Memerangi kumpulan ajaran sesat di Malaysia
Di Malaysia, kajian mendapati bahawa ajaran dan amalan sesat bergerak secara senyap- senyap atau tanpa disedari semasa Islam mula bertapak di negara ini pada abad ke-15 lagi. Ia dipercayai turut dibawa secara imigrasi yang membawa fahaman asal yang ada antaranya ciri-ciri ajaran animisme dan adat yang tidak selaras dengan Islam.
Ajaran sesat yang bergerak cergas di seluruh Malaysia sebelum 1980an bukan sahaja telah mengalami pengurangan bahkan kebanyakan dapat dibanteras oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari semasa ke semasa dengan kerjasama yang berkaitan.
Berdasarkan kajian Jakim, ajaran sesat yang dikategorikan sebagai aktif sehingga Mac 2001 adalah sebanyak 26 kumpulan meliputi pelbagai bentuk amalan seleweng, penggabungan dengan amalan pembomohan, persilatan serta amalan khurafat seperti amalan sihir, penggunaan jin atau hantu. Beberapa daripada kumpulan berkenaan telah difatwa dan diwartakan oleh negeri-negeri sebagai sesat.
Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada ajaran Islam atau didakwa tidak berlawanan dengan ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau amalan itu berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
Hasil daripada tindakan agresif yang dilakukan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam usaha membanteras ajaran sesat ini maka jumlah ajaran sesat tegar di Malaysia akhir- akhir ini dikenalpasti sebanyak tujuh kumpulan. Kumpulan tersebut adalah kumpulan Al- Arqam/Rufaqa'/Global Ikhwan Sdn. Bhd, Pertubuhan Kerabat Raja Sakti-penjenamaan semula dari Ajaran Azhar Wahab (Al-Mansur), Ajaran Ilmu Hakikat, Ajaran Islam Jamaah, Ajaran Qadiani Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan Ajaran Aurad Ismailiah.
Golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan beberapa taktik sebagai umpan untuk mendapatkan pengaruh daripada kalangan masyarakat. Di antaranya adalah janji dan jaminan yang boleh merangsang seseorang itu terpengaruh untuk mendapat manfaat duniawi dan ukhrawi.
Sementara itu, cara pergerakan ajaran sesat adalah dengan mendekati mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti jahil, mudah terpengaruh dengan kawan, ghairah dengan kerohanian, tertipu, ingin berubat penyakit, kesilapan memahami asas-asas akidah dan disebabkan faktor kekayaan dan mencari pengaruh.
Selain itu, antara faktor penyebab penyelewengan akidah umat Islam di negara ini adalah kerana tersebarnya buku berunsur ajaran sesat atau melalui koleksi khas para guru ajaran sesat berkenaan serta individu yang cuba menonjolkan diri sebagai orang yang arif dalam ilmu-ilmu pengubatan dan agama yang semata-mata bertujuan memperolehi kepentingan diri atau lain-lain kepentingan.
Ada pelbagai ciri amalan yang dilakukan oleh kumpulan ajaran sesat ini di Malaysia dan dikenalpasti oleh pihak berkuasa agama. Antaranya, mempercayai orang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, bersumpah tidak akan menceritakan ajaran yang diikutinya kepada orang lain, mengaku dirinya atau gurunya sebagai nabi, mengaku dirinya memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah SAW seperti pedang dan sebagainya, mempercayai semua ajaran adalah sama, semua menuju ke syurga, mengakui diri sebagai wali atau mempunyai keramat, mempercayai gurunya boleh memberi syafaat di akhirat, mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana bersuluk dan lain-lain.
Dalam usaha mengatasi masalah itu, pihak berkuasa agama Islam negeri dan Jakim bekerjasama erat melalui pelbagai program yang bertujuan mengembalikan mereka kepada akidah seperti proses pemulihan akidah, program-program penjelasan akidah dan penerbitan bahan penerbitan.
Selain itu, kerajaan mempunyai strategi dan platform khusus untuk mengenalpasti dan membanteras ajaran sesat ini antaranya melalui Jawatankuasa Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS), proses pewartaan fatwa yang bermula dari penerimaan aduan, kajian, pembentangan melalui Panel Kajian Akidah (PKA) seterusnya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Jakim juga sentiasa memaklumkan perkembangan melalui Majlis Raja-raja dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jakim turut mewujudkan strategi Rancangan 5 Tahun Membanteras Ajaran Sesat yang dibentuk pada setiap lima tahun bagi membendung perkara ini hingga ke akar umbi.
Secara keseluruhan, saya mendapati dengan wujudnya undang-undang yang disertakan penguatkuasaan diyakini dapat membendung gejala ini. Walaupun pelbagai perancangan dilakukan oleh pihak kerajaan, namun ia tidak akan memberi kesan tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran dari masyarakat bagi mengatasi gejala tersebut dari terus berleluasa.
No comments:
Post a Comment