Siapa sebenar 'serabut perut'?
DAKWAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam keadaan 'serabut perut' kerana dari sehari ke sehari belum mahu membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan boleh dianggap 'lawak yang tidak kelakar di tengah malam.'Dalam satu majlis di Shah Alam beberapa hari lalu, Menteri Besar Kelantan itu berhujah, ''Lepas sehari, sehari ditangguh tentu ada sesuatu, masalah apa kita tak tahu yang pasti dia (Najib) serabut perut." Dan selain itu Nik Abdul Aziz menganggap pakatan pembangkang mencapai kemenangan moral kerana UMNO tidak berani membubarkan Parlimen.
Apa yang lebih melucukan, Nik Abdul Aziz berkata, 'ketakutan' UMNO itu disebabkan "kebangkitan rakyat yang semakin ramai menyokong Pakatan Rakyat…Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud."
Itulah kata-kata Nik Abdul Aziz penuh yakin kepada anak-anak Kelantan di perantauan pada majlis berkenaan.
Oleh kerana Nik Abdul Aziz juga ahli politik maka tidak salah untuk beliau membuat andaian politik dalam isu berkenaan. Tetapi pada masa yang sama kita juga berhak untuk menilai dan mengkaji siapa sebenarnya yang berada dalam keadaan 'serabut perut', pemimpin pembangkang atau Perdana Menteri?
Berikut penulis paparkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepimpinan pembangkang yang boleh memberikan kesempatan kepada kita untuk menilai siapa sebenarnya 'serabut perut'.
l Siapa dominan dalam pembangkang? - Dalam keghairahan Pas menyatakan Najib 'serabut perut' untuk membubarkan Parlimen, apakah Pas benar-benar jujur untuk mengakui bahawa pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang sudah selesai? Benarkah Pas tidak 'serabut perut' apabila cita-cita parti itu untuk bertanding 80 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang tidak akan tercapai?
Ini memandangkan daripada 222 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya nanti, DAP dikatakan akan bertanding 90 kerusi dan ada pula yang mengatakan 89 kerusi tetapi yang pasti parti itu akan dominan.
Pas pula yang selama ini sentiasa sahaja patuh kepada kehendak DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya dibenarkan bertanding antara 66 hingga 67 kerusi.
Apakah Pas tidak 'serabut perut' dengan situasi ini kerana jika jumlah pembahagian kerusi ini benar, jelaslah DAP akan menjadi tonggak utama sekaligus memusnahkan impian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melihat parti itu menjadi tulang belakang pemerintahan jika pembangkang memerintah.
Apakah Pas tidak 'serabut perut' untuk memikirkan bagaimana seolah-olah ada pakatan antara DAP dan PKR dalam isu ini. Kalau kedua-dua parti itu menghormati Pas sudah tentulah, mereka akan memberi peluang kepada Pas bertanding lebih banyak kerusi.
Tetapi ini tidak berlaku, sebaliknya DAP dibenarkan oleh PKR untuk dominan dan sekali gus menunjukkan apa pun keputusan pilihan raya nanti yang akan untung adalah DAP, manakala Pas hanya menjadi alat.
Oleh itu, apakah kepimpinan Pas tidak akan 'serabut perut' untuk meyakinkan penyokong-penyokong mereka bekerja bermati-matian dalam pilihan raya tetapi yang akan untung ialah DAP dan PKR?
l Apa arah tuju perjuangan Pas - Berbanding dengan UMNO di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang tidak pernah mengubah dasar perjuangan demi memburu kuasa politik, Pas jauh berbeza. Sampai ke hari ini, Pas masih dilihat gagal untuk memberikan keyakinan dan pemahaman kepada penyokong-penyokong tegarnya kenapa parti itu berubah daripada perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Semua orang tahu Pas terpaksa mengubah landasan perjuangannya semata-mata kerana bimbang dengan tentangan DAP yang dalam kenyataan terbaru terus menolak sebarang usaha melaksanakan hukum hudud apatah lagi negara Islam.
Tambahan pula yang dominan dalam pakatan pembangkang ialah DAP yang disokong kuat oleh PKR. Ia bermakna jika Pas terus bersama pakatan berkenaan maka perjuangan Islamnya sudah berakhir dan matlamat negara berkebajikan hanyalah retorik kerana apa pun yang hendak dilakukan oleh Pas perlu mendapat restu kedua-dua parti tersebut.
l Masalah di negeri pakatan pembangkang - Terdapat empat negeri yang berada di bawah pakatan pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Apakah negeri-negeri berkenaan berada dalam keadaan aman tanpa sebarang kemelut? Apakah di Pulau Pinang, pemerintahan DAP tidak 'serabut perut' apabila berhadapan dengan pelbagai protes termasuklah yang terbaru isu pembangunan di Kampung Genting, Balik Pulau.
Apakah di Kelantan, kerajaan Pas tidak 'serabut perut' apabila masih gagal menangani masalah air dan isu dinar emas yang semakin 'panas' serta kegagalan melaksanakan pelbagai janji yang dibuat semasa pilihan raya.
Tidakkah Pas negeri itu tidak 'serabut perut' apabila satu demi satu janji yang dibuat semasa pilihan raya termasuk pelaksanaan beberapa projek pembangunan bernilai berbilion ringgit yang akhirnya sekadar terpacak dengan papan tanda sahaja?
Bagaimana pula di Selangor, apakah kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak 'serabut perut' apabila berhadapan dengan dakwaan oleh MCA mengenai isu Talam Corporation? Apakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak 'serabut perut' apabila beliau turut berhadapan dengan tekanan dari dalam parti sendiri untuk memecat setiausaha politiknya?
Begitu juga di Kedah, tidakkah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak 'serabut perut' apabila satu demi satu masalah berlaku di negeri berkenaan termasuklah yang terbaru bantahan oleh kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
Dalam situasi ini, cuba kaji pula apakah di negeri-negeri diperintah oleh BN ada apa-apa masalah besar seperti mana dihadapi oleh negeri-negeri pakatan pembangkang? Oleh itu siapa sebenarnya 'serabut perut'.
l Kepimpinan Najib - Turut menjadi faktor yang akan memungkinkan pemimpin-pemimpin pembangkang 'serabut perut' ialah bagaimana mereka hendak menahan arus penerimaan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri.
Keikhlasan Najib yang muncul dengan gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan benar-benar memberi impak positif untuk sokongan politik kepada BN. Ia ditambah pula dengan program Janji Ditepati yang ternyata membela nasib seluruh lapisan rakyat.
Keadaan ini berbeza dengan pembangkang yang muncul dengan agenda politik melalui slogan Bersama Rakyat Menuju Putrajaya. Langkah itu jelas menunjukkan matlamat pembangkang hanya mahu menawan Putrajaya dan merebut kuasa politik, tiada agenda yang jelas bagaimana hendak membantu rakyat.
Penulis hanya memaparkan beberapa sahaja faktor yang memungkinkan kita bertanya siapa sebenarnya yang 'serabut perut'.
Mungkin benar wujud kesedaran dan gelombang perubahan di kalangan rakyat tetapi ia bukannya memihak kepada pakatan pembangkang tetapi BN kerana rakyat semakin memahami siapa sebenar sentiasa 'serabut perut' dengan masalah demi masalah.
No comments:
Post a Comment