Penulis sejarah perubatan
IBNU Abi Ushaybi'ah adalah seorang ahli kedoktoran atau perubatan Muslim Arab dan merupakan orang yang pertama menulis mengenai sejarah kedoktoran atau perubatan Arab.Nama lengkapnya Muwaffakuddin Abu al-Abbas Ahmad bin al-Kassim bin Khalifah bin Yunus al-Khazraj. Beliau berasal daripada sebuah keluarga doktor. Ayahnya sendiri adalah doktor mata dan lahir di Damsyik pada 590 Hijrah.
Pada mulanya beliau belajar di bawah bimbingan beberapa orang guru pada waktu itu, terutama Ibnu al-Baythar, yang mengajarnya mengenai ilmu botani.
Manakala bidang kedoktoran atau perubatan dipelajarinya daripada ayahnya (meninggal pada 649 Hijrah / 1251 Masihi) dan ar-Rahbi (meninggal 631 Hijrah / 1233 Masihi). Ilmu yang diperoleh itu kemudian dipraktikkan di Hospital Nuri Damsyiks dan Hospital Nasiri di Mesir.
Kemudian pada 634 Hijrah / 1236 Masihi, beliau bekerja di bawah pemerintahan Izzuddin Ayhak al-Mu'azzami di Sarkhad. Versi lain menyebutkan bahawa pada 1236 Masihi, beliau diutus oleh doktor Saladin ke Mesir dan dilantik mengetuai sebuah hospital di Nasiri.
Setahun kemudian beliau menarik diri daripada jawatan tersebut dan memenuhi panggilan untuk bertugas di bawah pemerintahan Kesultanan Damsyik di Salkhad. Di sanalah beliau meninggal dunia pada 668 Hijrah / 1270 Masihi.
Karya agung
Karangan-karangan beliau di dalam bidang kedoktoran banyak ditulis dan kini sebahagian besar telah dinyatakan hilang. Namun, secara sepintas disebutkan dalam bukunya, Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba dan dalam tulisan beberapa buku geografi.
Antara lain yang dapat disebutkan adalah:
1. Isal -at al-Munajjimin
2. At-Tajaril-wa al-Fawil'id
3. Hikayat al-Atibua' Fi ilajatal-Adwa
4. Ma'alim al-Umam
Selain karya-karya tersebut di atas, beliau juga banyak menulis syair. Bagaimanapun, karyanya yang paling masyhur ialah Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba (Lives of the Phycians). Karya ini menghimpunkan tulisannya yang berjumlah lebih kurang 380 biografi ahli ilmu kedoktoran yang tidak terkira nilainya kepada sejarah sains Arab.
Karangannya ini, sekali gus menunjukkan betapa Ibnu Ahli Ushaybi'ah rajin menyalin secara harfiah dan meringkaskannya. Kemudian diperjelaskan dan diperkuat dengan bahan-bahan tambahan yang ada.
Biografi itu disusun mengikut negara / wilayah dan mengikut generasi serta dengan susunan berukuran kecil (berbentuk naskhah kecil dan disempurnakan pada 540 Hijrah / 1242 Masihi. Ia juga ditambah dengan bahan-bahan baru yang diambil daripada karya Ibnu al-Qifti, Tarikh al-Hukama. Semua ini dikumpulkan menjadi satu dalam sebuah jilid besar pada 667 Hijrah / 1268 Masihi.
Gaya sastera daripada Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba yang mengandungi beberapa rencana gaya popular dikaji oleh A. Muller, seorang penulis yang juga menyiapkan teks edisi yang didasarkan pada kedua-dua bentuk susunan tersebut di atas. Ia kemudian dicetak di Mesir pada 1299 Hijrah / 1882 Masihi.
Di samping itu, Najamuddin bin Fahd pula pernah menyusun buku mini secara alfabet. Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba merupakan karya yang diterbitkan kemudian dalam beberapa edisi komersial dan dicetak ulang oleh Dar al-Fikr, Beirut, pada 1955-1956.
Beberapa orientalis beranggapan buku ini diakui sebagai buku teks yang penting sejak pertengahan abad ke-19 Masihi. Sebuah terjemahan Perancis buku ini diterbitkan oleh Sanguinetti (1854-1856 M), manakala terjemahan bahasa Jerman diusahakan oleh Hamed Waly.
Pada 1958, M do Algiers, H. Jahier dan Abdel Kader Noureddin bersama-sama menyusun, menyunting dan menterjemahkan dan menambah bab anotasi tentang para ahli kedoktoran Barat Muslim.
No comments:
Post a Comment