Tuesday 3 July 2012

Misteri Pelupusan Hutang Talam Corporation Berhad


KUALA LUMPUR: Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong hari ini mencabar kerajaan negeri Selangor mendedahkan mengenai pembelian aset berjumlah RM676 juta dan penggunaan peruntukan sebanyak RM392 juta berkaitan Talam Corporation Berhad (Talam) yang mencurigakan.
“Baru-baru ini saya telah menerima maklumat yang amat mengejutkan mengenai langkah mengutip semula hutang yang melibatkan kerajaan negeri Selangor.
“Bagi kerajaan Selangor, sebuah syarikat senaraian awam, Talam telah berhutang sejumlah RM392 juta kepada anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor. Pecahannya adalah seperti berikut, Unisel dan PNSB sebanyak RM277 juta, SAP Holding yang merupakan anak syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) sebanyak RM115 juta.
“Bagi melancarkan pengutipan semula hutang dari Talam, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM392 juta melalui bajet tambahan yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 2009.
“Kerajaan negeri Selangor mendakwa bahawa Talam telah menjelaskan kesemua hutangnya dan kerajaan negeri telah berjaya mengutip semula hutang bagi pihak ketiga-tiga anak syarikat kerajaan negeri tersebut,” kata Chua di dalam sidang media di ibu pejabat MCA hari ini.
Walau bagaimanapun kata Chua, berdasarkan laporan tahunan terkini KHSB, ia telah menunjukkan bahawa kerajaan negeri Selangor masih berhutang sebanyak RM115 juta.
Ini menurut Chua, menunjukkan bahawa tiada sebarang bayaran diterima oleh anak syarikat kerajaan negeri ini.
“Sebagai tambahan, Unisel juga tidak menerima sebarang wang. Jika Unisel sudah terima wang hasil daripada langkah pengutipan semula hutang dari Talam, maka Unisel tidak perlu menjual aset untuk mendapatkan RM30 juta bagi kegunaannya,” kata Chua yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tambah beliau, laporan tahunan syarikat Talam menunjukkan pada 12 Mac 2010 dan 9 April 2010, kerajaan negeri Selangor telah membeli aset-asetnya yang bernilai RM676 juta.
Katanya lagi, sebelum menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Selangor, syarikat Talam masih diletak di bawah PN17 dengan tanggungan hutang yang banyak.
“Bila sesebuah syarikat diletak di bawah PN17, bermakna kedudukan kewangan syarikat kurang baik dan ia boleh dinyah senarai yang mana ini akan menjejaskan pemegang sahamnya. Selepas perjanjian ditandatangani dengan kerajaan Selangor, Talam telah berjaya keluar dari status PN 17.
“Daripada mahu mengutip semula hutang sebanyak RM392 juta, kerajaan Selangor telah membeli aset tambahan bernilai RM284 bagi membantu TALAM,” dakwa Chua.
Menurutnya lagi, tindakan tersebut jelas merupakan satu tindakan untuk menyelamatkan syarikat TALAM di mana kerajaan negeri Selangor menggunakan wang rakyat untuk membantu sebuah syarikat senaraian awam dengan membeli aset-asetnya.
Tambahan pula kata Chua, kerajaan negeri Selangor telah melaporkan di dalam ‘Selangor Time’ bahawa mereka mempunyai RM300 juta yang merupakan hasil daripada transaksi dengan Talam bagi menjalankan program untuk rakyat di mana menurut Chua adalah satu penipuan.
“Saya juga difahamkan bahawa asset-aset yang kerajaan negeri Selangor peroleh tidak dijual kepada pihak luar dan transaksi yang berlaku adalah secara dalaman di antara kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri.
“Tiada juga sebarang projek pembangunan dilaksanakan di atas tanah yang diperoleh itu.
Kesimpulannya kata Chua, anak syarikat kerajaan negeri Selangor (Unisel, PNSB, dan SAP Holdings) tidak menerima sebarang wang dari langkah pengutipan semula hutang bernilai RM392 juta dari Talam.
Sebaliknya, kerajaan negeri Selangor telah membeli asset bernilai RM676 juta untuk menyelamatkan Talam.
“Pada 11 Julai 2010, kerajaan negeri Selangor telah berjanji untuk membentangkan kertas putih mengenai langkah pengutipan semula hutang dari Talam ini. Mereka juga menyebut bahawa kertas putih ini akan dibentangkan pada hujung tahun. Tapi hingga hari ini kita masih menunggu kertas putih itu.
“Adakah terdapat unsur-unsur udang di sebalik batu dalam isu ini hingga menyebabkan pembentangan kertas putih ditangguh sekian lama?” soal Chua.
“Dengan ini saya mencabar kerajaan negeri Selangor mendedahkan kesemua aset yang dibeli, cara penilaian atau asas-asas yang digunakan untuk melakukan pembelian.
“Kerajaan negeri mesti menerangkan kepada rakyat mengenai pembelian aset berjumlah RM676 juta dan penggunaan peruntukan sebanyak RM392 juta yang menjadikan transaksi bernilai RM1 billion ini penuh dengan tanda Tanya dan menimbulkan kecurigaan,” tegas beliau – Antarapos

No comments:

Post a Comment