Thursday, 19 July 2012

Kerjasama strategik KL-Washington

BUKAN menjadi satu rahsia lagi keprihatinan Amerika Syarikat (AS) terhadap rantau Asia Pasifik sejak kebelakangan ini merupakan percaturan strategik Washington untuk memastikan pengaruh Beijing berada pada tahap yang boleh dikawal.
Kemuncaknya pelaksanaan strategi baru ini bermula dengan pengumuman dasar pangsi Pasifik oleh Presiden AS, Barack Obama pada tahun lepas dan diperkemaskan pula oleh Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta yang menegaskan strategi pangsi tersebut merupakan pengimbangan kekuatan tentera AS di antara Atlantik dan Pasifik. Panetta memperkenalkan ungkapan terbaru tersebut ketika menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura pada bulan lepas.
Anjakan daripada ungkapan pangsi kepada pengimbangan terpaksa dilakukan untuk mengelak tanggapan bahawa strategi terbaru ini hanya melibatkan faktor ketenteraan yang dianggap begitu sensitif terutama sekali di rantau sebelah ini.
Umpamanya rancangan penempatan tentera Marin AS di pangkalan tentera Darwin Australia dan empat kapal gempur pesisir (LCS) AS di Pangkalan Tentera Laut Changi Singapura yang merupakan sebahagian pelaksanaan strategi tersebut telah memberi gambaran dan kesan yang agak negatif.
Tetapi perlu diperjelaskan bahawa sikap prihatin AS tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan sahaja tetapi juga merangkumi sektor lain seperti ekonomi, kebudayaan, politik, pendidikan dan keselamatan yang sebenarnya banyak memberi manfaat kepada negara yang terlibat.
Satu perkara yang begitu menarik mengenai sikap terbaru AS ini adalah perhatian istimewa yang diberikan oleh Jabatan Negara AS terutama sekali oleh Setiausaha Negara, Hillary Clinton terhadap Asean. Jabatan Negara merupakan nadi utama untuk setiap pelaksanaan dasar luar AS.
Memang benar Hillary dianggap sebagai Setiausaha Negara yang paling kerap membuat perjalanan kerana sejak menjawat jawatan tersebut pada 2009 beliau telah berada di luar AS selama 351 hari dengan melawat 102 negara asing dengan merentas perjalanan sejauh 2,967,371 kilometer.
Tetapi Asean merupakan sesuatu yang istimewa kepada Jabatan Negara AS kerana secara rasminya beliau telah menghadiri empat mesyuarat Asean-AS peringkat menteri dan kali terakhir di Phnom Penh pada 11 Julai lepas. Jumlah kehadiran paling banyak dalam sejarah Setiausaha Negara AS.
Paling menarik pada perjumpaan tersebut apabila Hillary menegaskan Asean merupakan tonggak kepada kestabilan dan keselamatan Asia Pasifik dan Washington mengambil berat terhadap semua keputusan yang dibuat oleh Asean. Harapan Washington terhadap Asean diperkuatkan lagi dengan bilangan delegasi terbesar yang dibawa bersama oleh Setiausaha Negara ke mesyuarat Asean.
Hillary juga mengumumkan satu rancangan yang dinamakan Inisiatif Penglibatan Strategik Asia Pasifik (APSEI) khusus untuk membantu Asean dalam beberapa sektor pembangunan. Walaupun APSEI dianggap satu rancangan yang penting tetapi pengumumannya tidak mendapat perhatian yang besar kerana ia tidak melibatkan operasi ketenteraan secara khusus.
Antara lain APSEI memberi perhatian terhadap isu kerjasama keselamatan, integrasi ekonomi dan perdagangan, perkembangan demokrasi dan juga ancaman merentas sempadan. Walaupun fokus terhadap kerjasama keselamatan diberi perhatian istimewa terutama sekali kerana wujudnya masalah pertindihan sempadan maritim di Laut China Selatan, kerjasama mengenai ancaman merentas sempadan juga dianggap agak signifikan.
APSEI dalam menangani masalah ancaman merentas sempadan memberi perhatian untuk memudahkan pertukaran maklumat antara negara terlibat yang pada ketika ini dianggap agak rumit dan mengambil masa yang lama.
Mengambil apa yang tersurat dalam APSEI, Kuala Lumpur dan Washington telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) khusus untuk mempertingkatkan kerjasama memerangi jenayah merentas sempadan. MoU tersebut memperincikan bentuk kerjasama di antara agensi berkaitan seperti Bank Negara, Imigresen dan Polis dari Malaysia serta Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dari AS.
MoU yang dimeterai ketika lawatan Peguam Negara AS, Eric Holder ke Malaysia beberapa hari lepas merupakan satu langkah signifikan kerana ia merangkumi beberapa aspek ancaman seperti pengganas, pengubahan wang haram, jenayah rasuah, pemerdagangan dan penyeludupan manusia serta jenayah siber. Bukan setakat MoU mengenai ancaman merentas sempadan dipersetujui, malah KL-Washington juga akan bekerjasama dalam mengekang percambahan senjata pemusnah besaran (WMD) serta perdagangan bahan strategik.
Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk mengekang percambahan WMD kerana mempunyai Akta Perdagangan Strategik 2010. Bukan mudah menangani isu WMD kerana teknologi WMD lazimnya berhadapan dengan isu dwi-penggunaan, iaitu teknologi tersebut boleh digunakan sama ada untuk membangunkan WMD atau tujuan komersial.
Terdapat beberapa kes yang melibatkan Malaysia secara tidak langsung dalam pembabitan pengedaran peralatan strategik. Pada tahun 2007 umpamanya, seorang rakyat Pakistan-Amerika iaitu Jilani Humayun didapati bersalah melanggar Akta Pengawalan Eksport Senjata AS.
Pembabitan Malaysia adalah kerana Humayun telah mempergunakan syarikat yang didaftarkan di Malaysia untuk mengeksport alat ganti jet pejuang Northrop F5 dan Tomcat F14 dan helicopter Chinook CH47 ke Iran. Juga pada 2004 Malaysia telah disabitkan sebagai negara transit rangkaian nuklear haram adalah manifestasi bagaimana rumitnya menangani isu ancaman merentas sempadan dan WMD.
Mungkin ada yang menilai secara serong kerjasama terbaru di antara Kuala Lumpur dan Washington sebagai mengikut telunjuk AS. Tetapi apabila berdepan dengan masalah ancaman merentas sempadan yang boleh menggugat keselamatan negara, Malaysia tidak boleh bersendirian dan perlu bekerjasama dengan negara lain. Bukan sahaja dengan AS kerjasama telah dijalin, tetapi pada tahun lepas perjanjian yang serupa telah dimeterai dengan United Kingdom dan Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment