Anehnya Nik Aziz, kita ini Islam bukannya Melayu
ADALAH suatu hal yang pelik apabila Nik Abdul Aziz Nik Mat membangkitkan isu Islam dan Melayu semata-mata ingin menyatakan bahawa perjuangan Pas adalah Islam dan perjuangan UMNO adalah Melayu. Lalu memperjuangkan nasionalisme Melayu itu dianggap asabiyah.Nik Aziz masih tak faham bahawa orang Melayu di Malaysia umumnya Islam. Analisis mudahnya kalau orang Pas adalah Islam maka orang UMNO yang memperjuangkan Melayu adalah 'kafir'. Sejak bila Pas dan Nik Aziz berpendirian begini.
Datuk Kamaruddin Jaafar dalam bukunya mengenai perjuangan Dr. Burhanuddin al Helmi seorang pemimpin Pas awal menggunakan slogan perjuangan bangsa, agama dan negara. Apakah perjuangan bangsa Melayu oleh Burhanuddin di anggap tidak selari dengan syariat? Apakah Abu Bakar Bakir, Ustaz Zulkifli Muhamad pejuang Pas yang gigih menggunakan slogan yang sama juga dianggap asabiyah?
Melayu dalam Perlembagaan negara ditakrif sebagai beragama Islam, berbahasa Melayu dan menggunakan adat istiadat Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam.
Melayu di Malaysia ialah Melayu yang Islam. Bahasa Melayu yang diperjuangkan ialah Bahasa Melayu yang terdapat di dalamnya ribuan istilah al-Quran. Apakah memartabatkan bahasa yang namanya Melayu adalah asabiyah atau bercanggah dengan Islam?
Prof. Syed Naquib al Attas dalam bukunya Islam dan Kebudayaan Melayu menyatakan dengan jelas mengenai proses pengislaman yang berlaku di kalangan orang Melayu dengan menyebutkan pengaruh Islam telah membawa perubahan kepada tasawur Melayu yang berasaskan akidah dan etika.
Rasulullah SAW amat sukakan kaum Quraish. Ibnu Khaldun membicara konsep asabiyah bukan dalam bentuk yang melakukan kezaliman. Dalam Surah al Hujurat ayat 13, menyatakan dengan jelas bahawa kejadian Melayu itu adalah kejadian Allah. Melayu yang melakukan kekenalan (litaarrafu) dengan Islam menyebabkan akidah tauhidnya terbina, ibadahnya terbangun, syariahnya menjadi batas sempadan dan akhlaknya menjadi sumber rujukan,
Pada idealnya kita ingin menjadikan orang Melayu Islam dalam erti kata yang syumul atau lengkap sempurna. Ia menuntut proses dakwah dan tarbiyah. Seperti teguhnya tekad Rasullullah SAW supaya seluruh kaum Quraish menjadi Islam. Namun bapa saudara Rasulullah, Abu Talib berbangsa Quraish tidak peluk Islam. Asbab atau sebab dakwah datang dari Rasulullah tetapi memberi hidayah adalah kerja Allah.
Mengapa Nik Aziz tak ikut jejak Pak Muhammad Natsir, Perdana Menteri Pertama Indonesia dan orang kuat Dewan Dakwah menyatakan dalam buku Fiqh ad Dakwahnya bahawa walaupun beliau ahli politik tetapi jalur dakwah, bersifat kasih sayang dan belas kasihan tetap menjadi pilihannya.
Nik Aziz selalu mengambil pendekatan simplistik. Ambil mudah tentang penggunaan istilah dan konsep. Gelar-gelar yang dikemukakan dan menggunakan istilah bukan dalam konteksnya menampakkan politik kebencian dan dendam kesumat yang menyebabkan perpecahan fikrah umat. Ramai yang taksub kepadanya menyebabkan kejumudan berlaku dan kekeliruan terjadi. Dan ia membawa perpecahan sesama umat.
Hari ini Pas mengajak UMNO bermuzakarah. Esoknya Pas membatalkan hasrat itu. Apakah Pas main-main dengan isu ini. Isu penyatuan adalah isu murni dan ia suatu tuntutan. Kalau dengan DAP parti bukan Islam, Pas mampu melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik. Buruk sangatkah UMNO yang didukung oleh orang Islam sehingga muzakarah tidak boleh berlaku.
HAMAS dan PLO di Palestin pernah berperang dan berbunuh kerana perbezaan fahaman. Pas dan UMNO tidak pernah berperang dan berbunuh. Dulu Pas kata berkawan dengan orang kafir hukumnya haram. Tetapi bagaimana hukum itu bertukar menjadi halal pula. Apakah syariat Islam mempunyai dua sumber yang saling bercanggah.
Nik Aziz kini menyebut undi Pas dapat pahala bermakna tidak mengundi Pas berdosa. Yang berdosa itu siapa? Orang yang mengundi UMNOlah. Ini fatwa siapa.
Dulu Nik Aziz bertahan dengan undi Pas masuk syurga. Bermakna tidak undi Pas masuk neraka. Syariat dan fatwa mana yang Nik Aziz ambil dan kemudian berubah-ubah pula.
Kalau undi Pas masuk syurga dan berpahala, mengundi DAP dalam konteks pakatan apa hukumnya. Mengundi orang yang mengundi parti yang memperjuangkan liberalisme dan dan pluralisme yang menyamakan Tuhan itu apa hukumnya.
Politik Pas masih lagi mengambil pendekatan politik 1950-an dan 1960-an. Orang sudah berilmu dan pandai berfikir dan membezakan sesuatu yang bersifat retorik dan emosi yang berdegar-degar. Politik umumiyat sudah berlalu. Politik Islam menuntut ilmu yang jelas dan program kerja yang terarah.
Oleh itu usaha memberi pilihan Melayu dan Islam adalah usaha untuk mengelirukan. Ramai warga pencen dan orang muda yang ghairah dengan Islam terjebak dengan kenyataan Nik Aziz ini seolah-olah memasuki Pas langsailah dosa-dosa yang lalu dan terbinalah kelab-kelab taubat di kalangan para artis dan juga bekas pentadbir yang menyangka tidak perlu menjadi Melayu lagi dan jadi Islam segala-galanya tanggung beres.
Ia adalah jalan pintas untuk mendapat barakah Allah. Ia tidak salah pada Islam tetapi salah menjadikan politik kepartian lebih tinggi daripada martabat Islam itu sendiri.
No comments:
Post a Comment