Thursday, 19 July 2012

Kerana berpolitik, rakyat jadi mangsa

KRISIS bekalan air bersih yang melanda kawasan Lembah Klang dilihat seolah-olah tiada penghujungnya apabila kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sehingga kini terus berdegil enggan membenarkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi mengatasi masalah tersebut.
Sebagai sebuah kerajaan negeri, kedegilan itu tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan pembangunan di Selangor kerana apa yang jelas, pembinaan Langat 2 yang bernilai RM8.65 bilion itu bukanlah satu pembaziran, sebaliknya ia merupakan jaminan kepada kelangsungan bekalan air bersih di negeri ini dan seluruh kawasan lain di Lembah Klang.
Ini kerana, berdasarkan maklumat serta spesifikasi Langat 2 yang sepatutnya siap pada pertengahan 2014, loji itu berupaya memenuhi keperluan bekalan air bersih bagi pengguna dan industri di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sehingga tahun 2025. Malah, pembinaannya cukup signifikan dengan bilangan penduduk serta pembangunan Lembah Klang yang bakal berkembang pesat dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan pada 2010, Selangor sahaja direkodkan mempunyai taburan penduduk paling tinggi di negara ini iaitu seramai 5.4 juta orang manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan bilangan penduduk seramai 1.6 juta dan 72,413 orang. Bagaimanapun, bilangan itu dijangka bertambah menjelang 2020.
Selain taburan penduduk, Selangor turut mencatatkan peratusan tertinggi dalam kadar tahap urbanisasi pada 2010 dengan kadar 91.4 peratus manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 100 peratus tahap urbanisasi dan mengatasi negeri-negeri lain.
Berdasarkan kepada taburan penduduk dan peratusan tahap urbanisasi itu, ia jelas menunjukkan pertumbuhan terhadap aktiviti ekonomi, kawasan setempat serta saiz populasi di tiga negeri berkenaan yang mana jika diteliti, ia sudah tentunya memberi kesan terhadap permintaan sektor perkhidmatan utiliti yang turut melibatkan penyaluran bekalan air bersih.
Namun, di sebalik perangkaan itu, ia bagaimanapun mencetuskan persoalan dari sudut bagaimana untuk memenuhi permintaan bekalan air bersih selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan kawasan Lembah Klang pada masa ini dan masa depan jika kerajaan negeri tetap enggan meluluskan perintah pembangunan bagi pembinaan projek Langat 2 itu.
Ini kerana, pembinaan Langat 2 merupakan satu projek Kerajaan Persekutuan yang dilihat sebagai alternatif untuk mengatasi krisis bekalan air bersih di Lembah Klang yang dijangka berlaku menjelang pertengahan 2014 kerana memandangkan kapasiti projek Langat 2 itu sendiri sekiranya siap, ia mampu merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk keperluan pengguna domestik termasuklah pihak industri.
Sebaliknya, kerajaan negeri hanya memberikan tumpuan kepada isu penstrukturan semula bekalan air negeri. Selain itu, kerajaan negeri turut menafikan berlakunya krisis bekalan air bersih itu dengan memberi alasan tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air mentah yang cukup.
Tidak cukup dengan itu, bagi menjustifikasikan alasan mereka tidak mahu Langat 2 dilaksanakan, kerajaan negeri menerusi Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan media pada 16 Julai lalu secara terbuka menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) selaku pemegang konsesi bekalan air di Lembah Klang itu kononnya tidak berkemampuan untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna.
Kenyataan Abdul Khalid itu dilihat berkait rapat dengan pengumuman Syabas pada 14 Julai lalu yang bercadang mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan catuan bekalan bagi mengatasi krisis kekurangan air bersih yang telah pun melanda kawasan Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sejak April lalu.
Ini kerana, cadangan catuan bekalan dikemukakan Syabas itu dibuat berikutan penurunan paras air yang mendadak sejak Jun lalu di beberapa kolam takungan sehingga ada di antaranya mencapai tahap negatif berbanding jumlah simpanan yang sepatutnya iaitu minimum 20 peratus.
Keadaan itu disahkan Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikal Syabas, V. Subramaniam, 17 Julai lalu yang bertegas bahawa krisis bekalan air bersih yang sedang melanda ketika ini disebabkan kurangnya bekalan air terawat untuk diagihkan berikutan keengganan kerajaan negeri mengeluarkan arahan pembangunan untuk projek pembinaan Langat 2 selain kegagalan pentadbiran Selangor mewartakan pelarasan tarif yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
Soalnya, mengapa kerajaan negeri enggan menerima hakikat bahawa krisis bekalan air bersih sebenarnya telah pun berlaku. Apa perlunya kerajaan negeri membuat penafian dengan menyalahkan pihak lain.
Kerajaan negeri harus faham, isu utama krisis bekalan air yang berlaku ketika ini adalah melibatkan air bersih atau terawat bukannya air mentah di tujuh empangan di negeri ini. Kalau kerajaan negeri begitu megah dengan mengatakan kapasiti air mentah di empangan masih banyak ketika ini pun, apa gunanya jika loji rawatan air sedia ada tidak mampu memproses air bersih mengikut keperluan pengguna dan industri yang semakin bertambah.
Ini kerana, berdasarkan statistik sehingga Mei lalu, sebanyak 34 buah loji rawatan air sedia ada di Selangor ketika ini hanya mampu menghasilkan kapasiti 4,371 juta liter sehari sumber air itu sedangkan keperluan puratanya adalah kira-kira 4,322 juta liter sehari.
Sungguhpun begitu, langkah kerajaan negeri dalam menangani isu krisis bekalan air bersih itu dilihat bukanlah usaha yang layak dipuji kerana kerana pada peringkat awal lagi kerajaan negeri seolah-olah menunjukkan sikap prejudis terhadap Syabas apabila syarikat itu mengemukakan fakta mengenai situasi bekalan air bersih di negeri ini. Soalnya, bagaimana krisis bekalan air bersih dapat diselesaikan sekiranya kerajaan negeri terus mengamalkan sikap sedemikian yang turut melibatkan Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya kerajaan negeri harus terbuka menerima teguran dan maklumat mengenai masalah bekalan air bersih yang melanda Lembah Klang ketika ini selain bersama-sama mencari penyelesaian untuk kepentingan rakyat dan pembangunan Selangor, bukannya mencari kesalahan atau menekan pihak lain dengan tuntutan-tuntutan tertentu.
Apakah kerajaan negeri mahu 'tunjuk kuasa' disebabkan perbezaan politik? Jika benar kerajaan negeri bersikap demikian, maka pentadbiran Selangor pada hari ini tidak bertanggungjawab kerana terus membiarkan rakyat menderita kerana terpaksa berhadapan dengan krisis bekalan air bersih yang berpanjangan.
Tiada gunanya kerajaan negeri bercakap soal integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran jika soal asas bekalan air bersih gagal ditangani sebaik-baiknya. Janganlah terlalu memikirkan keuntungan semata-mata kerana sebagai sebuah kerajaan negeri, rakyat harus didahulukan. Kerajaan negeri jangan jadikan rakyat sebagai mangsa kerana perbezaan politik hanya kerana mahu ke Putrajaya.

No comments:

Post a Comment