tidak perlu memberi kata dua kepada Anwar ?
Bagi mereka yang tidak berpihak kepada mana-mana, memang dapat membaca strategi PAS, yakni hanya untuk mengaburi mata penyokong mereka. Menyatakan bahawa mereka tidak bersama-sama Israel ataupun Yahudi, justifikasinya mereka memberi amaran kepada Anwar.
Walhal PAS sudah tahu, amaran itu tidak akan diendahkan kerana hubungan Anwar dengan pelobi Yahudi itu sangat penting. Maka untuk terus menjaganya, Anwar tidak akan mempedulikan saranan PAS itu.
Tetapi pada PAS, tanggungjawab mereka sudah selesai, mereka boleh memberitahu kepada penyokong mereka bahawa mereka bukan penyokong Yahudi atau Israel.
Itu sememangnya satu strategi. Bukan sahaja kepada PAS tetapi PKR juga.
Anwar adalah ketua pakatan dan Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau pergi ke mana-mana di luar negara menggunakan gelaran Ketua Pembangkang dan dalam pembangkang itu ada PAS. Malah, ada ketikanya Anwar mengaku mewakili PAS. Anwar menjalin hubungan dengan Yahudi, Israel, menerima dana asing dan sebagainya, secara tidak langsung PAS sendiri merestui perkara itu ?
Memang nampaknya itulah hakikatnya. Kerana ini dilakukan bukan secara diam-diam, bukan di sebalik tabir tetapi sudah dilakukan secara terang-terang.
Sokongan pihak pelobi Yahudi terhadap Anwar Ibrahim begitu tebal, begitu terang sekali. Tapi PAS tetap bersama-sama.
Jadi, sebagai orang yang berada di luar politik melihat, itu adalah pegangan PAS yang sebenarnya. Mereka menyokong Anwar dan tidak mempedulikan hubungan Anwar dengan Israel. Itu satu perkara yang begitu menakjubkan sekali.
Itu yang menyedihkan, begitu terang sekali tetapi penyokong-penyokong PAS yang di bawah itu tidak berkata apa-apa. Adakah mereka terlampau mementingkan parti mereka atau mereka tidak mahu mempedulikan campur tangan luar dalam Pakatan mereka sendiri?
Amat menyedihkan sekali.
Barangkali Datuk Dr. Hasan Ali dipecat atas faktor ini ? Kerana beliau satu-satunya simbol dalam PAS yang masih vokal dalam soal ini ?
Mungkin salah satu sebabnya. Dr Hassan Ali adalah simbol terdapatnya pemimpin PAS atau ahli PAS yang tidak bersama-sama dengan perjuangan PAS sekarang ini.
Dan seperti Dr Hassan, itulah nasib yang bakal menimpa mereka, jika mereka berbuat demikian. Itulah isyaratnya.
Bukan saja pada Dr. Hasan, malah YB Nasharuddin pun telah terkena tempiasnya. Itu isyarat yang cuba ditonjolkan oleh pemimpin PAS bahawa jikalau terdapat bangkangan, maka itu nasib yang bakal mereka terima kelak.
PAS kata, mereka boleh ganti UMNO. Apa pandangan Dr ?
Sememangnya agak luar biasa kenyataan itu.
Tetapi kalau kita lihat pegangan PAS, prinsip PAS dalam Pakatan Rakyat sekarang ini, hakikatnya bertentangan dengan kenyataan itu. Dalam Pakatan, PAS nampak sangat bukan peneraju tetapi mereka hanya sebagai pengikut, “pak turut” atau mengikut telunjuk pihak yang lebih berkuasa.
Dalam hal ini, pihak yang lebih berkuasa dalam Pakatan adalah DAP dan juga PKR.
Jadi, untuk menyatakan mereka boleh mengambil alih peranan UMNO adalah satu kenyataan yang agak aneh dan lucu, kerana, apa yang sedang berlaku sekarang ini, mereka tidak mampu menjadi peneraju, apalagi menjadi ketua dalam sebuah kerajaan Persekutuan.
Pada saya, kenyataan itu hanya untuk mencuri hati ataupun membuat rayuan kepada pengundi-pengundi yang selama ini menyokong UMNO bahawa wujud satu lagi parti yang boleh menyaingi UMNO.
Tapi hakikat sebenarnya, dalam keadaan lebih kecil, mereka masih tidak mampu bersuara, hanya menjadi pengikut. Maka lebih sukar apabila kerajaan ditubuhkan dan sebab itu saya katakan agak aneh dan lucu.
Kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor, seperti melukut di tepi gantang, tidak lagi berani bersuara untuk amar makruf nahi mungkar.
Ya benar. Kalau kita lihat di Selangor adalah satu contoh yang paling nyata. Di mana dalam kerajaan yang kecil, pemerintahan kerajaan negeri, mereka masih tidak boleh memperjuangkan prinsip parti itu sendiri iaitu memperjuangkan agama Islam. Malah terpaksa tunduk kepada tekanan DAP dan juga PKR.
Jadi begitu jelas, kalau dalam kerajaan negeri mereka masih tidak mampu bersuara memperjuangkan agenda parti mereka, apatah lagi dalam hal yang lebih besar ?
Di Selangor, diterajui oleh PKR. Di Pulau Pinang pula diterajui oleh DAP. Tetapi yang sedihnya di Kedah juga sama. Walaupun Menteri Besar daripada parti PAS, tetapi nampak sangat pentadbiran negeri itu dikawal oleh kelompok-kelompok yang lebih berkuasa daripada pihak lain.
Walaupun PAS berkuasa, tetapi masih nampak mereka tidak boleh melakukan sesuatu yang mengikut prinsip sebenar mereka. Mereka masih perlu merujuk kepada rakan-rakan mereka dalam Pakatan itu sendiri.
Itu yang menyedihkan. Bagaimana mereka mahu menggantikan UMNO sedangkan dalam kes yang makro itu nampak jelas bahawa mereka tidak boleh memperjuangkan apa yang pada asalnya mereka perjuangkan.
Kita andaikan, Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Apa akan berlaku terhadap negara. Adakah akan berubah sistem negara ini. Adakah akan jadi Negara Republik seperti yang pernah disebut oleh Hasan Ali ?
Kalau kita tengok tingkah-laku pemimpin Pakatan sekarang ini, Nampak seperti mereka begitu ‘berseteru’ dengan Sistem Beraja yang diterima pakai sekarang ini.
Dalam setiap hal mereka akan mengkritik. Jika ada isu, mereka cuba mengkritik Sistem Beraja ataupun tingkah laku Sultan atau Raja.
Jadi, itu belum lagi mereka jadi pemerintah kerajaan Persekutuan, mereka sudah berani menongkah arus dengan melakukan kritikan terhadap perkara-perkara yang selama ini telah dipersetujui bersama dalam perlembagaan.
Jika diandaikan mereka berjaya menjadi pemerintah kerajaan Persekutuan, tidak mustahil jika didakwa Malaysia akan jadi sebuah Negara Republik. Tidak mustahil andaian itu.
Kalau kita ambil contoh yang kecil-kecil, semua itu sedang berlaku.
Bila sebuah negara itu sebagai sebuah Negara Republik, maka sistem Kesultanan Berperlembagaan itu secara automatik terhapus.
Jadi, akan berkubur sistem Beraja sama ada Sultan ataupun Raja di Malaysia. Kerana perlembagaan itu telah ditukar maka bermakna sistem raja berperlembagaan itu telah dimusnahkan.
Bagaimana pula dengan kedudukan hak istimewa Bumiputera. Adakah akan tergugat juga ?
Ya, kalau mereka berani mengatakan bahawa mereka tidak memerlukan Sistem Raja Berperlembagaan, apa yang boleh menyekat mereka untuk memusnahkan apa yang sudah ada dalam perlembagaan sekarang ini. Sebab saya pasti tidak kira PKR atau PAS, mereka akan tunduk kepada DAP.
Kita tahu apakah hasrat terakhir DAP adalah untuk menghilangkan hak keistimewaan Bumiputera. Itu matlamat akhir mereka. Mereka mahu sama rata.
Sebab itu dikatakan DAP itu parti chauvinis Cina. Sebab itu dikatakan Cina yang ekstrim itu begitu gemar menyokong DAP kerana mereka memikirkan jika DAP menguasai kerajaan Persekutuan, maka hak masyarakat Bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan selama ini, akan digugurkan.
Jadi, tidak mustahil perkara itu akan berlaku. Kemungkinan itu tetap ada kalau kita nilai yang berlaku kecil-kecil berlaku setakat hari ini.
Di Pulau Pinang, mereka sendiri akui bahawa mereka tidak aplikasi hak istimewa Bumiputera yang sudah termaktub dalam perlembagaan kerana mereka kata mereka berdasarkan sistem merit. Adakah itu petunjuk-petunjuk awal ke arah kerajaan Persekutuan ?
Ya. Bukan saja petunjuk tapi isyarat-isyarat yang begitu jelas.
Sebab itu, kita perlu membaca dengan betul, membuat analisis apakah hasrat mereka sebenarnya.
Walaupun mereka menggunakan ungkapan merit, yang dikatakan begitu indah sekali, begitu baik sekali, sama juga istilah demokrasi, tetapi akhirnya kita perlu bertanya apakah agenda mereka sebenarnya, adakah ia boleh memusnahkan apa yang telah kita kecapi selama lima dekad yang lepas ?
Walaupun DAP mempunyai majoriti di parlimen, namun mereka tetap angkat Anwar sebagai ketua, dalam kontek Pakatan sekarang ini, mereka lebih banyak berdiam diri. Adakah ini sebagai satu strategi jangka panjang, mengaut untung yang lebih besar jika Pakatan berjaya tawan Putrajaya ?
Ya, memang benar. Sebab itu dikatakan dalam Pakatan, masing-masing mempergunakan antara satu sama lain.
PAS kadang-kala membenamkan prinsip mereka, perjuangan Negara Islam kerana kepentingan politik.
Jadi dalam hal ini, memang betul, DAP dalam parlimen, mereka mempunyai majoriti, tetapi masih melantik Anwar sebagai Ketua Pembangkang kerana untuk menunjukkan kononnya Anwar Ibrahim adalah ikon mereka.
Tetapi yang lebih pentingnya, DAP tahu, Anwar itu adalah seorang yang beragama Islam yang juga berbangsa Melayu. Itu yang lebih penting.
Jadi, kalau kita lihat percaturan politik DAP, mereka berkorban pada masa ini kerana habuan yang akan datang lebih besar lagi.
Mereka mahu mengaburi pengundi-pengundi Melayu bahawa mereka boleh bekerjasama dengan orang Melayu. Mereka boleh bekerjasama dengan PAS. Mereka boleh bekerjasama dengan PKR. Mereka boleh melantik Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
Sebab itu sekarang ini mereka mengalah, kerana habuan politik di akhirnya, begitu besar sekali.
Seperti kes Selangor, walaupun Menteri Besarnya adalah Melayu, tetapi yang berkuasa nampaknya seperti DAP ?
Itu sebenarnya yang berlaku kerana yang pentingnya kuasa di belakang tabir itu.
Di Selangor memang jelas. Jangan cakap di Pulau Pinang, itu memang sudah terang-terangan. Di Kedah yang diperintah oleh Melayu pun berlaku perkara yang sama.
Di belakangnya, di sebalik tabirnya, adalah exco DAP walaupun tidak ramai tetapi suara mereka begitu kuat sekali. Kerana PAS memerlukan ADUN DAP, jadi perkara itu berlaku.
Maka, DAP memilih strategi yang nampak seolah-olah mengalah sekarang, tapi kita tahu tujuan mereka sebenarnya. Di akhirnya, kita tahu apa sebenarnya yang mereka mahukan.
Kalau tidak silap, dalam sejarah Singapura yang merdeka daripada Tanah Melayu, pada awalnya kedudukan Raja-raja Melayu masih termaktub dalam perlembagaan. Hari ini, walaupun masih termaktub tetapi tidak diaplikasikan. Bermakna termaktub dalam perlembagaan sahaja tidak mencukupi jika tidak dilaksanakan. Apakah perkara sama akan juga berlaku di Malaysia ?
Ya, matlamat terakhir DAP adalah untuk menguasai kerajaan Persekutuan. Seterusnya mungkin mahu menjadikan negara sebagai sebuah Negara Republik seiras Singapura.
Seperti yang dikatakan tadi, memang sistem Kesultanan Singapura itu masih ada iaitu selepas merdeka daripada Malaysia. Tetapi sedikit demi sedikit mereka akan hapuskan persepsi itu hingga pada hari ini rakyat Melayu Singapura sendiri tidak tahu siapakah yang berketurunan Raja atau Sultan.
Kerana pada rakyat Singapura sudah tidak penting soal raja-raja Melayu kerana mereka hidup selesa dalam sistem Republik.
Sebenarnya rakyat Melayu Singapura pada hakikatnya ditindas. Tetapi mereka tidak mahu mengaku hakikat itu.
Sama juga yang akan berlaku di Malaysia, sedikit demi sedikit mereka akan menghakis kuasa Bumiputera, hak masyarakat Bumiputera dan juga hak masyarakat Islam.
Sama juga agenda DAP di Malaysia dengan PAP di Singapura.
Kalau kita lihat di Singapura, banyak nama-nama Melayu itu sengaja dibiarkan begitu sahaja. Nama lagu kebangsaan masih lagi ungkapan Melayu.
Mereka memberi persepsi bahawa mereka masih mengekalkan sejarah lama tetapi apa yang mereka kekalkan itu adalah benda yang tidak penting. Yang penting, semuanya mereka ambil.
Sama juga DAP di Malaysia. Bagi mereka, tidak penting mereka berada di barisan hadapan. Tidak penting pemimpin mereka menjadi Ketua Pembangkang, yang penting mereka boleh berkuasa di belakang dan suara mereka didengar oleh pemimpin Melayu yang memimpin mereka.
Penerimaan LGBT tidak pernah kita dengar sebelum ini, sekiranya PR memerintah, adakah sistem nilai masyarakat juga akan berubah ?
Kita lihat sesetengah kepimpinan Pakatan itu terikut-ikut dengan konsep liberal yang dibawa dunia Barat.
Sama juga dengan konsep LGBT ini, konsep hak asasi setiap individu, kita lihat pemimpin pembangkang terikut-ikut dan menerima bahawa itu adalah hak individu, yang sepatutnya dihormati.
Itu adalah acuan demokrasi ala Barat seratus peratus. Walaupun individu itu seorang, haknya perlu diterima oleh kumpulan majoriti.
Jadi, apabila ditanya jika Pakatan memerintah kerajaan Persekutuan, apakah nilai-nilai sosial, nilai-nilai hidup akan berubah? Saya jawab ya.
Akan berubah, kerana prinsip mereka adalah berlainan sama sekali dengan prinsip kerajaan yang sedia ada. Mereka, pembangkang menerima hak asasi individu sebagai satu perkara penting. Dan dalam hak asasi individu ini termasuk juga hak kumpulan LGBT yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Ini satu contoh, ada banyak lagi perkara yang akan berubah dalam sistem nilai hidup sosial kita.
Mungkin, Melayu Malaysia akan jadi seperti masyarakat Melayu Singapura kerana kononnya mengikut peredaran masa, kemajuan dan juga liberal demokrasi.
Badan penerbitan mencabar sistem yang sedia ada seperti membawa Irshad Manji ke Malaysia serta mencabar badan agama ke mahkamah. Adakah ini bunga-bunganya ?
Ya memang benar. Kalau kita lihat terutama sekali di Selangor, banyak perkara seperti kes Irshad Manji itu berlaku.
Mereka secara terang terangan mencabar kewibawaan agama Islam ataupun majlis yang menjaga agama Islam itu.
Jika itu sudah berlaku, apabila PR memerintah, maka kacau bilau lah negara, kerana ada di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak boleh menerima cabaran yang sedemikian rupa.
Itu sudah berlaku di Selangor dan itulah gambaran masa hadapan.
Jikalau rakyat Malaysia ingin mengetahui apa gambaran Malaysia pada masa hadapan jika PR memerintah, maka Selangor adalah contoh terbaik.
Cabar-mencabar, bukan sahaja terhadap agama Islam, malah hak Sultan pun, mereka sudah berani mencabar.
Dalam erti kata lain, PAS tidak mampu menahan diri daripada membendung perkara ini terus berlaku kerana ditentang kombinasi DAP dan PKR ?
Ya, memang benar. Kalau kita lihat apa yang berlaku sebelum ini, PAS hanyalah menjadi “pak turut”, mengikut sahaja. Beberapa perkara yang berlaku melawan prinsip PAS itu sendiri, tetapi pada akhirnya mereka terpaksa menuruti sahaja kehendak DAP dan PKR.
Jadi, amat menyedihkan kerana kepentingan politik, PAS sanggup melupakan perjuangan mereka.
Sebab itu, tidak salah jika ada dakwaan mengatakan ‘Perhimpunan Hijau’ adalah untuk memenangkan DAP ke Putrajaya?
Itu yang sedang berlaku walaupun cuba dinafikan PAS. Hakikatnya apa yang berlaku sebelum ini, walaupun mereka mengatakan itu adalah perhimpunan hijau untuk PAS tetapi sebenarnya adalah untuk melangsungkan agenda DAP.
PAS tidak boleh menang keseorangan, jika mahu ke Putraja, mereka mesti menang bersama DAP dan PKR.
Begitu sedih sekali apa yang telah menimpa Pas sekarang ini, di mana kepimpinan mereka tidak nampak, mereka sedang dipergunakan.
Dr Azmi : Dana Asing, Demonstrasi Jalanan dan Masa Depan Negara
* Azmi Hassan adalah GeoStrategis, Universiti Teknologi Malaysia. Disertasi ijazah kedoktoran beliau adalah dalam bidang Pemperosesan Isyarat Satelit GPS dari University of Wisconsin-Madison.
Walaupun mempunyai kepakaran dalam bidang satelit, tetapi beliau mempunyai minat mendalam dalam hal ehwal pertahanan strategik dan geopolitik tempatan dan antarabangsa.
Beliau banyak menulis rencana umum (setakat ini lebih dari 500 rencana) yang disiarkan oleh media cetak perdana seperti The New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia.
Beberapa rencana beliau telah mengundang kontroversi kerana ada kalanya bersifat provokasi. Antaranya ialah Pendirian Malaysia Terhadap Nuklear Iran, Evolusi ISA Malaysia dan Amerika, Singapura dan Israel Setaraf?, KL Tidak Ikut Telunjuk AS dan LGBT, Pinkwashing Israel.
Azmi juga banyak menumpu perhatian mengenai hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Singapura dan pernah dituduh sebagai seorang penulis yang gemar bermain dengan sentimen perang terutama sekali dengan pembaca berbangsa Melayu. Tuduhan tersebut dibuat oleh Menteri Luar Singapura S. Jayakumar dalam ucapan di Parlimen Singapura pada 21 Mac 2003.
Beliau juga adalah pemilik paten hakcipta 6052082 mengenai pemperosesan isyarat satelit GPS yang dikeluarkan oleh Bahagian Paten dan Hakcipta, Amerika Syarikat. Paten yang bertajuk “Method for Determining a Value for the Phase Integer Ambiguity and a Computerized Device and System Using Such a Method” berkisar kepada kaedah mengekang polisi Anti-Spoofing yang dikenakan oleh Jabatan Pertahanan AS terhadap pengguna awam satelit GPS

No comments:

Post a Comment