Sepatutnya isu keagamaan bebas daripada politik. Ia tidak harus dicampur aduk dan sama ada seseorang itu sesat mahupun tidak, ia harus diperiksa terlebih dulu”
Di Britain, bekas Menteri Luarnya, David Miliband dan adiknya, Ed Miliband sama-sama bergiat aktif dalam parti sama iaitu parti Buruh. Kedua-duanya pernah bersaing untuk menjadi pemimpin parti. Dalam pemilihan parti pada 29 September 2010, David tewas di tangan Ed sebagai pemimpin parti berkenaan.

Bagaimanapun bagi mengelakkan cubaan berterusan daripada dalang tertentu yang dengan sengaja cuba mencari perbezaan di antara mereka yang boleh menjejaskan parti, beliau menarik diri daripada Kabinet bayangan parti berkenaan.

Hakikatnya, dalam masyarakat setempat pun, ada yang menyokong parti memerintah dan ada menjadi penyokong setia parti pembangkang. Sudah tentu dalam kalangan mereka, ada yang begitu taksub dengan perjuangan parti masing-masing.

Ketaksuban adalah perkara biasa tetapi ketaksuban melampau berbahaya. Justeru, isu perceraian di antara suami dan isteri kerana perbezaan parti politik bukan perkara baru. Sejak 30 tahun lalu pun kita sudah mendengar angkara sebegini berlaku.
Ia berpunca daripada ketaksuban anggota parti politik tertentu sehingga sanggup mengambil tindakan drastik termasuk meruntuhkan rumah tangga.

Pada 1980-an pernah timbul isu sembahyang dua imam, kafir-mengkafir, memulau kenduri-kendara yang dianjurkan oleh ahli parti politik tertentu dan perpecahan dalam kalangan masyarakat sekampung, yang semuanya berpunca daripada fahaman politik.

Dalam perkembangan terbaru di Pasir Mas, Kelantan minggu lalu, Yahaya Ibrahim, 78 dikatakan menceraikan isterinya, Che Hasnah Che Ahmad, 61 dengan talak satu selepas menganggapnya sesat kerana tidak menyokong PAS.

Kita bukannya hendak mempertikaikan isu perceraian itu tetapi punca ia berlaku. Andainya benar laporan yang menyatakan bahawa perceraian itu berlaku berikutan pendirian politik isteri yang tidak selari dengan suaminya, maka ia adalah sesuatu yang serius dan seharusnya dielakkan.

Pensyarah Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Zaini Abu Bakar, berkata walaupun kita tidak mengetahui fakta sebenar kenapa berlaku perceraian di Pasir Mas itu, namun secara umum tidak dinafikan bahawa ketaksuban politik boleh menjadi antara puncanya.

Setiap orang sememangnya mempunyai ketaksuban tertentu dan ini boleh melampaui batasan dalam hal yang menyentuh kecenderungan kepartian.

“Sekiranya isu itu berkaitan hal keagamaan, tidak apa, tetapi masalahnya ialah apabila muncul kecenderungan kepartian. Ini pula membabitkan pasangan yang sudah lanjut usia,” ujarnya.

Sepatutnya isu keagamaan bebas daripada politik. Ia tidak harus dicampur aduk dan sama ada seseorang itu sesat mahupun tidak, ia harus diperiksa terlebih dulu.

Che Hasnah dilaporkan media sebagai berkata sejak berkahwin, suaminya pernah beberapa kali mengajaknya menyertai PAS namun dia tetap dengan pendiriannya untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Pada 11 Jun lalu, apabila beliau menghadiri ceramah politik bekas Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hasan Ali di Tanah Merah, suaminya tidak dapat menahan lagi kemarahannya, walaupun ketika baru berkahwin dulu, suaminya tidak kisah sokongannya terhadap mana-mana parti.

Yahaya pula berkata amalan isterinya bercanggah dengan ajaran Islam sehingga beliau memutuskan untuk menceraikannya. Tambahnya, beliau ingin merujuk semula tetapi isterinya kena mengikut kata suami dan melakukan semua ajaran Islam seperti yang diperintah Nabi.

“Ini tidak, orang lain pakai baju merah, dia pun pakai baju merah,” katanya.

Di sini jelas nampak kemarahan itu berpunca daripada tindakan Che Hasnah menghadiri ceramah Hasan dan mungkin juga mengingkari arahan suaminya supaya tidak ke ceramah berkenaan. Percanggahan berlaku apabila beliau menyatakan isterinya mengikut orang lain dengan memakai baju merah, lalu menimbulkan persoalan apakah baju merah yang dimaksudkannya itu ada kaitan dengan warna pakaian Wanita UMNO?

Kes ini seharusnya menjadi contoh dan sempadan kepada ahli parti politik, terutama yang mempunyai anggota keluarga daripada parti berlainan supaya tidak terlalu taksub dengan perjuangan masing-masing.