Tuesday, 10 July 2012

Parti politik itu bukan agama wahyu

ISMAIL IBRAHIM

POLITIK kepartian yang membawa kepada perpecahan umat Islam, kini seolah-olah menjadi satu pendekatan yang lebih diutamakan berbanding penyebaran dakwah. Ia mengakibatkan wujudnya perpecahan antara umat Islam di negara ini. Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM), bekas pensyarah dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM berkata, perkara itu terjadi kerana pemimpin parti politik terbabit silap faham mengenai pengertian agama dan dipengaruhi oleh emosi dan sentimen kepartian yang melampau. Ikutilah wawancara UTUSAN MALAYSIA dengan beliau baru-baru ini.

UTUSAN: Datuk mempunyai pengalaman yang lama sebagai pensyarah dalam Pengajian Islam, seorang diplomat dan juga penulis. Bagaimana pandangan Datuk mengenai isu politik dan dakwah?
ISMAIL: Politik pada umumnya adalah mekanisme kerajaan atau sebuah entiti politik, seperti sebuah parti politik, dalam mengurus dan mengawal hal ehwal serta dasar dalaman dan luarannya dalam semua agenda perjuangannya, termasuk agenda agama. Tetapi apabila disebut sikap atau pendekatan politik, maka hal ini lebih menyentuh pendirian atau sikap individu, atau dasar parti politik tertentu dalam perjuangan dan kaedah masing-masing ketika berdepan dengan sesuatu isu yang ditanganinya.
Dakwah pula adalah pendekatan dalam menyebarkan ajaran serta kebaikan agama kepada masyarakat umum. Jadi dalam konteks ini kerajaan dan organisasi politik seharusnya dapat menggunakan jentera masing-masing dengan bijaksana untuk menyebarkan ajaran agama kepada umum berdasarkan ajaran al-Quran yang menuntut umatnya menyeru kepada agama Allah dengan bijaksana.
Mengapa hari ini pendekatan politik kepartian dilihat lebih penting daripada dakwah sehingga mereka ghairah untuk berkuasa dan perpecahan umat berlaku?

Seperti yang saya jelaskan bahawa dakwah ialah seruan kepada ajaran agama, yang merangkumi persoalan akidah, syariah, akhlak dan semua sistem hidup manusia di dunia dan akhirat yang terangkum dalam istilah “Al-Din". Pendekatan politik kepartian menjadi lebih penting daripada dakwah yang sebenarnya pada umumnya adalah berpunca daripada dua perkara.
* Satu: Kesilapan fahaman mengenai pengertian agama atau “al-din" itu sendiri.
* Kedua: Kerana parti atau para pemimpin parti itu lebih dipengaruhi oleh emosi dan sentimen sempit kepartian dalam mentafsir atau menjelaskan gagasan agama dan agendanya kepada umum, semata-mata untuk mencarikan keuntungan politik dan menentang lawan politiknya secara melulu.
Apabila perkara ini berlaku maka umat Islam akan berpecah-belah, kerana satu tafsiran yang jelas dalam takrifan dakwah, seperti istilah sekularisme, kebangsaan dan sebagainya disalah tafsirkan oleh parti politik tertentu untuk menjatuhkan parti lawannya. Contohnya pengertian yang jelas tentang istilah tertentu dalam konteks agama Islam dikelirukan, dan umat juga akan menjadi terkeliru, lalu akan menyokong pandangan ketua partinya yang taksub.
Pak Muhammad Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia yang pertama menyatakan dalam bukunya Fiqh ad Dakwahnya bahawa walaupun beliau seorang ahli politik tetapi jalur dakwah sentiasa menjadi jalan perjuangannya. Apa komen Datuk mengenai kenyataan ini?
Ahli politik seharusnya mempunyai prinsip dan ilmu seperti yang disarankan Pak Natsir ini. Islam itu satu sahaja, prinsip dan dasar umumnya tidak berbeza pada setiap individu Islam, kecuali perkara-perkara cabang yang memerlukan ijtihad ulama, maka dalam hal ini umat Islam boleh berbeza pendapat secara yang penuh beradab. Tetapi dalam isu fundamentalnya, tidak seorang pun umat Islam yang seharusnya berbeza.
Oleh itu dalam menjalankan tugas dakwah dan penjelasan tentang Islam, maka ahli politik, terutamanya yang terdiri daripada para alim ulama, seharusnya sama saja pentafsiran dan pendekatannya dengan orang lain, termasuk lawan politiknya, dalam menghuraikan isu-isu agama itu. Maka hal inilah yang dilakukan oleh Pak Natsir itu, iaitu dalam fahaman politik dari segi falsafah dan kaedahnya mungkin ahli-ahli politik mempunyai cara yang berbeza. Namun apabila berhadapan dengan isu agama dan penjelasannya, maka ahli politik haruslah menjadi pendakwah yang sama, jujur dan ikhlas dalam niatnya, dan matlamat mendapat keredaan Allah, bukan hanya hendak mendapatkan sokongan undi semata-mata.
Di Malaysia ada organisasi politik cuba dihubungkan sebagai mewakili Islam sedangkan pendekatan yang diambil meletakkan politik lebih utama daripada dakwah hingga menyebabkan perpecahan berlaku sesama umat. Apakah cara itu sesuatu yang terbaik ke arah kesatuan umat?
Saya suka mengingatkan umat Islam bahawa “nama" Islam atau tidaknya janganlah seharusnya dijadikan ukuran tentang perjuangan dan agenda kerja sesebuah organisasi itu tanpa melihat kepada keseluruhan sistem dan gerak kerja organisasi itu dalam melaksanakan segala ajaran Islam yang terangkum dalam al-din atau sistem hidup Islam secara menyeluruh.
Sebab Islam itu merangkumi segala peraturan dan undang-undang dunia dan akhirat, ibadat dan muamalat, ilmu dan hikmah, termasuk politik mentadbir negara dan rakyat. Nama Islam mungkin digunakan organisasi tertentu dengan hanya menjalankan sebahagian saja daripada peraturan lengkap Islam, seperti ibadat dan fardu ‘ain , sedangkan agenda global lainnya tidak ditangani sama sekali, atau tidak langsung memahami persoalan-persoalan dunia moden yang semuanya itu memberi kesan kepada pelaksanaan Islam dalam urusan ekonomi, pendidikan, sosial, alam sekitar, kebajikan rakyat, perhubungan etnik dan sebagainya, yang pada sesetengah umat Islam tidak dilihat sebagai agenda Islam, sedangkan hal-hal itu mempunyai hubungan dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Hal inilah sebenarnya yang sukar difahami oleh kebanyakan negara Islam di dunia ini, maka dengan itu urusan dunia sering dipisahkan daripada urusan agama, dan urusan agama dilihat sebagai sesuatu yang tiada kaitan dengan agama, tegasnya nama Islam hanya menjadi simbol dan lambang . Hal inilah yang sering disebutkan oleh para diplomat Islam dan bukan Islam semasa saya berada di Arab Saudi yang tanpa bertujuan mengambil hati, memberi penghormatan kepada negara kita dalam agenda pelaksanaan Islam dalam semua aspek kehidupan rakyat.
Bila politik kerusi dan kuasa dijadikan matlamat, dakwah murni terkubur. Apakah ini jalan yang disuruh oleh syarak?
Manusia sering merasa tidak puas untuk mencari keseronokan dunia, terutamanya kuasa dan wang. Untuk mendapatkan nikmat ini terdapat orang yang menghalalkan cara bagi mencapai matlamatnya. Ketua-ketua parti politik seharusnya menentukan apakah yang baik dan buruk, yang murni dan kotor untuk diperjuangkan dan meminta orang ramai memahami dan memperjuangkannya. Tugasnya bukan hanya untuk mendapatkan kuasa sehingga mengatakan sesuatu yang putih itu sebagai hitam semata-mata kerana melihat parti lawannya mengatakan benda itu putih. Hal ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai moral dan akhlak serta syariah Islam.
Dalam politik Malaysia terdapat kecenderungan mengkafir orang lain. Dulu pendekatan yang diambil mengundi parti tertentu masuk syurga dan sekarang pula berubah mengundi parti tertentu dapat pahala. Apakah cara begini menepati syariat Islam dan dakwah Islamiah?
Dosa pahala, syurga neraka itu bukanlah mengikut ketentuan manusia, hal itu adalah urusan Allah SWT. Manusia hanya menyeru dan menjelaskan tentang makruf, dan menjelaskan pula perkara mungkar yang seharusnya dijauhi oleh umat Islam. Yang perlu adalah keikhlasan dan keilmuan kita dalam menilai apakah yang benar dan salah dalam agama, maka serulah umat seluruhnya kepada yang hak dan tinggalkan yang mungkar.
Niat dan perlakuan kita hendaklah mengikut ajaran agama. Soal mengundi parti masuk syurga atau pergi ke neraka, mendapat pahala atau dosa seharusnya dielakkan, kerana parti politik itu bukanlah agama yang diwahyukan oleh Allah SWT. Parti politik hanyalah organisasi buatan manusia, dan sebagai organisasi ciptaan manusia tentulah terdapat cacat celanya, bukan seperti agama Allah yang tiada cacat celanya. Malah agama Allah diturunkan melalui wahyu kepada Rasul yang maksum.
Oleh itu ketua parti politik juga bukanlah mempunyai kedudukan yang sama dengan Nabi dan Rasul, sehingga boleh memberi hukum kepada umat Islam untuk mengundi partinya bagi mendapatkan syurga atau pahala. Tidak ada seorang individu yang dapat menghukum seseorang itu masuk syurga atau neraka, kecuali Allah.
Terdapat kecenderungan sesetengah pihak meletakkan politik lebih tinggi daripada Islam itu sendiri. Apakah ia sesuatu yang sihat dalam perkembangan Islam?
Islam mempunyai kedudukannya yang istimewa sebagai agama kepada umat Islam seluruhnya di mana saja mereka berada. Politik di peringkat pemerintah dan kumpulan, atau parti politik, seharusnya dapat digemblengkan sebaik-baiknya untuk memperkasakan dakwah, bukan menggunakan agama untuk mengaburi mata orang ramai bagi memartabatkan perjuangan politik sempit partinya.
Di negara kita, nampaknya Islam dan dakwah dicelarukan oleh perjuangan sempit politik kepartian dan kehadiran pengikut parti politik yang taksub dan fanatik kepada kefahaman politik kepartian.

No comments:

Post a Comment