Tuesday, 10 July 2012

Debat 2.0 DAP dan MCA: Soi Lek menang lagi!

PETANG Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bersemuka sekali lagi dalam 'Debat 2.0 DAP dan MCA: Dasar siapa memberi lebih manfaat kepada negara?'
Debat yang dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Michael Yeoh dipilih sebagai moderator, sementara ahli-ahli panel terdiri daripada Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung; Pensyarah Universiti Monash, Prof. James Chin dan Editor Roketkini, Wan Hamidi Hamid.
Jika perdebatan kali pertama pada 18 Februari 2012 menggunakan bahasa Mandarin, tapi yang kedua ini menggunakan perantaraan bahasa Inggeris kerana Soi Lek dan Guan Eng berlatar belakang pendidikan bahasa Inggeris.
Jika dilihat dari segi tajuk debat itu, ia seolah-olah memihak kepada Soi Lek. Namun Guan Eng juga ada peluang baik untuk memberikan hujah-hujah terhadap keseluruhan tajuk perbahasan itu. Sebagai orang politik, Guan Eng asyik ulang-ulang kembali isu yang sama.
Akhirnya keseluruhan perbahasan menjadi perkara biasa dengan perdebatan dan pertengkaran antara parti sama ada yang berada di pentas dan di bawah pentas.
Debat sebenarnya berbeza dengan ceramah politik. Penonton dan orang ramai ingin mendengar hujah-hujah bersama pandangan yang berdasarkan fakta. Idea siapa yang menarik dan siapa bijak mematah hujah lawan.
Kalau debat pertama dikatakan memihak kepada Presiden MCA, begitu juga daripada pengamatan beberapa pihak, keputusan masih memihak kepada Soi Lek.
Beliau memberikan hujah yang meyakinkan dan diselang-seli dengan fakta serta bukti sumbangan MCA dalam Barisan Nasional sejak merdeka lagi. Ini berbeza dengan pendekatan DAP yang lebih banyak merosakkan hubungan antara kaum. Ini dibuktikan daripada dasar-dasar DAP bersama pakatan pembangkang di negeri yang dikuasai mereka yang jelas membelakangkan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara. Perlu diingat bahawa asas penting ekonomi adalah faktor fundamental dan inilah yang ditekankan Soi Lek.
Cuba bandingkan beberapa isu utama yang dibangkitkan oleh Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang. Antaranya beliau mengatakan satu perbahasan patut diadakan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Malangnya Perdana Menteri enggan berbahas dengan Anwar. Adakah Najib enggan berbahas dengan Anwar kerana beliau bimbang selepas perbahasan, rakyat akan membuat penilaian bahawa Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri Malaysia?"
Jawapan Soi Lek mudah bahawa ia tidak akan berlaku sebab Najib sendiri adalah Perdana Menteri. Beliau sibuk dengan polisi transformasinya untuk memperbaiki negara.
"Tidak timbul janji-janji kosong seperti dilakukan pakatan pembangkang. Janji-janji ditunaikan. Dalam tiga tahun ini, rakyat mendapat apa yang dijanjikan di bawah kepimpinan Najib.
"Anwar penuh dengan retorik, tiada pengkhususan dan kurang penyampaiannya. Dia cuba meyakinkan kita supaya menterjemahkan retoriknya kepada penyampaian," jawab Soi Lek terhadap soalan Guan Eng.
Ayam tambatan DAP itu juga memperlekeh MCA tidak layak untuk bercakap soal dasar kerana bukan MCA yang menentukan dasar, tetapi UMNO.
"MCA hanya mengaku bercakap bagi kaum Cina. Ia berbeza dengan DAP. DAP bersuara untuk semua orang Malaysia: Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, kerana kita semua rakyat Malaysia, bukan macam MCA, yang kononnya mahu mewakili orang Cina sahaja.
"Mengapakah mesti kita terus dipecahbelahkan mengikut kaum dan agama? Inilah kejayaan terbesar UMNO. Mereka mahu kita takut satu sama lain supaya BN boleh terus merompak harta dan kekayaan Malaysia," kata Guan Eng bernada sinis.
Tetapi Soi Lek tampil dengan hujah MCA sudah terlibat membina negara sejak hari pertama lagi. "Kami yang terlibat menentang komunis semasa darurat, menempatkan semula kaum Cina di kampung-kampung baharu, berjuang menuntut kemerdekaan dan mendapatkan hak kerakyatan. Sebab itu rakyat seperti Guan Eng adalah rakyat negara ini...Tidak ada peranan yang dimainkan DAP."
Secara keseluruhan, perdebatan kali kedua ini cuba diguna oleh Guan Eng untuk mencanangkan agenda pakatan seperti terkandung di dalam Buku Jingga.
Kini, pihak media dan laman twitter ataupun di kedai-kedai kopi sedang membincangkan isu ini. Masing-masing sedang menganalisis dengan pelbagai kritikan dan sokongan diluahkan.
Perdebatan kali ini memang boleh dilihat siapa yang menang.

No comments:

Post a Comment