Tak dibantu salah, sudah dibantu pun kena juga...
TAK dibantu salah, dikata tidak prihatin. Bila sudah dibantu pun kena juga, dikata pula mahu ‘membeli jiwa’. Begitulah sikap sesetengah mahasiswa kita yang memang suka mempertikai dan memperlekeh apa juga langkah dan tindakan kerajaan yang mahu membantu mereka tanpa berfikir panjang.Semalam, kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang memberikan potongan harga daripada lima hingga 60 peratus pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan terpilih dilancarkan.
Tujuannya, meringankan beban lebih 1.5 juta penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara ini.
Kad diskaun yang dijangka dapat digunakan September depan itu, dicadangkan sendiri oleh golongan mahasiswa dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), enam bulan lalu yang melibatkan semua penuntut termasuk peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Turut menerima kemudahan itu ialah penuntut institut latihan perguruan (IPG), politeknik, Maktab Kerjasama Malaysia dan Institut Latihan Perindustrian.
Tetapi malangnya, setelah cadangan daripada golongan yang mewakili mereka itu dilaksanakan, banyak pula suara yang mengecam pemberian kad tersebut. Inilah yang amat menghairankan. Bukan disuruh membeli kad itu atau bayar semula pun. Ia diberikan percuma.
Daripada komen-komen yang diberi dalam media-media sosial, ada yang mempersenda pemberian kad berkenaan yang disifatkan sebagai ‘kad bodoh’ yang hanya akan membuat ‘semak’ beg duit mereka yang sudah penuh dengan kad diskaun-kad diskaun lain yang tidak boleh digunakan.
Tidak kurang juga mengatakan ia hanya praktikal kepada anak-anak yang berpendapatan tinggi kerana golongan berpendapatan rendah tidak mampu makan di KFC atau A&W. Benarkah anak orang yang berpendapatan rendah tidak makan di KFC atau A&W?
Jika begitu kebanyakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam boleh dikategorikan sebagai anak orang senang, kerana kumpulan pelajar ini yang sering memenuhi meja beberapa buah kopitiam dan restoran mamak yang bertaraf bistro di Seksyen 7, Shah Alam setiap malam.
Zaman saya belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) di kampus induk berkenaan dulu, manalah ada kad diskaun seperti itu dan kemudahan lain seperti Baucar Buku 1 Malaysia. Dan sekarang dengan pinjaman PTPTN yang banyak jumlahnya, ia bukan sahaja dapat menjelaskan yuran pengajian tetapi menampung perbelanjaan mereka sekali.
Dulu ada pinjaman JPA yang tidak banyak jumlahnya. Hendak makan di luar pun berkira-kira, takut duit belanja yang diberi oleh arwah ayah tidak cukup. Hendak minta duit lebih kepada orang tua ketika itu, memang amat berat sekali.
Bimbang nanti mereka di rumah pula yang terpaksa mencatu belanja. Sudahnya makan mi segera sebungkus dikongsi beramai-ramai dengan kawan satu dorm. Kalau hendak makan di luar pun, di medan selera Seksyen 2, berhampiran Kolej Jati ketika itu, sekali sekala.
Yang difikirkan ketika itu, adalah belajar, mengikuti kokurikulum, aktiviti-aktiviti di kampus dan mendapatkan ijazah. Seingat saya dulu, tiada kawan-kawan saya di ITM bercerita pasal demonstrasi, walaupun kami mengambil kursus komunikasi massa yang melibatkan bidang kewartawanan, penyiaran, penerbitan dan perhubungan awam yang peka pada isu-isu semasa.
Masing-masing kalau tidak sibuk menyiapkan assignment, sudah habis topik dibualkan, akan mencari aktiviti luar atau beriadah.
Begitu juga dengan kawan-kawan satu dorm saya dari kursus undang-undang dan pentadbiran awam. Mereka juga sibuk dengan hal-hal tugasan kursus masing-masing. Tidak pernah saya dengar mereka bercerita mengenai hal-hal politik. Yang hendak dikejarkan adalah habis belajar.
Jadi apabila melihat mahasiswa sekarang diberikan pelbagai kemudahan tetapi tidak bersyukur malah mengutuk pula, sudah tentu ia satu tindakan yang tidak berterima kasih. Dan janganlah ada yang timbul akal hendak berdemonstrasi di Dataran Merdeka membantah pemberian kad itu pula selepas ini.
Sebagai mahasiswa, tugas anda adalah belajar. Jadi belajarlah rajin-rajin dulu. Biar habis belajar, biar lulus dengan cemerlang, kasihan orang tua yang memerah kudrat mencari duit untuk kita belajar di universiti.
Bila sudah jadi orang yang cerdik pandai, ilmu pun sudah tinggi, hendak berpolitik, berpolitiklah dengan kecerdikan anda itu. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
No comments:
Post a Comment